Oleh PM Ts. Dr. Marlina Mohamad, Dr. Azita Ali, PM Ts. Dr. Faizal Amin Nur Yunus
BATU PAHAT – Usaha Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membangunkan program Sarjana Muda Teknologi Multimedia Kreatif dengan Pendidikan dengan Kepujian kini menjadi realiti apabila seramai 30 pelajar kohort pertama memulakan pengajian bagi sesi akademik 2026/2027.
Kemasukan kohort perintis itu menjadi sejarah penting kepada Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), sekali gus menandakan bermulanya pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama seumpamanya dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang dibangunkan berdasarkan piawaian Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA).
Program tersebut mengintegrasikan tiga komponen utama, iaitu pendidikan, teknologi multimedia kreatif dan pembelajaran berasaskan pekerjaan (Work-Based Learning) menerusi pendekatan 3U1i.
Melalui pendekatan 3U1i, pelajar akan mengikuti tiga tahun pengajian di universiti sebelum meneruskan pembelajaran dalam persekitaran pekerjaan sebenar pada tahun akhir pengajian.
Bagi komponen industri, pelajar akan menjalani WBL selama enam bulan dalam industri multimedia kreatif yang memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran teknikal dan kreativiti dalam konteks pekerjaan sebenar, di samping membina profesionalisme dalam pekerjaan.
Seterusnya, pelajar akan mengikuti latihan profesional selama enam bulan di sekolah atau institusi pendidikan bagi membangunkan kompetensi sebagai pendidik TVET yang mampu mengintegrasikan teknologi dan multimedia kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pendekatan itu membolehkan pembelajaran berlaku merentasi tiga ekosistem utama, iaitu universiti, industri dan sekolah, sekali gus menghubungkan pengetahuan akademik, pengalaman industri dan kompetensi profesional pendidikan dengan keperluan dunia pekerjaan.
Bagi meraikan dan menyantuni kohort perintis tersebut, satu pertemuan bersama Dekan dan barisan pengurusan FPTV telah diadakan di Studio Pendidikan FPTV.
Pertemuan itu turut menjadi ruang untuk pihak fakulti mengalu-alukan para pelajar serta berkongsi aspirasi dan hala tuju program sepanjang tempoh pengajian mereka.
Menurut Ketua Program BBT, Profesor Madya Ts. Dr. Marlina Mohamad, penerimaan kohort pertama itu membawa makna yang cukup besar selepas melalui proses pembangunan kurikulum, perancangan dan persediaan pelaksanaan program.
“Kohort pertama ini amat istimewa kerana mereka bukan sekadar kumpulan pertama yang mengikuti program ini, tetapi turut menjadi sebahagian daripada sejarah pembangunan program.
“Mereka akan menjadi kumpulan pertama yang melalui keseluruhan pengalaman pembelajaran menerusi pendekatan 3U1i, merangkumi pembelajaran di universiti, pengalaman sebenar dalam industri serta latihan profesional dalam persekitaran pendidikan,” katanya.
Tambah beliau, program tersebut dirangka bagi melahirkan graduan yang mempunyai dua kekuatan utama iaitu kompetensi dalam bidang teknologi multimedia kreatif serta kompetensi profesional pendidikan.
Gabungan kedua-dua kompetensi itu membuka laluan kerjaya yang lebih luas kepada graduan, sama ada sebagai pendidik yang menguasai teknologi multimedia kreatif mahupun dalam sektor industri kreatif, pembangunan kandungan digital dan keusahawanan.
Kemasukan 30 pelajar kohort perintis itu bukan sahaja menandakan bermulanya pelaksanaan sebuah program akademik baharu, malah mencerminkan komitmen UTHM untuk terus menawarkan pendidikan TVET yang berorientasikan kompetensi, berasaskan industri serta responsif terhadap perkembangan teknologi dan keperluan pendidikan masa hadapan.



