Oleh Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, Ts. Dr. Chan Shiau Wei, Tee Boon Long, Pua Hong Jie

JEPUN – Bagi memberi pendedahan baharu kepada staf dan pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),  satu program mobiliti antarabangsa ke dua universiti di Jepun telah dilaksanakan pada 19 hingga 25 November 2023 lalu.

Program mobiliti itu dilaksanakan bertujuan untuk memberikan pendedahan antarabangsa kepada pelajar dan staf yang terlibat bagi meningkatkan daya saing mereka, sekali gus meningkatkan jaringan global dan keterlihatan UTHM di mata dunia.

Tiga pelajar telah menyertai program mobiliti yang diketuai oleh Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri, bersama Pensyarah Kanan, Ts. Dr. Chan Shiau Wei.

Program yang melibatkan kunjungan ke Keio University di Kampus Mito, yang terletak di Minato City, Tokyo dan Tokyo City University (TCU) yang terletak di Setagaya itu bertujuan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan oleh kedua-dua institusi untuk manfaat bersama.

Ketika berkunjung ke kampus utama TCU, delegasi UTHM turut mengikuti perkongsian akademik yang membincangkan tentang isu kepentingan ICT dalam pengurusan teknologi, pemasaran dan dunia perniagaan sambil beramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di universiti itu.

Delegasi UTHM juga turut mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Jepun yang terletak di Shibuya City bagi memahami peranan dan fungsi utama Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun.

Turut diadakan, sesi lawatan ke Todoroki Fudoson Temple, Gotoh Museum and Garden, Tamagawa-Daishi Temple dan Futakotamagawa Shopping Center bagi mengetahui sejarah,  kepelbagaian budaya serta warisan di Setagaya.

Delegasi UTHM juga turut di bawa ke National Museum of Emerging Science and Innovation, atau Miraikan, di Odaiba dan Toshiba Science Museum di Kawasaki bagi meneroka sejarah, teknologi dan inovasi terkini di sana.

Menurut Dr. Shafie, program mobiliti antarabangsa ke Jepun itu bukan sahaja memberikan pendedahan berkaitan kaedah pembelajaran Jepun yang komprehensif, tetapi juga pengalaman memahami budaya setempat dengan lebih mendalam.

“Pihak kami tidak hanya berpeluang mempelajari tentang sistem pendidikan dan penyelidikan di dua universiti tersebut, tetapi juga tentang sosio-budaya harian masyarakat Jepun.

“Dengan meneliti keunikan budaya dan keindahan Jepun, kami mendapat pengetahuan yang mendalam tentang kepentingan pengurusan masa, disiplin dalam menggunakan pengangkutan awam dan kepatuhan terhadap peraturan tempatan.

“Pengalaman seumpama ini tidak hanya meningkatkan kecekapan akademik pelajar, tetapi juga membuka mata kami terhadap dunia luar melalui lensa budaya Jepun,” katanya.