Berita UTHM

Mahasiswa hayati ‘Sehati Sejiwa’

Oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Esa
Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Diterbitkan di Utusan Online, 16 Ogos 2016 6:10 PM

SELAMAT menempuh pe­ngalaman yang menarik me­lalui aktiviti kokurikulum di menara gading kepada mahasiswa baru semester pertama sesi 2016/2017. Mahasiswa senior juga diharapkan terus mengikuti aktiviti kokurikulum seperti khidmat masyarakat dan kebudayaan di menara gading. Ini kerana pelaksanaan kokurikulum di universiti memberi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang sangat berharga kepada mereka.

Aktiviti kokurikulum telah lama dilaksanakan dalam sistem pendidikan di negara ini iaitu sejak zaman pemerintahan kerajaan British. Penubuhan Pasukan Pengakap yang pertama di sekolah bermula pada tahun 1909 di Singapura. Aktiviti kokurikulum terus diberi penekanan oleh Kementerian Pendidikan seperti yang terkandung di dalam surat arahan School Course of Studies Regulations 1956 dan pindaan tahun 1961 (Akta Pendidikan 1961 No. 552). Sekitar tahun 60-an dan 70-an kokurikulum dianggap sebagai aktiviti yang berasingan dan tidak begitu penting dalam perkembangan dan proses pengajaran serta pembelajaran pelajar di sekolah.

Namun begitu, kokurikulum telah dijadikan wadah untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum pada ketika itu. Matlamat tersebut terkandung di dalam Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang mengutarakan kurikulum dan kokurikulum yang seragam sebagai teras membina perpaduan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran menyatakan adalah ­penting untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan di antara pelajar pelbagai kaum di sekolah-sekolah Malaysia menerusi aktiviti kokurikulum.

Transformasi kokurikulum berlaku apabila peranannya bukan sahaja untuk memupuk perpaduan tetapi juga sebagai pelengkap kepada kurikulum di sekolah-sekolah Malaysia. Pada 1985 kokurikulum telah dimasukkan ke dalam jadual waktu persekolahan menerusi penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1985, setiap pelajar dikehendaki mengambil bahagian sekurang-kurangnya satu daripada pasukan seragam, satu daripada kegiatan persatuan atau kelab dan satu daripada kegiatan sukan atau permainan.

Tidak ketinggalan aktiviti kokurikulum terus diberi penekanan di peringkat pendidikan yang lebih tinggi apabila dimasukkan ke dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan kurikulum di Universiti Awam (UA).

Pada 2006, Kementerian Pengajian Tinggi pada masa itu telah memperkenalkan Kemahiran Insaniah untuk dikuasai oleh mahasiswa bagi memenuhi keperluan pekerjaan. Sehubungan itu, semua IPTA di Malaysia mula memberi kredit kepada kursus kokurikulum selain turut mengekalkan kokurikulum yang diikuti oleh mahasiswa secara sukarela.

Pusat tanggungjawab berkaitan kokurikulum juga diwujudkan di UA masing-masing. Sekali lagi kokurikulum dalam sistem pendidikan di negara ini, khususnya di menara gading melalui transformasi.

Transformasi berlaku apabila kokurikulum yang dikenali sebagai Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) diberi peranan utama untuk mencapai matlamat membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Pada masa sama, oleh sebab kokurikulum juga adalah kursus akademik, maka pelaksanaan kokurikulum perlu berdasarkan Outcome Based Education (OBE).

Ini memberikan tanggungjawab yang mencabar kepada pengajar dan jurulatih kokurikulum di UA. Mereka perlu berusaha memastikan mahasiswa mencapai keputusan cemerlang dalam kursus kokurikulum dan membangunkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa sebagaimana yang digariskan oleh pihak kementerian untuk memenuhi keperluan industri.

Bagi merealisasikan pembangunan holistik mahasiswa, pusat kokurikulum di IPTA diwajibkan untuk melaksanakan University Community Engagement (UCE). Terdapat dua strategi dalam me­laksanakan UCE oleh pusat kokurikulum UA. Pertama, melaksanakan projek khidmat masyarakat oleh Teras Khidmat Komuniti. Strategi kedua pula melaksanakan projek UCE merentas teras kokurikulum. Contohnya, walaupun teras yang diikuti mahasiswa adalah Teras Sukan, mereka juga dipimpin untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Menerusi projek UCE, mahasiswa dibimbing untuk merancang dan mengenal pasti sumber dalam menentukan kejayaan projek khidmat masyarakat yang hendak dijalankan. Mereka ber­hadapan dengan masalah sebenar yang memerlukan mereka meng­aplikasikan teori kepada praktikal, menganalisis dan menilai menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Dalam konteks ini, minda mahasiswa melalui proses pembelajaran dan pengajaran yang sangat menarik, efektif dan efisien.

Mahasiswa digalakkan untuk mencari sumber modal menerusi penajaan. Mereka disaran untuk menemui individu dan organisasi tertentu seperti tokoh korporat dan syarikat-syarikat perniagaan untuk memohon penajaan. Dalam hal ini, emosi mahasiswa dilatih untuk mengurus rasa malu dengan betul dan tidak kecewa apabila gagal memohon bantuan penajaan. Seterusnya apabila mendapat wang atau barangan penajaan, mahasiswa diingatkan supaya membelanjakannya dengan penuh berhemah dan ­amanah serta tidak membazir. Dalam hal ini, pembangunan rohani mahasiswa dipupuk untuk menjadi insan yang berintegriti, saksama dan bertanggungjawab.

Pada waktu pelaksanaan projek khidmat masyarakat, mahasiswa akan bertungkus lumus me­ngangkat barang, menanam pokok dan membersihkan sekitar lokasi projek berlangsung. Mahasiswa menggunakan minda kreatif dan inovatif untuk ­menyelesaikan masalah masyarakat. Mereka juga mencipta produk dan peralatan atau mengubahsuai produk dan perala­tan untuk kegunaan masyarakat.

Oleh itu, psikomotor dan minda mahasiswa dilatih untuk menjadi sihat dan cerdas. Apabila mahasiswa berada dalam lingku­ngan masyarakat, mereka berlatih untuk berbual, berbincang, bergurau dengan penuh kesopanan dan mempamerkan peribadi mulia. Ele­men sosial dalam diri mahasiswa dapat dikembangkan. Oleh yang demikian pembangunan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial secara berintegrasi dan bersepadu berlaku apabila mahasiswa melibatkan diri dengan UCE.

Transformasi kokurikulum di menara gading pastinya menjanjikan pengalaman yang menarik kepada mahasiswa. Kokurikulum dapat menjadi pemangkin kepada kelahiran mahasiswa holistik dan seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dan seterusnya menjadi modal insan kelas pertama yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan negara.

– See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/transformasi-kokurikulum-di-universiti-1.371031#sthash.mEisRaR6.bTMyTktc.dpuf

Related Posts

Batang kelapa sawit sumber alternatif lestari bagi industri kayu-kayan Malaysia  

Batang kelapa sawit atau Oil Palm Trunk (OPT) kini menjadi tumpuan sebagai bahan mentah alternatif…

Implikasi kemajuan teknologi terhadap peluang dan cabaran pasaran buruh di Malaysia

Kemajuan teknologi yang pesat telah mengubah landskap industri dan pasaran buruh secara global. Dari revolusi…

Tinggalkan Balasan