40 pelajar terbaik yang terpilih dari Malaysia Technical University Networking (MTUN) telah menyertai Program Profesional ICT pada 3 Ogos hingga 14 September lalu di Huawei Global Training Centre, Cyberjaya.
Program MTUN dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. turut melibatkan seramai 12 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang telah disenarai pendek menerusi sesi temuduga dalaman dan pra-ujian.
Pelbagai aktiviti sampingan telah dilaksanakan di hujung minggu sepanjang program berlangsung termasuk Pertandingan Bowling, Walk a Hunt 2015 dan Lawatan ke Genting Highland. Setiap pelajar menerima elaun sebanyak RM750, beserta Huawei T1 Mediapad dan perlu lulus peperiksaan sebelum ditauliahkan dengan sijil profesional dari Huawei. Menariknya, pelajar yang tamat program ini akan diberi jaminan kerja dengan Huawei dan syarikat yang berdaftar.
Setelah menamatkan program tersebut, para peserta akan dianugerahkan dengan Huawei Certified Network Graduate Certification (HCNG) yang menepati kehendak dan keperluan industri ICT di Malaysia di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam kalangan MTUN.
Program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada 24 Ogos 2015.

Source: 12 pelajar FKEE peroleh sijil Huawei Certified Network Graduate