Oleh Kamarul Rahim Kamarudin dan Jacky Tia Yu Fan

PULAU TIOMAN – Seramai 10 pelajar program Sarjana Muda (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalani ‘Kursus Open Water Diver’ di Kampung Salang, Pulau Tioman pada 1 hingga 3 Ogos 2022 lalu.

Penyertaan ini seterusnya melayakkan mereka dianugerahkan lesen selam skuba antarabangsa SDI Open Water Scuba Diver.

Kumpulan pertama ini  turut ditemani penyelaras program, Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin yang merupakan pensyarah kanan di FAST.

Menurut Dr. Kamarul, SDI diving instructor, Mohd Hussain Mohamad Rashid dan barisan tenaga pengajar Meet Uncle Hussain Dive School telah membimbing para peserta dari segi teori dan praktikal berkaitan selam skuba sepanjang kursus berlangsung.

Tambah beliau kursus seumpama ini berupaya membantu FAST dan UTHM melengkapkan para pelajar dengan kemahiran-kemahiran berdasarkan kebolehpasaran graduan melalui pensijilan kecekapan (competency certification).

“Sijil kecekapan selam skuba ini juga berupaya membantu pihak fakulti merancang aktiviti-aktiviti penyelidikan berkaitan sains akuatik,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar tersebut dan berharap akan lebih ramai pelajar yang akan menyertai program seperti ini pada masa akan datang.