Oleh Norhaslini Abd Alim

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah menandatangani Letter of Undertaking (LoU) dengan Rikkyo University, Jepun pada 28 Ogos 2024 lalu bagi merancakkan lagi program Edu-Tourism atau pelancongan pendidikan di universiti masing-masing.

Majlis menandatangani LoU yang diadakan di Aras 5, PTTA tersebut adalah sebagai langkah awal untuk melaksanakan aktiviti atau program ke arah pemerkasaan Program Edu-Tourism pada masa akan datang, sebagaimana yang disasarkan dalam Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2024 UTHM.

Rikkyo University adalah salah satu pusat pengajian tinggi swasta terbaik di Tokyo, Jepun yang telah ditubuhkan sejak 1874.

Universiti tersebut menawarkan pelbagai kursus termasuk pelancongan, komunikasi antara budaya, kesenian, kesukanan, kecerdasan buatan, khidmat masyarakat, kemanusiaan dan Sains.

UTHM diwakili oleh Zaharah Abd Samad, Ketua Pustakawan manakala Rikkyo University pula diwakili oleh Profesor Satoshi Masutani, Department of Culture and Tourism Studies, College of Tourism.

Turut hadir pada majlis tersebut, Prof. Madya Dr. Azmi Abdul Latiff, Dekan Pusat Pengajian Bahasa (CLS), Pegawai-pegawai universiti dan pelajar daripada Rikkyo University serta National Institute of Technology (KOSEN) yang merupakan peserta International Fieldwork and Students Exchange Programme anjuran CLS.

Menurut Zaharah Abd Samad, PTTA bukan sahaja berperanan sebagai Guardian of Knowledge, malah menjadi pusat sehenti dan gerbang maklumat yang menjadi tarikan para pelawat dari dalam atau luar negara.

“Antara inisiatif yang telah dijalankan bagi merancakkan dan mempromosikan lagi Program Edu-Tourism ini adalah melalui Projek Penyelidikan dan Inovasi Budaya dan Warisan Johor (Research and Innovation in Culture and Heritage of Johor – RICHER).

“RICHER yang telah dilancarkan sejak Ogos 2022 telah melaksanakan beberapa projek terpilih termasuk membangunkan Aplikasi AR-Galeri PTTA yang menggunakan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality – AR),” katanya.

Tambah Zaharah lagi, selain daripada Galeri Gambus Johor dan Muar Living Lab Showcase, Galeri Warisan Johor yang menempatkan Pameran Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan dan Sejarah Pertempuran di Parit Sulong telah dibangunkan.

Pameran itu mengandungi informasi berkaitan sejarah perlombongan bijih besi di Sri Medan yang telah bermula sejak tahun 1916 apabila Mr. Ishihara Hiroichiro telah menemui lombong bijih besi di Sri Medan dan seterusnya syarikat dari Jepun iaitu Nanyo Kogyo Koshi telah membuka lombong di sini pada tahun 1920 yang membawa kepada pembangunan ekonomi di Sri Medan ketika itu.

Tapak perlombongan tersebut kini dikenali sebagai Taman Botani Johor.

“Kemudian, disusuli dengan pameran mengenai episod hitam ‘Parit Sulong Massacre’ iaitu tragedi pembunuhan beramai-ramai anggota tentera Berikat yang kebanyakannya dari Australia, di kawasan Jambatan Parit Sulong yang berlaku pada Januari 1942 semasa Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang membawa kepada jatuhnya keseluruhan Tanah Melayu ke tangan Jepun.

“Turut dipamerkan adalah koleksi artifak peninggalan sistem ekonomi Johor semasa era Jepun sebelum Perang Dunia Kedua yang ditemui di Estet Sungai Papan, Tanjung Serindit, Kota tinggi Johor,” jelas beliau.

Sementara itu, Profesor Satoshi Masutani memaklumkan bahawa Pameran Sejarah Perlombongan Bijih Besi di Sri Medan dan Sejarah Pertempuran di Parit Sulong dijangka akan dipamerkan di Rikkyo University pada bulan Mei 2025 nanti hasil kerjasama perkongsian maklumat tersebut.

Selain perkongsian maklumat, lebih banyak aktiviti kolaborasi antara UTHM-Rikkyo University akan dilaksanakan pada masa akan datang seperti penerbitan, pameran dan pembangunan kepakaran.

Ia sudah pasti dapat merancakkan lagi Program Edu-Tourism di UTHM, seterusnya memacu sektor pelancongan pendidikan di Johor sebagai salah satu sokongan UTHM kepada Tahun Melawat Johor 2026.