Zon penampan merujuk kepada kawasan pengasingan yang direka khas untuk mengurangkan kesan pencemaran dari satu kawasan ke kawasan yang lain, terutama sekali di antara kawasan perindustrian dan kawasan perumahan. Zon ini biasanya terdiri daripada elemen-elemen hijau seperti taman, pokok-pokok dan semak-samun, serta struktur binaan seperti tembok penghadang dan taman rekreasi. Tujuan utama zon penampan adalah untuk memelihara keseimbangan ekosistem dan kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan berisiko tinggi pencemaran. Zon penampan dilihat dapat mengurangkan pencemaran udara yang mana zon penampan berfungsi sebagai penapis semula jadi yang menghalang penyebaran bahan pencemar udara dari kawasan perindustrian ke kawasan perumahan. Tumbuhan dalam zon penampan mampu menyerap gas berbahaya seperti karbon dioksida dan karbon monoksida serta sekaligus memperbaiki kualiti udara.

Tambahan itu, zon penampan juga dilihat dapat mengawal pencemaran bunyi. Terdapat kajian-kajian terdahulu yang dilakukan membuktikan bahawa zon penampan boleh dijadikan sebagai kawasan penebat bunyi. Pencemaran bunyi merupakan satu lagi isu yang sering dihadapi di kawasan perindustrian. Tumbuhan dan struktur binaan dalam zon penampan boleh mengurangkan tahap bunyi yang sampai ke kawasan perumahan, seterusnya mengurangkan gangguan terhadap penduduk setempat. Dari aspek kualiti air pula, zon penampan dilihat dapat mengekalkan kualiti air. Zon penampan yang ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan boleh bertindak sebagai kawasan penyerapan air hujan, mengurangkan aliran air yang tercemar ke dalam sistem sungai dan tasik. Ini membantu mengekalkan kualiti air dan mencegah pencemaran sumber air.

Seterusnya, keperluan zon penampan sememangnya memelihara ekosistem yang semakin pupus. Pembentukan ekosistem tanaman ini dilihat membantu dalam memelihara dan memulihara hidupan flora dan fauna. Dalam membantu memelihara alam sekitar, sekali gus zon penampan menyumbang kepada kelestarian ekosistem di dunia. Zon penampan yang dipenuhi dengan flora yang pelbagai menyediakan habitat semulajadi bagi pelbagai spesies fauna. Ini membantu dalam memelihara biodiversiti dan menyokong ekosistem tempatan.

Di Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah mengeluarkan Garis Panduan Perletakan Kawasan Perindustrian yang menggariskan keperluan jarak dan elemen-elemen zon penampan yang diperlukan bagi kawasan pembangunan perindustrian yang berhampiran dengan kawasan perumahan. Menurut garis panduan ini, zon penampan perlu mempunyai komposisi 70% penampan hijau dan 30% penampan fizikal. Jaluran tanaman hijau boleh dalam lingkungan 30 meter bagi industri khas dan berat, 20 meter bagi industri sederhana dan 10 meter bagi industri ringan. Zon penampan atau zon penebat, boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk dan struktur bergantung kepada jenis pencemaran yang ingin dikawal. Berikut adalah beberapa contoh zon penampan yang sering digunakan seperti taman rekreasi. Taman rekreasi berfungsi sebagai kawasan hijau yang luas di tengah-tengah bandar yang padat. Ia membantu mengurangkan pencemaran udara dan bunyi, menyediakan tempat untuk aktiviti rekreasi dan menyokong biodiversiti tempatan.

Seterusnya hutan bandar yang mana ia merupakan kawasan hijau yang dilindungi dan ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan. Ia berfungsi sebagai penampan semula jadi yang mengurangkan pencemaran udara, menyerap karbon dioksida dan menyediakan habitat untuk flora dan fauna. Zon penampan dalam bentuk stuktur juga mampu berfungsi dengan baik seperti tembok penghadang. Tembok penghadang bunyi sering dibina di sepanjang lebuh raya atau kawasan perindustrian untuk mengurangkan pencemaran bunyi ke kawasan perumahan berhampiran. Struktur ini mampu menyerap dan memantulkan gelombang bunyi serta mengurangkan kebisingan yang dirasakan oleh penduduk setempat.

Seterusnya taman hijau di kawasan perumahan menyediakan ruang hijau yang menenangkan, mengurangkan kesan pencemaran dan memperbaiki kualiti hidup penduduk. Pokok dan tumbuhan dalam taman ini juga membantu menapis udara dan mengurangkan suhu sekitar. Tambahan itu, kolam takungan air hujan berfungsi sebagai zon penampan yang mengawal aliran air dan mencegah banjir. Ia juga membantu menapis air hujan sebelum ia memasuki sistem sungai, mengurangkan pencemaran air dan menyokong biodiversiti akuatik.

Walaupun zon penampan memberikan banyak manfaat, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaannya. Antaranya adalah kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi, serta kekangan ruang di kawasan bandar yang padat. Selain itu, kesedaran dan komitmen daripada pihak berkuasa tempatan dan pemaju juga amat penting untuk memastikan keberkesanan zon penampan ini.

Zon penampan memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal pencemaran alam sekitar di Malaysia. Dengan perancangan dan pelaksanaan yang teliti, zon penampan bukan sahaja dapat mengurangkan kesan negatif pembangunan perindustrian, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan dan kesihatan penduduk serta keseimbangan ekosistem. Oleh itu, usaha untuk memperluaskan penggunaan zon penampan perlu diteruskan dan dipertingkatkan agar pembangunan negara dapat dicapai tanpa mengorbankan alam sekitar.

 

Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan bin Abd Rahim

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)