Saat berkurung lama dalam tempoh PKP merupakan satu cabaran yang hebat kerana ia di luar kebiasaan kita. Ramai yang mengeluh dan ingkar perintah pada awalnya. Kini setelah memasuki fasa ketiga, ramai yang semakin redha dan agak tenang mengikuti saranan kerajaan.

Duduk di rumah bukan makan dan tidur sahaja sehingga boleh lupa segala hari dan waktu makan sebenar. Inilah masanya untuk kita menjadi kreatif dan pandai mengurus waktu santai ini hanya di dalam rumah. Bagi yang bekerja dari rumah (WFH), kerja sampingan akan terselit dengan kerja hakiki, cuma jadual kerja akan terganggu dengan aktiviti harian. Manakala bagi yang tidak bekerja mungkin tiada susunan waktu yang khusus sehingga tidak sedar hari berlalu begitu cepat. Biasanya, kaum ibulah yang paling panik untuk beraksi di semua sudut rumah.

Siapa yang bosan dan stress? Ibu, bapa atau anak-anak? Kaum bapa akan mula bosan kerana tidak dapat keluar untuk melayan hobi yang membuak-buak. Bagi yang rajin dan mempunyai kesedaran, bolehlah membantu kerja-kerja seperti membasuh dan menyidai kain, mengemas rumah, membasuh kasut, motosikal dan kereta serta mengecat.

Pada awalnya, anak-anak terasa bosan kerana cuti lama tanpa kawan-kawan. Adakala, geli hati melihat gelagat anak-anak bercakap dengan televisyen, makan puding roti sambil bercakap sendiri, berkarya dan beraksi dengan bakat tersendiri. Aksi comel mereka yang selama ini ibu bapa tidak mengerti dan tidak sempat memerhati. Walau apa jua gelagatnya, sebenarnya anak-anak lebih gembira berada di rumah kerana mereka sentiasa berada di sisi ibu bapa dan mungkin boleh makan apa yang diminta walaupun tidak sempurna.

Sebenarnya masih banyak aktiviti berfaedah boleh dilakukan secara kreatif dan tidak terbatas. Apatah lagi dengan bantuan teknologi percuma yang tiada sempadannya.

Memasaklah mengikut bahan sedia ada. Jangan membebankan pasangan dengan karenah resepi yang harus dipatuhi. Menu juga perlu sediakan mengikut kemampuan bakat. Jangan sampai menjadi fobio pasangan bila kaum ibu masuk dapur dengan aksi kemenjadian di luar jangkaan. Bagi yang jarang beraksi di dapur mungkin kali ini lebih mencabar kemahirannya untuk menyediakan menu lengkap harian. Tapi harus diingat, mencuba diluar kemampuan bakat akan menyebabkan pembaziran kos dan penat. Banyak yang akan terbuang jika hasilnya tidak dapat diterima tekak. Adalah lebih baik sediakan tong kompos untuk asingkan bahan sisa makanan sebagai baja tanaman sendiri.

Bagi yang berbakat boleh menjadi sumber pendapatan bagi menu-menu COD kerana kebanyakan kedai dan restoran tidak beroperasi di kala ini. Tetapi perlu berhati-hati dengan menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika membeli bahan mentah dan membuat penghantaran (COD) di sekitar kawasan kediaman.

Menjahit bukan hobi semua orang dan bukan kemestian, hanya yang rajin dan minat sahaja akan berusaha mengasah kemahiran ini. Ketika ini, masalah ketidakcukupan topeng muka menyebabkan nilai topeng yang dulunya tidak pernah dicari kini mencecah ke ratusan ringgit sekotak. Makanya ibu atau bapa boleh mencuba menjahit sendiri topeng muka dengan menggunakan pakaian lama yang masih elok kainnya. Saiz yang kecil dan tidak rumit lebih cepat disiapkan walaupun menggunakan jahitan tangan. Topeng muka kain ini lebih selamat, boleh dibasuh dan dikeringkan, tahan lama, kemas dan boleh dihiasi mengikut kreativiti sendiri.

Bagi yang ada ruang dan laman, berkebun merupakan aktiviti sihat dan menjimatkan kos. Tanaman sayur-sayuran di dalam pasu atau bekas kitar semula merupakan terapi minda yang menyeronokkan. Tanam dan masak sendiri hidangan sihat dan segar setiap hari.

Ada juga hobi bapa sebagai kaki pancing. Bila menghadapi tempoh PKP, kail bagai meronta-ronta memanggil. Ada yang memancing di dalam akuarium atau kolam di rumah dan ada yang cuba menghilangkan kempunan dengan memuatturun permainan di telefon bimbit dek kerana minat. Apapun, manfaatkan hobi dan kepakaran ini dengan mengajak anak-anak mengenali jenis-jenis ikan. Aktiviti seperti ini sekali gus dapat memupuk minat memelihara alam sekitar dengan menjaga kehidupan flora dan fauna.

Ramai juga Bikers yang terpaksa menyimpan kunci di dalam almari. Bila telinga tidak mendengar deruan ekzos kereta atau motosikal, cukuplah sekadar memanaskan enjin untuk mengelakkan minyak termendak. Kurang keluar rumah bermakna dapat mengurangkan pencemaran udara. Selain itu, boleh juga isi masa yang ada dengan membaca bersama keluarga dan ini akan menerapkan budaya yang baik kepada anak-anak.

Me time dengan Pencipta adalah yang perlu diutamakan bagi yang beragama Islam. Isi masa dengan melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran sehingga dapat khatam sebanyak yang mampu. Bagi penganut selainnya, ada tatacara yang positif dan bermotivasi bagi mengawal emosi dan psikologi ketika kita diuji. Inilah masa 3R boleh diaplikasi iaitu rehat, relaks dan rawat jiwa dengan tenang.

Kesimpulannya bagi ibu dan bapa, PKP tidak akan terasa bosan dan tertekan jika diisi dengan jadual yang bermanfaat untuk seisi keluarga. Seharusnya kita perlu bersyukur kerana kita selamat berada di rumah dan berpeluang bersama keluarga tersayang, dan bukan di hospital. Tidak boleh tidak, tiada alasan untuk kita tidak berbuat apa-apa dengan masa yang lapang dan nikmat sihat yang dikecapi hari ini.

 

 

Ts. Dr. Sabariah Musa

Penyelidik Kanan

Pusat Penyelidik Pencemar Mikro, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)