Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan akan menganjurkan satu program yang berkonsepkan kolaborasi di antara pameran dan persidangan yang dilihat berupaya untuk menonjolkan bukan sahaja produk dan fungsinya semata-mata tetapi juga menyediakan satu platform untuk para penyelidik, peserta dan pengunjung untuk berbincang dengan lebih ilmiah bagi medapatkan input yang seterusnya boleh digunakan pula dalam kehidupan inovasi mereka pula kelak.
Program yang telah dirancang dengan penglibatan daripada pihak sekolah, IPTA dan IPTS, jabatan kerajaan dan pihak industri terutama di kawasan sekitar Batu Pahat. Ianya akan menjadi medium bagi semua peserta bukan sahaja untuk mempamerkan hasil kerja inovasi mereka, bahkan juga akan menjadi satu medium bagi mereka untuk cuba memasarkan atau sekurang-kurangnya mendapatkan rakan kongsi bagi menghasilkan dan memasarkan produk mereka secara komersial.
Pada masa yang sama, untuk tujuan tersebut pelajar secara tidak langsung akan didedahkan dengan kepentingan pendaftaran paten, hakmilik, hak rekacipta dan sebagainya bagi memastikan bahawa hak mereka yang sepatutnya tidak akan diabaikan.
Program ini juga dilihat berupaya untuk meningkatkan nilai tambah dalam diri setiap pelajar bukan sahaja dari segi kemahiran insaniah, malahan juga dari segi nilai impak tinggi dengan penglibatan pihak industri yang berminat dengan produk mereka kelak yang sekaligus akan meningkatkan tahap kebolehpasaran pelajar di alam pekerjaan kelak di samping mendekatkan masyarakat kepada budaya inovasi.
“Design Innovation Towards C-Economy” merupakan tema ekspo ini dengan menumpukan kepada inovasi rekabentuk ke arah perealisasian ekonomi Malaysia berasaskan kreativiti atau inovasi. Ianya sejajar dengan Model Inovasi Negara bagi mewujudkan masyarakat yang membudayakan inovasi sekaligus berupaya mengangkat taraf ekonomi mereka.
Objektif penganjuran program ini ialah mengenengahkan teknologi dan inovasi yang dapat menyelesaikan masalah berkaitan kehidupan masyarakat dan industri, membudayakan inovasi dalam kehidupan masyarakat, mengurangkan jurang dan mendekatkan masyarakat dengan ahli akademik, penyelidik dan saintis, memberi peluang kepada perekacipta inovasi memulakan proses mendapat perlindungan harta intelek, perpindahan teknologi dan ilmu pengetahuan di kalangan penyelidik dan perekacipta, memperkukuh bidang tujah penyelidikan di bawah Pusat Kecemerlangan dan Pusat Penyelidikan fakulti, membina kemampuan dan jatidiri di kalangan penyelidik di fakulti dan universiti untuk menjalankan penyelidikan yang terkini, membina jaringan perhubungan di kalangan penyelidik dari dalam dan luar UTHM dan meningkatkan nilai tambah peserta terutamanya pelajar dalam kerjaya kelak.
Dikeluarkan oleh:
Shafry Salim
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia