Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia sentiasa merealisasikan hubungan utuh dua negara Malaysia-Indonesia. Selari dengan itu, Pejabat Antarabangsa UTHM (PAB) telah berjaya menganjurkan Seminar Perantarabangsaan di UGM, yang bertemakan “Malaysia & Indonesia – Borderless Education” pada 8 April lalu.
Objektif penganjuran seminar ini adalah untuk memberi pendedahan menyeluruh berkenaan isu globalisasi dan perantarabangsaan dalam pendidikan di kedua-dua negara serta prosedur kemasukan pelajar antarabangsa.
Penganjuran bersama UGM ini telah berjaya menarik penyertaan seramai lebih kurang 25 staf yang rata-ratanya merupakan staf dari Pejabat Antarabangsa di universiti-universiti sekitar Jogjakarta.
Seminar Perantarabangsaan ini melibatkan dua forum iaitu “Global Prominence – Studying Abroad” dan “Visa and Student Support”.
Panel forum yang terlibat dalam perkongsian ilmu tersebut adalah Profesor Dr. Wahid Razaly, Profesor Madya Dr. I Made Andi Arsana, Profesor Madya Dr. Seow Tawee, Puan Ida Noviantie (UGM) dan Drs. Sulistiarso, MM, M.Si. (Head Office of Immigration, Jogjakarta).
Menerusi seminar ini, informasi serta pendedahan mengenai perantarabangsaan di dalam pendidikan di UTHM serta UGM dapat dikupas dengan lebih terperinci dan secara tidak langsung berjaya memperkukuhkan hubungan dua hala UTHM-UGM di dalam merealisasikan “Malaysia & Indonesia – Borderless Education”.
Source: Seminar “Malaysia & Indonesia – Borderless Education” rapatkan hubungan dua universiti