BATU PAHAT – Bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan penggunaan sistem solar untuk penanaman hidroponik, Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan program “Smart Hidroponik” pada 3 Jun 2023 lalu bersama Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Ts. Dr. Siti Amely Jumaat.

Program itu diadakan bertujuan untuk berkongsi ilmu dan kemahiran berkaitan kaedah penanaman hidroponik serta memperkenalkan penggunaan sistem solar dan fungsinya terhadap tanaman jenis itu yang dapat menjimatkan tenaga elektrik dan tenaga manusia.

Menurut Dr. Amely, program itu diadakan bagi meningkatkan minat dan pengetahuan pelajar berkaitan tanaman hidroponik, sekali gus sebagai usaha menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan pertanian.

Tambah beliau, tanaman hidroponik adalah kaedah bercucuk tanam dengan meletakkan air baja tanpa penggunaan tanah.

“Penggunaan tenaga solar berfungsi sebagai pengaliran yang teratur bagi membolehkan tanaman mendapatkan nutrisi sekata.  

“Tanaman hidroponik menggunakan system solar amatlah penting untuk pengeluaran hasil yang lebih tinggi dan pada masa yang sama tidak memerlukan ramai tenaga kerja pada zaman kini,” katanya.

Program perkongsian ilmu melibatkan 33 peserta itu diisi dengan beberapa aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) seperti aktiviti menyemai benih sawi dalam netpot dan simulasi pencampuran baja.

“Saya berharap program ini akan menarik minat pelajar menceburi bidang pertanian khususnya penanaman hidroponik dan mereka juga dapat memanjangkan ilmu tersebut kepada komuniti,” tambah Dr. Amely.