Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Syarikat Glide Technology Sdn. Bhd. (GTSB) telah menyalurkan tajaan berjumlah RM25 ribu dalam bentuk kelengkapan dan kos ubah suai bagi projek pengubahsuaian bilik kuliah yang dinamakan ‘Bilik Pintar Glide’ bertempat di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Projek menaik taraf ruang melalui sumbangan industri itu bertujuan memberi suasana yang lebih kondusif bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP), sekali gus sebagai usaha merancakkan lagi aktiviti libat sama universiti dengan pihak korporat atau industri dalam sektor pendidikan tinggi bagi memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

GTSB merupakan syarikat milik penuh Bumiputera untuk membangun dan mengkomersialkan ‘Minyak Transformer Berasaskan Ester Minyak Sawit MPOB-GLIDE’ pertama di Malaysia.

GTSB yang beroperasi di Selangor dinaungi oleh Presidennya, Datuk Haji Muhazli Haji Muhamad.

Jalinan kerjasama bersama industri itu juga bertepatan dengan program akademik di FKMP khususnya dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta minyak dan gas.

GTSB juga merupakan pembekal utama rangkaian produk minyak pelincir dengan harga istimewa kepada Inkubator Keusahawanan Siswa FKMP iaitu PROTEAM yang menjalankan perniagaan khidmat servis kenderaan bermotor di UTHM.

Untuk rekod, Bilik Pintar Glide telah dirasmikan pada 5 Disember 2024 lalu oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim.

Turut dirasmikan pada hari yang sama, Bilik Virtual Reality dan Inkubator Bilik Virtual Reality, Inkubator Pusat Servis Kenderaan FKMP PROTEAM dan Pantri fakulti tersebut.