Oleh Dr. Nor Atiqah Norazlimi
PAGOH – Bertemakan ‘Sustaining Biodiversity for bioeconomy transformation,’ Universiti Tun Hussein Onn Maaysia (UTHM) telah menganjurkan Persidangan antarabangsa biodiversiti 2020 (ICB 2020) pada 4 hingga 5 November 2020 lalu secara maya.
Persidangan ini melibatkan usaha sama antara Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-sumber Semulajadi (CoR-SUNR), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM bersama Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).
Persidangan ICB 2020 ini mendapat sambutan hangat apabila mendapat penyertaan kira-kira 100 pembentangan kertas kerja dan 150 penyertaan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun serta universiti dari dalam dan luar negara antaranya Forest Research Institute Malaysia (FRIM), Malaysian Palm Oil Berhad (MPOB), Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Muhammadiah Kalimantan Timur, Indonesia.
Persidangan ini disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti, KeTSA, Dr. Khairul Naim Adham. Turut serta dalam perasmian tersebut, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly bersama Dekan FAST, Profesor Dr. Hashim Saim.
Hari pertama persidangan diisi dengan beberapa slot pembentangan daripada barisan pengucaptama iaitu Arief Iskandar Mohamad dari KeTSA, Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar dan Profesor Emeritus Datin Dr. Maryati Mohamed dari UTHM, Profesor Dr. Budi Setiadi Daryono dari UGM dan Profesor Madya Dr. Monica Suleiman dari UMS.
Turut diadakan, sesi pembentangan kajian daripada peserta-peserta persidangan yang dijalankan menerusi platform ‘google meet’.
Manakala hari kedua pula berlangsungnya sesi pembentangan oleh penceramah-penceramah jemputan iaitu Puan Lili Tokiman dari PTNJ, Dr. Bambang Retno Aji dari UGM, Dr. Fiffy Hanisdah Saikim dari UMS dan Profesor Madya Dr. Siti Hamidah Mohd Setapar dari UTM, diikuti oleh sesi pembentangan kajian oleh peserta-peserta persidangan.
Penganjuran persidangan ini berjaya menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang biodiversiti sama ada dari dalam dan luar negara bagi membincangkan permasalahan dan perkembangan terkini dalam bidang biodiversiti.
Penganjuran persidangan seumpama ini diharap mampu membuka mata semua pihak berkaitan kepentingan biodiversiti dan permasalahan yang dihadapi dalam mengharungi arus modenisasi dunia ketika ini.