RM15,000 untuk haji, wajarkah jadi syarat mutlak?

Tabung Haji menjadi institusi penting dalam usaha umat Islam di Malaysia membuat persiapan kewangan dan pendaftaran untuk menunaikan ibadah haji. Lebih sembilan juta pendeposit direkodkan, sedangkan kuota haji Malaysia bagi musim 2025 sekitar 31,600 jemaah. Jurang besar antara jumlah pendeposit dengan kuota tahunan merupakan isu yang dihadapi dalam kalangan bakal jemaah. Ramai memilih mendaftar sejak usia muda, kemudian menabung secara konsisten sambil menunggu giliran. Dalam tempoh itu, persediaan kewangan, kesihatan dan ilmu agama turut perlu diberi perhatian.

Perubahan keadaan ekonomi, peningkatan kos kehidupan dan peningkatan kos pengurusan haji menyebabkan persediaan kewangan kini menjadi semakin mencabar. Dalam perkembangan terbaharu, TH memperkenalkan Pelan Persediaan Haji melalui pendekatan Seruan Istito’ah yang menekankan kepentingan kemampuan sebelum seseorang dipanggil menunaikan haji. Antara perkara utama yang mendapat perhatian ialah keperluan mempunyai simpanan minimum RM15,000 bagi mendapatkan kelayakan giliran haji secara automatik.

Secara prinsipnya, penetapan jumlah minimum tersebut mempunyai asas yang munasabah. Kos keseluruhan menunaikan haji kini berada pada sekitar RM33,300 seorang. Bagi musim haji 1448H/2027M, bayaran haji bagi kumpulan B40 ditetapkan pada RM15,000, manakala kumpulan M40 membayar RM23,500 dan kumpulan T20 membayar kos penuh RM33,300. Dalam keadaan kos haji yang semakin tinggi, seseorang bakal jemaah perlu mempunyai persediaan kewangan yang mencukupi sebelum menerima tawaran. Jumlah RM15,000 boleh dilihat sebagai satu penanda aras awal yang menunjukkan seseorang itu telah mempunyai tahap kesiapsiagaan kewangan untuk menunaikan ibadah haji. Ia juga dapat mengurangkan risiko seseorang menerima tawaran tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi.

Keperluan tersebut menjadi lebih jelas berdasarkan rekod penangguhan tawaran haji sebelum ini. TH menyatakan bahawa secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima tawaran haji sebelum ini menangguhkan pemergian atas pelbagai faktor, termasuk kekangan kewangan. Selepas syarat simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan bagi surat tawaran haji pada 2025, kadar penangguhan dilaporkan menurun dengan ketara kepada sekitar 18 peratus. Angka tersebut menunjukkan bahawa budaya persediaan kewangan mempunyai hubungan yang rapat dengan kesediaan bakal jemaah menerima tawaran haji. Dari sudut pengurusan kuota, keadaan ini penting kerana setiap tempat yang ditawarkan tetapi ditolak atau ditangguhkan boleh menyebabkan proses pengisian kuota menjadi lebih mencabar.

Namun demikian, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah sama ada baki RM15,000 dalam akaun benar-benar boleh menggambarkan keseluruhan kemampuan seseorang untuk menunaikan haji. Konsep istito’ah atau kemampuan sebenarnya mempunyai makna yang lebih luas daripada sekadar jumlah wang yang terdapat dalam akaun simpanan. Kemampuan seseorang perlu dilihat secara menyeluruh, termasuk keadaan kewangan, kesihatan fizikal dan mental, tanggungan keluarga serta kos keperluan semasa ibadah sebelum seseorang berangkat ke Tanah Suci.

Dalam masa yang sama, perubahan dasar perlu mengambil kira kepentingan pendeposit yang telah lama mendaftar haji. Prinsip “daftar dahulu, didahulukan” atau first-come, first-served merupakan asas penting dalam sistem giliran haji. Ramai pendeposit telah menunggu bertahun-tahun dan membuat perancangan untuk menunaikan ibadah haji. Ada yang mendaftar ketika berusia 20-an atau 30-an dan kini sudah memasuki usia 50-an atau 60-an. Mereka bukan sahaja menyimpan wang, malah menunggu dengan penuh harapan untuk menerima panggilan daripada TH. Oleh itu, sebarang perubahan kepada sistem giliran perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan persepsi bahawa pendeposit yang telah lama menunggu kehilangan giliran mereka.

TH telah mengambil langkah yang baik dengan memberikan tempoh peralihan kepada pendeposit sedia ada sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai simpanan minimum RM15,000. Tempoh tersebut memberikan peluang kepada pendeposit untuk menyusun semula kewangan dan meningkatkan simpanan secara berperingkat. Namun, apabila sistem baharu dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2029, TH perlu memastikan mekanisme pengiraan giliran dan syarat kelayakan diterangkan dengan jelas kepada masyarakat. Ketelusan amat penting kerana isu giliran haji bukan semata-mata isu pentadbiran, tetapi berkait rapat dengan harapan dan impian umat Islam yang telah menunggu sekian lama.

Pendekatan Tabung Istito’ah amat penting bagi golongan berpendapatan rendah. Bagi sesetengah individu, RM15,000 mungkin boleh dikumpulkan dalam tempoh yang singkat, tetapi bagi keluarga berpendapatan rendah jumlah tersebut mungkin memerlukan bertahun-tahun untuk dicapai. Oleh itu, jika syarat RM15,000 dilaksanakan secara terlalu rigid, terdapat kebimbangan sebahagian pendeposit berpendapatan rendah yang telah lama menyimpan sedikit demi sedikit akan berasa semakin jauh daripada peluang menunaikan haji. Dalam keadaan ini, TH boleh mempertimbangkan mekanisme rayuan atau pertimbangan khas bagi kes tertentu, khususnya kepada pendeposit yang hampir mencapai jumlah minimum dan mempunyai rekod simpanan yang konsisten.

Mekanisme tersebut tidak bermaksud syarat RM15,000 perlu dimansuhkan. Sebaliknya, ia boleh menjadikan sistem lebih fleksibel dan berperikemanusiaan. Sebagai contoh, pendeposit yang mempunyai RM13,000 atau RM14,000 tetapi menunjukkan kemampuan untuk menambah simpanan secara konsisten mungkin diberikan tempoh tambahan untuk mencapai jumlah minimum. Pendekatan ini juga boleh menggalakkan pendeposit supaya tidak mengeluarkan simpanan secara sewenang-wenangnya dan terus membina dana haji secara berdisiplin. Pada masa yang sama, TH boleh menyediakan panduan simpanan berdasarkan umur, pendapatan dan jangkaan tempoh giliran supaya pendeposit mempunyai sasaran yang lebih jelas.

Pelan Persediaan Haji melalui Seruan Istito’ah merupakan langkah penting dalam menyesuaikan pengurusan haji negara dengan realiti ekonomi semasa. Syarat simpanan RM15,000 mempunyai rasional yang jelas kerana ia mendorong bakal jemaah membuat persediaan lebih awal, membina disiplin simpanan dan mengurangkan risiko penangguhan tawaran kerana masalah kewangan. Namun begitu, RM15,000 wajar dilihat sebagai penanda aras kemampuan kewangan dan bukannya ukuran mutlak istito’ah.

TH boleh mengekalkan RM15,000 sebagai sasaran utama sambil menyediakan ruang pertimbangan bagi kes tertentu. Prinsip “daftar dahulu, didahulukan” juga perlu terus dipelihara supaya kepercayaan pendeposit terhadap sistem giliran kekal kukuh. Dalam masa yang sama, masyarakat perlu memahami bahawa persediaan haji tidak bermula apabila surat tawaran diterima. Persediaan bermula sejak seseorang mendaftar, menyimpan secara konsisten, menjaga kesihatan dan memastikan tanggungjawab terhadap keluarga dipenuhi. TH perlukan pendekatan yang menggabungkan disiplin kewangan, keadilan sistem giliran dan fleksibiliti bagi keadaan tertentu akan menjadikan pengurusan haji negara lebih seimbang, inklusif dan selari dengan semangat istito’ah itu sendiri.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel Berkaitan

Terkini