Selepas hampir dua tahun berdepan cabaran pandemik, Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjadi dokumen penting dalam meletakkan semula hala tuju pembangunan negara ke landasan yang betul, serta menyiapsiagakan ekonomi Malaysia dalam mendepani era pasca pandemik dan endemik.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, matlamat pertama RMKe-12 adalah menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025.

Seperti mana umum maklum, industri pembinaan merupakan salah satu sektor yang menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan KDNK. Terkini, Revolusi Industri (IR 4.0) dalam sektor pembinaan merupakan salah satu hala tuju yang signifikan demi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Bagi memastikan matlamat ini boleh dicapai secara efektif, sektor pembinaan perlu mengambil langkah dalam usaha menerapkan unsur-unsur IR 4.0 agar daya saing terus meningkat selari dengan usaha mendapatkan peluang ekonomi yang lebih besar.

Jelas sekali, di mana Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpendapat, Malaysia perlu menyuntik lebih banyak pelaburan dalam pembangunan modal insan berkualiti tinggi bagi membantu mewujudkan peluang ekonomi lebih besar. Ini menunjukkan keperluan melahirkan tenaga berkemahiran yang sesuai dengan kehendak keperluan pasaran pembinaan 4.0 adalah penting bagi mencapai sasaran negara dalam RMK-12.

Bagi tujuan ini, terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan dalam membangunkan modal insan berkualiti terutamanya bagi bidang pengurusan projek pembinaan agar ia memenuhi peluang pasaran pembinaan 4.0. Apa yang perlu dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan merangkumi aspek- aspek berikut:

  • Universiti tempatan harus mengambil initiatif ini untuk memurnikan silibus dan menjalinkan hubungan industri secara konsisten. Perkara ini penting dalam memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi keperluan pasaran pembinaan 4.0.
  • Initiatif yang dilakukan oleh Jabatan Pengurusan Pembinaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM dengan memperkasakan elemen-elemen industri 4.0 dalam silibus program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) dan Sarjana Sains Pengurusan Pembinaan. Antara usahanya adalah dengan membawa masuk aplikasi Building Information Modeling (BIM) dalam pembinaan dan penggunaan perisian Autodesk Revit dan Archibus dalam silibus untuk permunian program ini. Selain itu, program ini juga telah mendapat akreditasi antarabangsa daripada Chartered Institute of Building (CIOB), UK. Pendekatan ini jelas menampkakan usaha yang dilakukan oleh UTHM selaras dengan matlamat RMK-12.
  • Selain itu, UTHM juga mengutamakan kolaborasi serta jaringan dengan industri dan komuniti tempatan dan universiti antarabangsa. Pusat Kelestarian Infrastruktur dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM), UTHM telah mengambil pelbagai initiatif dalam penyelidikan berunsur IR 4.0 dengan menekankan penglibatan industri dalam projek penyelidikan yang berimpak supaya mahasiswa yang bergraduan mampu setanding dalam mendapat pekerjaan yang berkaitan dengan industri pembinaan..

Kesimpulannya, pembangunan ekonomi termasuk industri pembinaan boleh dikatakan terjejas dan tidak bermaya akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia hampir dua tahun. Oleh itu, RMK-12 adalah satu perancangan yang penting dan menjadi ‘ubat’ dalam usaha memulihkan semula momentum pertumbuhan ekonomi terutamanya sektor pembinaan yang dilihat ‘pegun’ dan tidak bermaya agar dapat kembali mencapai hala tuju strategik bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’ secara komprehensif.

 

Artikel ini juga diterbitkan di New Straits Times, 18 Oktober 2021 melalui pautan berikut:

https://www.nst.com.my/opinion/letters/2021/10/737670/construction-sector-can-power-us-towards-high-income-nation

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Goh Kai Chen

Penyelidik Utama di Pusat Kelestarian Infrastruktur dan Pengurusan Alam Sekitar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)