Pensyarah FAST, UTHM berjaya diiktiraf Juruterbang Kawalan Jauh Bertauliah

Dr. Kamarul (tengah) ketika menjalani latihan penerbangan kawalan jauh.

PAGOH – Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin berjaya ditauliahkan sebagai juruterbang kawalan jauh dengan sijil kecekapan Remote Pilot Certificate of Competency-Basic (RCoC-B).

Kejayaan itu dicapai apabila beliau lulus peperiksaan amali dan peperiksaan pengetahuan teori program RCoC-B baru-baru ini.

Kedua-dua peperiksaan tersebut telah dijalankan selama dua hari pada 11 dan 12 Ogos 2022 oleh SG Academy cawangan Kuala Lumpur dan Asia Drone Technical Academy yang merupakan Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) di bawah kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pensijilan kecekapan RCoC-B tersebut merupakan komitmen CAAM terhadap Sistem Kapal Udara Tanpa Pemandu (UAS) atau industri kapal udara tanpa pemandu dari segi menyediakan latihan intensif dengan kemahiran yang diperlukan oleh juruterbang kawalan jauh.

Peningkatan jumlah juruterbang kawalan jauh yang mempunyai sijil bertauliah RCoC-B tersebut akan menambah keyakinan kepada organisasi-organisasi dan industri untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam teknologi kapal udara tanpa pemandu iaitu dron.

Bermula 1 Disember 2019, untuk menerbangkan kapal udara tanpa pemandu secara sah di Malaysia, CAAM telah menjadikannya mandatori kepada semua pengendali kapal udara tanpa pemandu sama ada individu atau organisasi untuk mendapatkan sijil kecekapan seperti RCoC-B.

Menurut Ts. Gs. Dr. Kamarul Rahim Kamarudin, program RCoC-B yang berlangsung selama seminggu pada 6 hingga 12 Ogos 2022 lalu banyak membantu beliau dalam memahami undang-undang berkaitan kapal udara tanpa pemandu, pengetahuan tentang cara-cara menjayakan operasi penerbangan kapal udara tanpa pemandu dengan sistematik dan selamat serta mengasah kemahiran sedia ada beliau dalam mengendalikan kapal udara tanpa pemandu iaitu dron.

Barisan tenaga pengajar berpengalaman dari Asia Drone IoT Technologies Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Chief Remote Pilot (CRP) Muhammad Syafiq Salleh dan Remote Pilot in Command (RPIC) Amir Haziq telah memberi banyak pendedahan tentang pelan tindakan kecemasan (ERP) ketika sesi latihan amali di lapangan.

Perkara ini penting bagi memastikan juru terbang kawalan jauh sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika menerbangkan kapal udara tanpa pemandu.

UTHM berharap pentauliahan staf sebagai juruterbang kawalan jauh yang diiktiraf CAAM ini akan dapat merancakkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan yang berkaitan UAS di UTHM dan Johor amnya, serta berupaya membantu memeriahkan industri ini di Malaysia.

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanSains Gunaan dan Teknologi
Subscribe