Oleh Muhammad Faiq Ahmad Faizal, Indera Syahrul Mat Radzuan
BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Pengurusan Harta Tanah telah menganjurkan Pertandingan Melukis Kanak-Kanak ICOMOS Malaysia 2023 bertemakan ‘Selamatkan Warisan Kita’ pada 24 Jun 2023 lalu bertempat di Open University Malaysia (OUM), Batu Pahat.
Pertandingan melukis tersebut merupakan program gabungan kerjasama tiga pihak iaitu UTHM, Pertubuhan ICOMOS Malaysia dan OUM serta turut mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), McDonalds’ Malaysia dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).
Penganjuran pertandingan melukis itu bertujuan memupuk semangat cintakan warisan negara dalam kalangan kanak-kanak melalui penghasilan karya berbentuk seni.
Program yang dikendalikan oleh 98 pelajar Kursus BPE 13002 (Teori Perancangan dan Bandar) itu adalah sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mencapai Lonjakan 1 dalam Pelan Pendidikan Malaysia 2021-2025 (Pendidikan Tinggi).
Menurut penyelaras kursus, Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan penganjuran program itu juga bertujuan untuk memupuk minat kanak-kanak sekolah untuk berkongsi idea melalui seni lukisan, yang mana mereka diberi masa tiga jam untuk melakar karya seni berkaitan 25 tapak sejarah dan budaya yang dikenal pasti berada di dalam zon warisan Bandar Penggaram.
Tambah beliau, pertandingan melukis itu juga bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan warisan kebudayaan tempatan dalam kalangan masyarakat terutama kepada kanak-kanak bermula dari bangku sekolah lagi.
“Pemilihan Batu Pahat sebagai lokasi pertandingan ini juga dijangka dapat mempromosi bandar ini sebagai bandar warisan yang berpotensi untuk dibangunkan terutama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan.
“Selain Batu Pahat, pertandingan ini juga telah diadakan di lima bandar berasingan iaitu di George Town, Seberang Prai, Kuala Lumpur, Melaka dan Sandakan,” katanya.
Program tersebut turut mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa dan peserta yang hadir.
Mereka melahirkan rasa terima kasih dan amat menghargai inisiatif yang ditonjolkan kerana program tersebut dapat mengisi masa lapang anak-anak terutama pada hujung minggu, sekali gus dapat memberi peluang kepada murid-murid sekolah mempamerkan hasil kreativiti mereka di kertas lukisan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Penggaram), YB Gan Peck Cheng hadir menyempurnakan majlis perasmian.
Beliau dalam ucapannya berkata pihak kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada mana-mana pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kepentingan membudayakan seni dan warisan di negara ini bagi menarik lebih ramai pelancong.
“Saya berharap penganjuran program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berterusan, bukan hanya sekadar kempen dalam tempoh masa yang tertentu agar usaha pemuliharaan warisan budaya tidak terhenti begitu sahaja,” katanya.
Hadir sama, Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Pengarah Open University Malaysia (OUM), Batu Pahat, Sarimurni Mohd Sani dan Presiden Pertubuhan ICOMOS Malaysia, Ar. Tiong Kian Boon.