Salah satu perkara yang penting untuk diberi perhatian dalam pemanduan adalah titik buta atau dalam bahasa Inggerisnya dinamakan sebagai blind spot. Banyak kemalangan jalan raya berlaku di dunia termasuk di Malaysia disebabkan oleh titik buta ini. Tahukah anda apakah itu titik buta dan bagaimana ia mempengaruhi kedudukan selamat anda ketika memandu bersama kenderaan lain?

Hampir semua kenderaan mempunyai sekurang-kurangnya satu tempat titik buta.  Untuk memastikan kita sentiasa berada dalam zon selamat ketika berada di atas jalan, titik buta ini perlu diberi perhatian. Sebagai pemandu, adalah sangat penting untuk mengetahui lokasi titik buta bagi kenderaan yang sedang dipandu dan titik buta bagi kenderaan lain yang berada berhampiran kita. Mengetahui lokasi titik buta ini boleh membantu untuk mengelakkan diri daripada risiko kemalangan.

 

Apakah zon titik buta?

Titik buta adalah kawasan di sisi kenderaan yang tidak dapat dilihat oleh pemandu melalui cermin belakang, cermin sisi atau peranti kamera kenderaan yang sedang dipandu. Titik buta ini terhasil dari had reka bentuk kenderaan, yang mana pada kedudukan tertentu, pemandu tidak akan dapat melihat  aktiviti sekitar kenderaan tanpa bergerak dari posisi pemanduan biasa.

Pemandangan pemandu akan terhalang oleh sudut pandangan yang terlindung. Walaupun hampir kesemua jenis kenderaan mempunyai had yang menyebabkan terhasilnya titik buta, terdapat juga kenderaan yang tidak mempunya titik buta iaitu basikal dan motosikal. Tetapi dua jenis kenderaan ini paling kerap juga terlibat dengan kemalangan yang disebabkan oleh titik buta kenderaan lain, atau dengan ringkasnya mereka ini tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan lain.

 

*Contoh-contoh kedudukan titik buta

 

Di manakah zon titik buta ketika anda memandu?

Semakin jauh dan semakin besar sudut pandangan yang boleh capai ketika dalam kedudukan badan mengawal stereng dan pemanduan bermaksud semakin besar kebolehan kita untuk melihat bahaya yang mungkin menghampiri kita. Zon titik buta pula adalah yang sebaliknya, iaitu sudut atau kedudukan di sekeliling kenderaan yang tidak kelihatan melalui cermin pandang belakang serta cermin sisi kenderaan yang sedang dipandu.

Dimensi dan reka bentuk kenderaan serta jarak kedudukan antara pemandu dan stereng boleh mempengaruhi saiz dan kedudukan titik buta. Semakin besar dan tinggi kenderaan contohnya, lori, bas dan van, semakin besar zon titik buta terhasil. Selain itu reka bentuk bahagian tiang yang memegang sisi cermin hadapan kenderaan juga turut sama mempengaruhi kedudukan titik buta. Tiang ini boleh menghalang penglihatan pemandu terutama ketika hendak membelok di persimpangan.

 

Mengapa zon dan titik buta berbahaya?

Titik buta kadang kala tidak disedari oleh pengguna jalan raya, ia juga boleh terjadi di dalam kenderaan yang kita pandu. Ia menjadi bahaya kerana kedudukannya menghalang pandangan terhadap kenderaan lain yang berada di sekeliling kenderaan yang dipandu malah kadang kala kita tidak dapat melihat kanak-kanak yang duduk di kerusi belakang dalam kenderaan yang kita pandu.

Di Malaysia, terdapat banyak kes kemalangan maut disebabkan titik buta ini berlaku ketika kenderaan menukar lorong, membuat pusingan U, keluar dari parkir atau keluar masuk dari persimpangan. Kita juga sering mendengar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat seperti treler yang tergesel pemandu motosikal di atas jalan raya disebabkan pemandu treler tidak perasan kehadiran motorsikal yang berada dalam zon titik buta.

Selain itu kita juga sering mendengar kemalangan maut yang disebabkan kenderaan membuat pusingan U di lokasi yang tidak sesuai sehingga melibatkan perlanggaran dengan kenderaan lain sama ada yang datang dari arah belakang atau bertentangan. Kesemua kes kemalangan ini adalah hanya sebahagian kes kemalangan  yang berkaitan zon titik buta. Banyak lagi kes-kes yang lain yang pernah terjadi dan perlu dibimbangi oleh semua pengguna jalan.

 

 Apa yang perlu dilakukan?

Berikut adalah tip yang boleh diamalkan untuk mengelakkan bahaya di zon titik buta:

  • Sesuaikan kedudukan cermin sisi dan cermin pandang belakang agar dapat memberikan sudut pandangan yang lebih luas. Penggunaan cermin atau kamera tambahan boleh memberi manfaat keselamatan kepada anda di atas jalan.
  • Guna kedua-dua cermin sisi dan cermin pandang belakang setiap kali hendak menukar lorong
  • Selain penglihatan melalui cermin sebaiknya ambil sedikit masa untuk pusingkan kepala dan badan untuk melihat sebelah kenderaan anda untuk betul-betul memastikan sekiranya ada objek yang mungin tidak dapat dilihat melalui cermin sebelum menukar lorong.
  • Ketahui dan sentiasa peka dan beri perhatian kepada zon titik buta kenderaan lain.

 

Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ahli Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia (TSSM)