Pejabat Hubungan Industri dan Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama TalentCorp Malaysia telah menganjurkan Program Pre-Internship Workshop pada 19 April lalu dan Internship Market Day UTHM pada 20 April bertempat di sekitar Dewan Tunku Mahkota Ismail.

Penganjuran program Internship Market Day ini bertujuan menyediakan platform kepada para pelajar untuk bertemu dengan industri-industri daripada pelbagai sektor yang berminat untuk mengambil pelajar praktikal justeru bertemu duga di tempat yang telah disediakan. Ia bukan sahaja terbuka kepada pelajar yang mencari tempat praktikal, malah yang sedang bersiap siaga untu menghadapi alam kerjaya. Hampir 1000 peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri telah disediakan oleh syarikat-syarikat yang menyertai program tersebut.

Program ini disertai hampir 50 buah syarikat dari pelbagai bidang dan sector antaranya Hewlett Packard Enterprise (HPE), Guocera Holdings, Selia Ekuiti, Clay Industries (Claytan), UM Land, Dyson, Technip, Top Speed, Sushi King, 99 Speed Mart, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gates IT dan Mega Label.

Program ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar dengan kehadiran lebih dari 1500 orang pelajar. Penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar mendapat terus pekerjaan dan penempatan latihan industri selain daripada memberi pengalaman bertemuduga untuk persediaan masa hadapan.

Manakala program Pre-Internship Workshop pula diselitkan dengan dua bengkel iaitu CV Review Workshop dan Interview Dos and Don’ts Workshop. Penganjuran kedua-dua bengkel ini bertujuan mendedahkan para pelajar dengan cara-cara membuat resume yang  lebih interaktif serta merungkai perkara yang digalakkan dan tidak digalakkan semasa temu duga.

Ceramah bengkel telah disampaikan oleh wakil industri Encik Murugahia dari Guocera (Kluang) dan Puan Norashikin dari TalentCorp Malaysia. Bengkel tersebut mendapat sambutan dan perhatian yang menggalakkan daripada pelajar-pelajar UTHM dengan kehadiran lebih daripada 500 pelajar.

Penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi pemahaman yang jelas kepada pelajar tentang etika dan adab semasa temuduga dan penghasilan resume yang terbaik bagi temuduga.

Source: UTHM anjur dua program bantu penuntut hadapi alam pekerjaan