Johor sedang meneliti cadangan untuk mengubah waktu bekerja sektor awam kepada empat hari setengah seminggu, berikutan perubahan cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri sedang menimbang untuk melaksanakan sistem kerja tersebut bagi meningkatkan kesejahteraan penjawat awam dan menambah baik produktiviti sektor awam. Bagaimanapun, untuk melaksanakan cadangan, kerajaan perlu membuat penambahbaikan yang menyeluruh, termasuk dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dan pengukuhan perkhidmatan digital. Salah satu elemen utama dalam pelaksanaan kerja empat hari setengah adalah penambahbaikan dalam perkhidmatan awam yang boleh menyokong produktiviti penjawat awam tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan yang diterima oleh rakyat. Oleh itu, kerajaan Johor perlu memastikan bahawa meskipun hari bekerja dipendekkan, perkhidmatan yang diberikan tetap efisien dan berkualiti tinggi.
Tambah baik perkhidmatan digital
Salah satu langkah yang boleh diambil adalah dengan memperkasa perkhidmatan digital. Pendigitalan perkhidmatan awam telah terbukti memberi impak positif dalam meningkatkan kecekapan. Dalam konteks ini, kerajaan Johor perlu memastikan lebih banyak urusan kerajaan boleh dilakukan secara dalam talian, seperti pembayaran cukai, pendaftaran perkhidmatan dan permohonan lesen. Ini tidak hanya akan memudahkan rakyat, tetapi juga mengurangkan keperluan untuk interaksi secara fizikal yang memakan masa, sekali gus meningkatkan produktiviti.
Latihan berterusan
Selain itu, kerajaan perlu mengkaji dan merancang semula struktur kerja dalam perkhidmatan awam supaya penjawat awam dapat menyesuaikan diri dengan sistem baru ini. Sistem kerja empat hari setengah memerlukan penjawat awam untuk lebih fokus dan cekap dalam menyelesaikan tugas-tugas mereka dalam waktu yang lebih singkat. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan negeri perlu menyediakan latihan berterusan yang akan membantu penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka dalam melaksanakan tugas. Latihan ini boleh melibatkan kemahiran teknologi, pengurusan masa dan penggunaan sistem digital yang terkini. Dengan adanya latihan yang sistematik dan berfokus, pekerja sektor awam akan dapat menyesuaikan diri dengan sistem waktu kerja yang ditetapkan dan lebih produktif.
Penyeragaman waktu operasi kaunter
Bagi memastikan pelaksanaan sistem kerja empat hari setengah tidak mengganggu perkhidmatan kepada rakyat, kerajaan perlu memanjangkan waktu operasi kaunter bagi perkhidmatan kritikal. Waktu operasi kaunter yang lebih panjang, termasuk semasa waktu rehat tengah hari, boleh membantu mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kemudahan kepada orang ramai. Sebagai contoh, perkhidmatan yang berkaitan dengan pembayaran bil, pendaftaran perkhidmatan kerajaan dan permohonan dokumen penting harus diurusan dengan lebih fleksibel. Sekiranya kaunter-kaunter ini dibuka pada waktu rehat atau pada hari-hari tertentu ketika penjawat awam bekerja secara fleksibel, ini akan membantu rakyat mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu menunggu lama. Oleh itu, penyeragaman waktu operasi kaunter di semua jabatan dan agensi, baik di peringkat kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT), harus dipertimbangkan.
Pengurusan sumber manusia
Meskipun penambahbaikan waktu bekerja adalah salah satu langkah yang progresif, ia juga harus diimbangi dengan pengurusan sumber manusia yang cekap dan berkesan. Kerajaan perlu memastikan bahawa walaupun waktu kerja dipendekkan, penjawat awam tidak dibebani dengan beban kerja yang berlebihan. Peningkatan dalam produktiviti bukan bermakna menambahkan jumlah tugas yang perlu diselesaikan, tetapi lebih kepada cara penjawat awam menguruskan masa dan sumber yang ada dengan lebih efektif. Sebagai contoh, dalam sistem kerja empat hari setengah, seorang pegawai yang biasanya mengambil masa dua hari untuk memproses 10 permohonan lesen boleh meningkatkan kecekapan kerjanya dengan menggunakan sistem digital. Dengan menggunakan aplikasi atau perisian khas, proses yang memerlukan masa lama untuk semakan manual boleh dipercepatkan. Ini membolehkan pegawai tersebut menyelesaikan jumlah permohonan yang sama dalam masa sehari sahaja, tanpa perlu menambah beban tugas atau bekerja lebih masa.Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan negeri untuk melakukan pemantauan yang berterusan terhadap keberkesanan sistem kerja ini, dengan mengambil kira maklum balas daripada penjawat awam mengenai kesulitan atau cabaran yang mereka hadapi.
Sistem sokongan
Salah satu cabaran utama yang perlu ditangani adalah mengubah kebiasaan penjawat awam bekerja dalam sistem tradisional. Bagi mereka, penyesuaian kepada kerja empat hari setengah mungkin memerlukan perubahan besar dalam cara mereka berfikir dan bekerja. Untuk itu, kerajaan perlu menyediakan sokongan psikologi dan sistem sokongan bagi membantu penjawat awam mengadaptasi perubahan ini. Program kesihatan mental dan kesejahteraan harus diwujudkan untuk memastikan bahawa penjawat awam tidak hanya berfungsi secara fizikal tetapi juga persediaan mental dalam persekitaran kerja yang baharu ini.
Penanda aras
Kerajaan Johor juga boleh mengambil inspirasi daripada pelaksanaan sistem kerja empat hari setengah yang telah berjaya dilaksanakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2022. UAE memperkenalkan sistem kerja yang lebih fleksibel, dengan waktu bekerja pada Isnin hingga Khamis, dan pada hari Jumaat hanya separuh hari sehingga jam 12 tengah hari. Selain itu, pekerja kerajaan di UAE diberi pilihan untuk bekerja dari rumah pada hari Jumaat, yang memberi lebih fleksibiliti dalam mengatur waktu bekerja mereka. Model ini memberi contoh bagaimana sistem kerja yang lebih fleksibel boleh diterapkan tanpa menjejaskan produktiviti, asalkan terdapat perancangan dan sokongan yang betul. Oleh itu, kerajaan Johor perlu melihat kepada model ini dan menyesuaikannya dengan konteks tempatan.
Keseimbangan antara kehidupan kerja dan peribadi
Sistem kerja empat hari setengah bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan produktiviti, tetapi juga memberikan peluang kepada pekerja untuk lebih seimbang antara kehidupan kerja dan peribadi mereka. Dengan masa tambahan yang diberikan pada hujung minggu, penjawat awam dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga, berehat atau terlibat dalam aktiviti lain yang dapat menyegarkan minda mereka. Ini boleh meningkatkan tahap motivasi dan kepuasan kerja, yang pada akhirnya akan memberi impak positif terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Penjawat awam akan lebih bersemangat dan komited dalam pekerjaan mereka.
Kelestarian alam sekitar
Di samping itu, pengurangan hari bekerja dan waktu kerja yang lebih fleksibel juga dapat memberi manfaat kepada alam sekitar. Dengan pengurangan hari bekerja, penggunaan sumber seperti elektrik dan air di pejabat dapat dikurangkan. Ini dapat mengurangkan kos operasi kerajaan dan memberi sumbangan kepada usaha pemeliharaan alam sekitar. Pengurangan perjalanan harian untuk ke pejabat juga boleh mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas. Oleh itu, pelaksanaan sistem kerja empat hari setengah dapat membantu kerajaan Johor mencapai objektif kelestarian alam sekitar yang lebih baik.
Cabaran
Namun, pelaksanaan sistem ini tidak terlepas daripada cabaran. Salah satu cabaran terbesar ialah kos awal untuk membangunkan infrastruktur teknologi dan melatih penjawat awam. Kerajaan perlu memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk pelaburan ini, yang mungkin memerlukan penilaian semula bajet atau sokongan kewangan tambahan. Selain itu, terdapat risiko pekerja mungkin mengambil kesempatan daripada waktu kerja yang lebih singkat untuk melakukan perkara-perkara peribadi, yang boleh menjejaskan produktiviti. Oleh itu, pemantauan prestasi dan hasil kerja perlu diperketatkan untuk memastikan penjawat awam tetap memberikan perkhidmatan terbaik.
Satu lagi aspek yang memerlukan perhatian ialah budaya kerja dalam sektor awam. Perubahan yang akan dibuat mungkin sukar diterima oleh sesetengah pihak. Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang inklusif dengan melibatkan semua lapisan penjawat awam dalam proses perancangan dan pelaksanaan. Ini termasuk memberi ruang kepada cadangan atau maklum balas daripada pekerja di peringkat akar umbi, yang sering kali lebih memahami cabaran sebenar di lapangan. Pendekatan ini akan membantu meningkatkan penerimaan terhadap sistem kerja empat hari setengah, di samping memastikan ia disesuaikan dengan keperluan unik sektor awam Malaysia.
Kesimpulannya, pelaksanaan sistem kerja empat hari setengah di Johor memerlukan pendekatan yang holistik dan berfokus. Penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan, pengukuhan perkhidmatan digital, latihan berterusan untuk penjawat awam, dan penyeragaman waktu operasi kaunter adalah antara langkah-langkah penting yang perlu diambil.
Selain itu, sokongan psikologi dan kesejahteraan penjawat awam juga perlu diberi perhatian agar perubahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Jika dilakukan dengan betul, sistem kerja empat hari setengah bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti sektor awam, tetapi juga dapat memperbaiki kualiti hidup penjawat awam dan memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini telah diterbitkan di:
1. Berita Harian (muka surat: 11), 25 November 2024: Pemerkasaan sistem digital pacu produktiviti penjawat awam
2. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 26 November 2024: Adakah wajar kerja empat hari setengah sahaja?
3. Utusan (utusan.com.my), 26 November 2024: Adakah wajar kerja empat hari setengah sahaja?