Sinar Harian, 9 Ogos 2022 :

Konflik manusia dan gajah bukanlah isu baharu, tetapi sejak kebelakangan ini semakin kerap pula kejadian serangan haiwan itu ke atas manusia dilaporkan berlaku.

Gajah liar bukan sahaja buat kacau di kawasan kebun dengan merosakkan tanaman, malah masuk ke kawasan penempatan penduduk. Kejadian yang berlaku pula menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, malah ada yang maut.

Pada 1 Ogos lalu, seorang wanita Orang Asli cedera parah selepas diserang seekor gajah liar di Kampung Katong, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik, Perak.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, wanita berusia 30 tahun itu dikatakan tidak menyedari kehadiran mamalia tersebut ketika dia sedang mencari buah durian di belakang rumah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, mangsa diserang dan ditendang oleh gajah berkenaan hingga patah tangan kanan, patah kaki kanan dan lebam pada perut.

Terbaharu selepas seminggu kejadian tersebut, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesan seekor gajah liar berkeliaran di kawasan yang sama.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff menjelaskan, gajah jantan berusia antara 32 hingga 35 tahun itu dikesan Unit Tindakan Gajah (UTG) memasuki kampung terbabit dipercayai untuk mencari makanan.

Beliau bagaimanapun menafikan gajah terbabit merupakan haiwan sama yang menyerang wanita berkenaan.

Bukan itu sahaja, pada 6 Ogos pula, seorang remaja cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor gajah di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Johor.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Muhammad Danish Saedin,17, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengisi minyak.

Punca

Konflik manusia dan gajah berterusan disebabkan perbuatan manusia sendiri yang terlalu rakus meneroka hutan.

Menurut Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, kesan pembukaan ladang untuk pertanian menyebabkan habitat gajah terganggu kerana sebahagian kawasan tempat tinggal gajah yang dilitupi hutan dijadikan lokasi penanaman.

Katanya, pembangunan berleluasa dengan ‘merampas’ habitat gajah menjadi ancaman terbesar kepupusan haiwan tersebut.

Perubahan ini menyebabkan populasi gajah kehilangan tempat tinggal sehingga kawasan haiwan itu mencari makanan menjadi terhad manakala laluannya dihalang sekali gus memberi kesan terhadap gajah yang semakin ketandusan kawasan rayau sehingga terpaksa menceroboh kawasan ladang serta kebun penduduk. Pengecilan kawasan rayau mengganggu habitat dan menjejaskan sumber makanan haiwan ini kerana seekor gajah memerlukan lebih 20 kilogram makanan setiap hari manakala sekumpulan gajah memerlukan kawasan rayau kirakira 100 kilometer persegi.

Lazimnya, gajah bertindak agresif apabila rasa terancam disebabkan gangguan manusia. Kejadian gajah mengamuk mungkin dapat dielak jika perancangan dibuat dengan teliti semasa menjalankan sesuatu projek pembangunan.

Penyelidik Utama Kumpulan Integrasi Oasis Institut Kejuruteraan Integrasi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar memberitahu antara perkara yang kurang diberi perhatian adalah berkenaan zon penampan bagi hidupan liar.

Zon penampan merupakan satu kawasan peralihan bagi habitat hidupan liar yang terdiri daripada hutan simpan kekal dan rizab hidupan liar serta kawasan aktiviti manusia bagi mengelakkan pertembungan yang bakal menimbulkan masalah.

Menurut beliau, secara dokumentasinya memang terdapat kawasan yang digazetkan sebagai zon penampan, bagaimanapun adakah ia benar-benar diberi perhatian?

“Jika kelakuan haiwan, saiz habitat serta kefungsian zon penampan diambil kira, kita dapat mengurangkan konflik ini pada masa hadapan,” ujar beliau.

Justeru, kerajaan perlu bertindak proaktif supaya jalan penyelesaian tuntas dapat diambil bagi mengatasi konflik manusia dan gajah. Hari Gajah Sedunia yang disambut pada 12 Ogos seharusnya menguatkan tekad kita untuk melindungi dan memulihara haiwan tersebut. 

Berita ini juga diterbtikan di :

1. sinarharian.com, 9 Ogos 2022 : https://www.sinarharian.com.my/article/215448/suara-sinar/analisis-sinar/gajah-naik-minyak-angkara-siapa