Oleh Munirah Mohd Yusof dan Scanly Wong
BALING – Sebelum menutup tirai 2024, Kelab Kembara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menawan dua puncak gunung iaitu Gunung Baling dan Gunung Pulai yang terletak di Baling, Kedah pada 27 dan 28 Disember 2024 lalu.
Misi tersebut disertai oleh 27 peserta yang diketuai oleh Dr. Mohamad Aizi Salamat selaku penasihat kelab serta dibantu oleh seorang malim gunung yang berpengalaman.
Pendakian pertama ke Gunung Baling setinggi 546 meter itu diadakan pada pada 27 Disember lalu yang mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke puncak.
Setelah mengharungi laluan hutan dan trek berbatu sehingga melepasi puncak tipu, mereka akhirnya berjaya sampai ke puncak Gunung Baling dan berpeluang menikmati pemandangan yang sangat indah.
Selesai menikmati keindahan puncak gunung, peserta turun semula dan menuju ke tapak perkhemahan di Lubuk Pedati untuk berehat dan bersedia untuk pendakian esok yang bermula sekitar pukul 2 pagi.
Dengan semangat dan kekuatan baharu, peserta memulakan pendakian ke Gunung Pulai yang agak mencabar laluannya kerana mereka perlu menyusuri trek berbatu pada waktu malam dengan jarak penglihatan yang sangat terhad.
Berketinggian 620 meter, trek Gunung Pulai digelar ‘trek kejam’ kerana permukaannya yang berbatu tajam, serta tiada kawasan yang landai mahupun mendatar.
Walaupun trek pendakian mencanak naik sehingga 80 darjah serta agak berbahaya, kesemua peserta berjaya sampai ke puncak Gunung Pulai sekitar pukul 6 pagi untuk solat subuh dan menikmati keindahan pemandangan matahari terbit di atas puncak.
Pendakian selama empat jam itu diakhiri dengan cabaran berbahaya saat menuruni gunung tersebut terutama bagi mereka yang mudah berasa gayat.
Pendaki perlu memikirkan pijakan tapak mana yang bersesuaian ketika turun selain perlu pandai mengimbangi diri.
Ada kalanya, badan pendaki perlu dipusingkan dan turun secara mengundur untuk memastikan pergerakan mereka lebih stabil dan selamat.
Menurut pengarah program, Scanly Wong meskipun mereka menghadapi dugaan yang sangat mencabar, terutama sekali dengan keadaan gunung yang hampir 90 peratus berbatu, semangat mereka tidak sedikitpun luntur dalam mengejar pengalaman dan pengetahuan baharu, selain mahu menikmati keindahan alam semula jadi.
“Kami percaya bahawa dengan semangat berpasukan yang kukuh, segala rintangan dapat diatasi dan ekspedisi ini akan berakhir dengan kejayaan.
“Pengalaman mendaki kali ini telah membuka mata kami tentang pentingnya kerjasama berpasukan dan sokongan antara satu sama lain.
“Meskipun ada peserta yang turun agak perlahan kerana sudah keletihan, mereka tetap bekerja sama membantu antara satu sama lain menuruni gunung dengan selamat,” katanya.
Pendakian sebegitu bukan sahaja menggalakkan peserta mencabar diri dan keluar daripada zon selesa, tetapi juga memberikan pengalaman yang sangat berharga, yang tidak ternilai dengan wang ringgit.