Dalam menghadapi persaingan transformasi teknologi yang kompetitif, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pelan strategik dan insentif untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang berasaskan inovasi dan teknologi seperti seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS). Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dalam mennyokong pelan strategik perindustrian negara untuk menarik pelaburan teknologi bernilai tinggi ke Malaysia.
Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara. Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai satu bilion ringgit sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini. Selain itu, insentif potongan cukai kepada syarikat berteknologi tinggi dan institusi pengajian menjadi pemangkin kepada pelaburan bernilai tinggi negara.
Keperluan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu
Kerangka ini diperkenalkan bagi menyesuaikan pendekatan lama yang sering kali memberikan insentif tanpa mengambil kira nilai tambah yang diperolehi oleh rakyat. Kini, insentif diberikan lebih strategik dan bersasar untuk menarik pelabur yang mampu menyumbang kepada ekonomi melalui pekerjaan berpendapatan tinggi, penghasilan produk berinovasi dan perkongsian teknologi serta kemahiran.
Melalui insentif ini, kerajaan mampu merangsang sektor yang menyokong Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), dan teknologi hijau. Kerangka ini berfungsi sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi lebih kompetitif dalam ekosistem teknologi global dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sektor komoditi tradisional.
Malaysia perlu memastikan wujudnya ekosistem yang menarik untuk pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi. Kerangka ini akan membantu membuka pintu kepada lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti dan pembangunan ekonomi yang mampan serta inklusif.
Insentif untuk Sektor Elektronik dan Elektrik (E&E)
Sektor Elektronik dan Elektrik (E&E) adalah antara penyumbang utama kepada eksport Malaysia dan memainkan peranan penting dalam ekonomi digital. Kerangka Insentif Pelaburan Baharu akan menyediakan galakan khusus kepada sektor E&E, terutamanya dalam aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pengeluaran bahan termaju.
Insentif ini termasuk potongan cukai kepada syarikat yang terlibat dalam peningkatan eksport produk reka bentuk IC. Dengan menarik pelabur dalam bidang ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan sebagai pengeksport utama dalam sektor E&E tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk pakar teknologi tempatan.
Sektor E&E yang kukuh turut menyokong industri lain seperti pembuatan automotif, tenaga dan teknologi hijau. Ini membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan memperkenalkan teknologi mesra alam dan sistem tenaga boleh baharu dalam proses pengeluaran.
Dalam konteks IR 4.0, penggunaan teknologi dalam E&E membantu syarikat tempatan beralih kepada automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, yang seterusnya meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran global.
Pendidikan dan latihan teknologi
Kerangka ini juga menyediakan insentif kepada universiti swasta dan institut latihan kemahiran swasta yang membangunkan kursus-kursus baharu dalam bidang digital, AI, IoT, robotik, sains data dan teknologi mampan. Potongan cukai khas diberikan kepada institusi yang menawarkan kursus berkaitan teknologi, dengan matlamat untuk membina tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi permintaan sektor berteknologi tinggi.
Usaha ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran tinggi tetapi juga meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam bidang teknologi yang pesat berkembang.
Pembangunan bakat tempatan sangat penting dalam menjadikan Malaysia destinasi pilihan pelabur berteknologi tinggi. Tenaga kerja yang mahir dalam teknologi moden akan menarik lebih ramai pelabur asing dan tempatan untuk melabur dalam bidang teknologi canggih.
Rantaian bekalan tempatan
Satu lagi elemen penting dalam kerangka ini ialah Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan yang memperkukuh peranan pembekal tempatan dalam ekosistem ekonomi. Kerangka ini memberi insentif kepada syarikat multinasional (MNE) untuk bekerjasama dengan pembekal tempatan dan mengurangkan risiko rantaian bekalan global. Perbelanjaan sehingga RM2 juta setahun yang digunakan oleh MNE untuk membangunkan rantaian bekalan tempatan layak mendapat potongan cukai dua kali untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.
Di samping itu, pelaburan yang dibuat oleh MNE atau pembekal dalam usaha sama dengan syarikat tempatan lain akan mendapat potongan cukai berdasarkan jumlah pelaburan yang dilakukan. Ini mendorong MNE untuk membina rangkaian yang kukuh dengan syarikat tempatan, sekali gus membantu mereka meningkatkan kualiti produk dan daya saing.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan antarabangsa tetapi juga mengembangkan ekosistem perindustrian dalam negara.
Kluster ekonomi
Kerajaan juga menggalakkan pelaburan teknologi bernilai tinggi dengan memperkenalkan kluster ekonomi berdasarkan kepakaran masing-masing. Sebagai contoh, negeri Perlis dan Sabah dikenal pasti untuk sektor tenaga boleh baharu, manakala Pahang dan Terengganu untuk industri kimia khusus.
Insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan yang memenuhi 21 sektor ekonomi di negeri-negeri kurang membangun seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Pendekatan ini bertujuan memastikan kemakmuran ekonomi yang lebih seimbang antara negeri dan merapatkan jurang ekonomi wilayah.
Dengan adanya insentif ini, kerajaan berusaha menarik pelabur untuk melabur di kawasan yang kurang maju, seterusnya membawa manfaat ekonomi kepada penduduk setempat melalui peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur. Insentif cukai ini diharapkan dapat mempercepatkan proses pembangunan ekonomi negeri dan memacu pertumbuhan teknologi bernilai tinggi di seluruh negara.
Menggalakkan ESG
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan, Kerangka Insentif Pelaburan Baharu turut menawarkan galakan cukai untuk aktiviti yang berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Aktiviti seperti Carbon Capture, Utilization and Storage (CCUS) layak untuk elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan. Ini menggalakkan syarikat untuk melabur dalam teknologi yang mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar sambil menyumbang kepada kelestarian ekonomi.
Kerajaan mengiktiraf kepentingan pelaburan berlandaskan ESG dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan memenuhi keperluan generasi akan datang. Dengan memberikan insentif untuk pelaburan dalam teknologi hijau, Malaysia berusaha menjadi negara yang menyokong prinsip ESG secara keseluruhan. Melalui pendekatan ini, syarikat dapat beroperasi dengan lebih bertanggungjawab dan memberikan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
Pemudahan pelaburan strategik
Dalam usaha mempercepatkan proses pelaburan, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) diberi kuasa sebagai pihak berkuasa pelulus untuk pas penggajian bagi graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan yang diperlukan dalam sektor Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP). Langkah ini memudahkan proses pengambilan pekerja mahir asing yang diperlukan untuk memenuhi keperluan teknologi tinggi di Malaysia.
Dengan mempercepatkan proses pengambilan pekerja mahir asing, kerajaan berharap dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor teknologi. Tenaga kerja asing ini akan membantu syarikat tempatan mencapai produktiviti yang lebih tinggi serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor teknologi di Malaysia.
Pendanaan awam ekuiti
Untuk merangsang pengembangan syarikat tempatan dalam sektor teknologi, kerajaan memperkenalkan dana padanan pelaburan bernilai lebih RM100 juta melalui platform pendanaan awam ekuiti. Dana ini menyokong pengembangan syarikat tempatan dalam sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan. Melalui dana ini, syarikat tempatan dapat mengakses modal yang diperlukan untuk memperluas operasi, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan melabur dalam teknologi tinggi.
Pendanaan awam ekuiti merupakan kaedah yang inovatif untuk membiayai syarikat teknologi tempatan. Syarikat yang berjaya mendapatkan sokongan daripada pendanaan awam dapat meningkatkan kredibiliti dan reputasi di pasaran. Ini seterusnya membantu syarikat tempatan untuk bersaing dalam peringkat antarabangsa dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi di rantau ini.
Kesimpulan
Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dalam Belanjawan 2025 merupakan langkah strategik kerajaan dalam menarik pelaburan teknologi bernilai tinggi ke Malaysia. Melalui insentif yang lebih bersasar dan progresif, kerajaan dapat membina ekosistem ekonomi berteknologi tinggi yang mampan, inklusif dan berdaya saing. Insentif untuk sektor E&E, pembangunan bakat teknologi, ketahanan rantaian bekalan dan sokongan kepada pelaburan berlandaskan ESG menunjukkan komitmen Malaysia untuk menjadi pusat teknologi di Asia Tenggara.
Dengan pendekatan yang komprehensif ini, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan visi sebagai sebuah negara yang berdaya saing dalam ekonomi digital dan teknologi hijau. Pelaburan yang disokong oleh Kerangka Insentif Pelaburan Baharu diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi._Foto: Mr. Azli/MelakaHariIni
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)