Penyertaan Malaysia dalam BRICS telah menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati ekonomi dan politik. Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang membangun dengan asas ekonomi yang kukuh, kini berada di persimpangan penting dalam usaha untuk meningkatkan ekonominya di peringkat global. Keputusan untuk menyertai BRICS, sebuah kumpulan ekonomi yang terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, dilihat sebagai langkah yang strategik dan berpotensi memberikan impak besar kepada ekonomi negara.

BRICS bukan sahaja mewakili sekitar 41% daripada populasi global, tetapi juga menyumbang kira-kira 37.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2023. Ini menunjukkan potensi besar yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dengan menyertai organisasi ini.

Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaannya untuk memulakan prosedur rasmi menyertai organisasi antara kerajaan ini. Penyertaan Malaysia sebagai anggota BRICs akan memberi impak kepada peluang ekonomi baharu melalui peluang perdagangan, pelaburan asing langsung, kerjasama teknologi, pembangunan infrastruktur dan penjanaan ekonomi. Dari perspektif yang menyeluruh, Malaysia perlu memanfaatkan platform ini untuk meningkatkan daya saing ekonominya pada era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0.

 

Peluang perdagangan yang lebih luas

Salah satu manfaat utama yang boleh diperoleh Malaysia daripada menyertai BRICS adalah akses kepada pasaran yang lebih besar dan pelbagai. Negara-negara anggota BRICS, terutamanya China dan India, merupakan antara ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia. Sebagai contoh, China telah lama menjadi rakan dagang terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM421 bilion. Penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi untuk memperkukuhkan hubungan perdagangan sedia ada dengan negara-negara ini, serta membuka pintu kepada pasaran lain seperti Brazil dan Afrika Selatan.

Pasaran yang lebih besar ini memberikan Malaysia peluang untuk meningkatkan eksportnya, terutamanya dalam sektor-sektor seperti teknologi, elektronik, kelapa sawit dan perkhidmatan kewangan. Dengan memanfaatkan hubungan yang lebih erat dengan negara-negara BRICS, Malaysia boleh memperluaskan kehadirannya dalam pasaran global dan mengurangkan kebergantungan terhadap rakan dagang tradisional seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Selain itu, akses kepada pasaran baharu ini juga boleh membantu PKS Malaysia untuk berkembang melalui kerjasama perdagangan rentas sempadan yang lebih mudah dan kurang sekatan.

 

Pelaburan asing langsung (FDI)

Satu lagi kelebihan penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah peluang untuk menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) dari negara-negara anggota. Negara-negara seperti China dan India mempunyai pelabur besar yang aktif mencari peluang pelaburan di luar negara mereka. Dengan Malaysia sebagai sebahagian daripada BRICS, negara ini dapat meningkatkan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat-syarikat dari negara-negara ini yang ingin memanfaatkan kelebihan lokasi Malaysia di rantau ASEAN.

Sektor-sektor utama seperti teknologi maklumat, pembuatan, tenaga dan infrastruktur dijangka akan menarik minat pelabur dari negara-negara BRICS. Pelaburan dalam sektor-sektor ini bukan sahaja akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia. Di samping itu, Malaysia juga boleh menggunakan kedudukannya dalam BRICS untuk menarik pelabur lain dari luar BRICS yang ingin memanfaatkan hubungan rapat Malaysia dengan ekonomi-ekonomi utama ini.

 

Kerjasama teknologi dan inovasi

Dalam era Revolusi Industri 4.0, kerjasama teknologi dan inovasi menjadi salah satu komponen penting bagi mana-mana negara yang ingin kekal relevan dan kompetitif di peringkat global. BRICS, yang terdiri daripada beberapa negara yang memimpin dalam pembangunan teknologi seperti China dan India, menyediakan platform yang sesuai bagi Malaysia untuk memanfaatkan inovasi dan kemajuan teknologi dari negara-negara ini.

China, sebagai contoh, telah menjadi peneraju global dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi maklumat dan pembangunan infrastruktur digital. Pada tahun 2023, China mengeluarkan lebih daripada 50% daripada paten AI global, menunjukkan kepimpinan negara ini dalam teknologi baharu. India pula terkenal dengan keupayaan dalam teknologi maklumat dan perkhidmatan teknologi, dengan pasaran teknologi maklumat yang bernilai USD 200 bilion.

Dengan menyertai BRICS, Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi dari China dan negara anggota lain untuk mempercepatkan transformasi digital di dalam negara. Kerjasama ini boleh membantu meningkatkan kecekapan sektor-sektor penting seperti pembuatan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan awam. Di samping itu, Malaysia juga dapat memanfaatkan peluang untuk berkongsi teknologi yang dibangunkan secara bersama dengan negara-negara BRICS, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan lestari.

Kerjasama teknologi juga boleh memberi impak yang signifikan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dan akses kepada teknologi canggih melalui BRICS boleh membantu meningkatkan daya saing mereka di pasaran global. Dengan kerjasama dalam inovasi dan teknologi, PKS boleh memanfaatkan teknologi baharu untuk mengoptimumkan operasi mereka, meningkatkan produktiviti dan menjana nilai tambah yang lebih tinggi.

 

Pembangunan infrastruktur dan kewangan

Penyertaan Malaysia dalam BRICS juga membuka peluang untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi pembangunan infrastruktur. BRICS mempunyai bank pembangunannya sendiri, New Development Bank (NDB), yang menyediakan pembiayaan kepada negara-negara anggota untuk projek-projek pembangunan infrastruktur dan ekonomi. Malaysia boleh memanfaatkan sumber kewangan ini untuk mempercepatkan projek-projek infrastruktur yang penting bagi pertumbuhan ekonomi negara, seperti projek-projek dalam sektor tenaga, pengangkutan dan telekomunikasi.

Pelaburan dalam infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja akan membantu meningkatkan produktiviti ekonomi negara, tetapi juga meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing. Dengan infrastruktur yang lebih moden dan efisien, Malaysia akan dapat menarik lebih banyak pelaburan asing dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.

Dari segi kewangan, penyertaan dalam BRICS juga memberi Malaysia peluang untuk terlibat dalam pelbagai inisiatif kewangan yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Negara-negara BRICS berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (USD) dalam urus niaga antarabangsa. Dengan terlibat dalam inisiatif sedemikian, Malaysia boleh mempelbagaikan sumber kewangan dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan ketidaktentuan nilai mata wang utama dunia.

 

Mengukuhkan Ketahanan ekonomi

Ketidaktentuan ekonomi global, seperti yang dibuktikan oleh pandemik Covid-19 dan konflik geopolitik yang berterusan, menuntut negara-negara untuk mencari cara untuk meningkatkan ketahanan ekonomi mereka. Penyertaan Malaysia dalam BRICS boleh membantu negara ini membina ketahanan ekonomi melalui kerjasama dalam bidang perdagangan, kewangan dan pembangunan.

Sebagai contoh, jika Malaysia dapat meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara BRICS, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi tradisional seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Ini penting dalam situasi yang mana ketidaktentuan di pasaran Barat boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Dengan mengembangkan rangkaian rakan dagang dan pelaburan ke negara-negara BRICS, Malaysia dapat memastikan pertumbuhan ekonominya lebih stabil dan tidak mudah terjejas oleh kemerosotan ekonomi global.

 

Cabaran yang perlu diatasi

Walaupun penyertaan Malaysia dalam BRICS menawarkan pelbagai peluang, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan kejayaan penyertaan ini. Antaranya ialah persaingan sengit dalam pasaran global yang melibatkan negara-negara anggota BRICS, terutamanya China dan India, yang mempunyai industri dan sektor ekonomi yang sangat kompetitif. Malaysia perlu bersedia untuk bersaing dengan negara-negara ini dalam menarik pelaburan dan memastikan produk serta perkhidmatan tempatan kekal relevan di pasaran global.

Di samping itu, Malaysia perlu berhati-hati dalam mengimbangi hubungan dengan negara-negara Barat dan negara-negara BRICS, mengingat ketegangan politik yang mungkin timbul. Pendekatan diplomasi yang bijak diperlukan untuk memastikan Malaysia memanfaatkan peluang yang ditawarkan oleh BRICS tanpa menjejaskan hubungan baik dengan negara-negara lain. Pematuhan terhadap piawaian dan peraturan antarabangsa juga perlu diberi perhatian, kerana penyertaan dalam BRICS memerlukan penyesuaian kepada pelbagai piawaian perdagangan dan pelaburan yang mungkin berbeza daripada amalan sedia ada di Malaysia.

 

Kesimpulannya, penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi untuk membawa banyak peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara. Dari segi perdagangan, pelaburan, teknologi dan pembangunan infrastruktur, BRICS menawarkan platform yang membolehkan Malaysia meningkatkan pengaruh ekonominya di peringkat global. Walau bagaimanapun, cabaran seperti persaingan sengit dan ketidakpastian geopolitik perlu diuruskan dengan bijaksana bagi memastikan kejayaan penyertaan ini. Dengan strategi yang tepat, penyertaan dalam BRICS boleh menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan daya saing Malaysia di era globalisasi dan Revolusi Industri 4.0.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)