Majlis pengijazahan atau juga dikenali sebagai konvokesyen merupakan acara tahunan yang sangat dinanti-nantikan oleh para graduan, ibu bapa dan ahli akademik di semua institusi pengajian tinggi. Majlis ini bukan sahaja menjadi simbol kejayaan akademik seseorang graduan, malah ia melambangkan pencapaian cemerlang dalam usaha menuntut ilmu serta mengangkat martabat keilmuan. Dalam konteks pendidikan tinggi, majlis ini menjadi platform untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian pelajar, pensyarah dan institusi pendidikan itu sendiri. Ia mencerminkan penghargaan kepada usaha gigih serta pengorbanan yang dilakukan oleh para graduan sepanjang tempoh pengajian mereka.
Perkataan konvokesyen berasal daripada perkataan latin ‘connvoco’ yang bermaksud “memanggil; mengundang; mengumpulkan dan menghimpunkan”. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka konvokesyen bermaksud perhimpunan di universiti untuk upacara penyampaian ijazah. Ia merupakan sebuah majlis yang gilang gemilang dan penuh dengan adat istiadat serta sarat dengan pelbagai falsafah untuk dihayati. Pemakaian rasmi graduan dalam istiadat konvokesyen yang terdiri daripada jubah dan topi mortar membawa takrifan menjunjung ilmu yang dianugerahkan kepada mereka. Manakala bagi ahli akademik menyarung jubah dan memakai topi di hari konvokesyen memberikan simbolik ilmu yang dijunjung dan disampaikan kepada para pelajar.
Menelusuri sejarah pemakaian jubah dan topi mortar semasa majlis konvokesyen di seluruh dunia telah menemukan fakta-fakta yang sangat menarik. Menurut catatan Genius Book of Record universiti pertama di dunia yang mengadakan majlis konvokesyen untuk penganugerahan ijazah kepada pelajar-pelajarnya ialah Universiti Al Qarawiyyin yang terletak di kota Fez Morocco. Universiti Al Qarawiyyin adalah universiti yang tertua di dunia. Ia diasaskan sebagai masjid oleh Fatima al-Fihri pada 857–859 dan seterusnya berkembang menjadi salah satu pusat kerohanian dan pendidikan terkemuka pada zaman keemasan Islam dan masih beroperasi sehingga ke hari ini.
Catatan sejarah ini juga menemukan hubungan antara pemakaian jubah dan topi mortar pada majlis-majlis konvokesyen dengan tradisi pemakaian para graduan. Pakaian pengijazahan yang biasa dipakai di seluruh dunia hari ini berasal dari pakaian Arab iaitu thawb atau qamees yang bermaksud jubah. Amalan pemakaian arab atau pakaian muslim yang longgar dan lebar telah kekal hingga kini dan tersebar ke seluruh dunia. Jack Goody dalam bukunya bertajuk Islam in Europe menyatakan bahawa “Pakaian Arab (thawb) kekal sebagai tanda integriti skolastik yang paling tulen dan paling jelas sehingga hari ini, terutamanya semasa acara akademik seperti perbahasan dan pengijazahan”. Pemakaian topi mortar juga adalah merupakan tradisi Islam yang dipakai oleh para ulama di sana. Topi rata itu digunakan untuk meletakkan al-Quran bagi melambangkan ketinggian kitab suci al-Quran berbanding akal. Rumbai di bahagian belakang topi mortar itu digunakan sebagai penanda halaman al-Quran yang dibaca. Dalam situasi pemakaian jubah konvokesyen, pelajar membawa topi mortar sebagai simbol membawa al-Quran. Topi tersebut hanya boleh diletakkan di atas kepala apabila seseorang pelajar itu telah menamatkan pengajiannya. Ia sebagai simbol ketinggian ilmu yang dimilikinya dan berikrar akan menyampaikan ilmu yang dikuasainya dengan tulus ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ilmu yang dimiliki.
Momen penting penyerahan skrol yang menjadi lambang penyerahan segulung ijazah kepada para graduan adalah simbolik yang perlu difahami oleh para graduan. Perkataan ijazah berasal daripada perkataan kata dasar bahasa arab ajāza أجَازَ iaitu ‘membenarkan’ atau ‘mengizinkan.’ Menurut Fayruzabadi dalam kitabnya al-Qāmus al-Muħīṭ menyatakan ia bermakna ‘memberi kebenaran, kuasa atau hak untuk mengajar.’ Ia juga boleh difahami sebagai kebenaran untuk menggunakan ilmu yang telah dipelajarai dalam kehidupan seharian mengikut bidang masing-masing. Ilmu yang diperolehi haruslah diletakkan pada tempat dan kedudukan yang bertul agar ilmu dan orang yang berilmu berada pada kedudukan yang tidak bertentangan antara satu sama lain.
Merujuk kepada perbahasan dalam bidang epistemologi Islam iaitu satu bidang kajian berkaitan teori ilmu (theory of knowledge) telah menemukan kita dengan pelbagai maksud ilmu dari perspektif Islam. Antaranya sebagaimana yang dinyatakan oleh Fakhr al-Din al-Razi iaitu makna ilmu pengetahuan ialah ‘kedatangan jiwa pada makna sesuatu benda’. Manakala menurut Syed Muhammad Naquib al-Atas, ilmu bermaksud ‘Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu’.
Pemaknaan yang diberikan oleh para cendikiawan ini menyedarkan kita bahawa ilmu yang dipelajari seharusnya menjadikan seseorang yang berilmu itu memahami maksud ilmu pada makna hakikat. Pertama, perlu difahami bahawa semua ilmu yang diperoleh adalah berpunca dari Allah SWT yang bersifat al ‘Alim (Maha Mengetahui). Hakikat ini menyedarkan kita bahawa manusia itu bersifat lemah. Manusia tidak mampu untuk memahami dan memperoleh sesuatu ilmu itu melainkan dengan keizinan Allah SWT. Kedua, ilmu yang dipelajari seharusnya membawa individu tersebut untuk lebih mengenal Tuhannya. Manakala yang ketiga, orang yang berilmu seharusnya bersifat dengan sifat tawadhuk iaitu merendah diri, tidak sombong dan angkuh, menghormati orang lain serta berakhlak dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan.
Allah SWT telah memberi penjelasan bahawa wujud perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu sebagaimana firman-Nya dalam surah az Zumar yang berkasud “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. Justeru, ilmu haruslah diletakkan pada tempat yang selayaknya dan tidak dijadikan sebagai ‘bahan dagangan’ bagi tujuan meraih kedudukan dan kemuliaan hidup di dunia semata-mata. Sebaliknya ilmu perlu dijadikan sebagai wahana untuk meningkatkan kualiti diri dalam kehidupan bermasyarakat dan disisi Allah SWT.
Dr. Halimi Mohd Khalid
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Islam
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)