Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah melalui pelbagai fasa pembangunan dengan usaha yang berterusan untuk membina ekonomi yang kukuh dan berdaya saing. Namun, cabaran globalisasi dan revolusi digital masa kini memerlukan strategi yang lebih dinamik dan inovatif. Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam banyak bidang, beberapa isu dan jurang perlu diberi perhatian untuk memastikan negara ini kekal berdaya saing di peringkat global.
Laporan terkini IMD World Competitiveness Yearbook 2024 menunjukkan bahawa kedudukan daya saing Malaysia telah menurun dengan ketara. Pada tahun 2023, Malaysia berada di tangga ke-27, tetapi pada tahun 2024, negara ini jatuh ke tangga ke-34 daripada 67 negara yang dinilai. Jurang dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Komersialisasi dan Keusahawanan (Research, Development, Innovation, Commercialization and Entrepreneurship – RDICE) di Malaysia menjadi antara faktor yang menghalang negara daripada mencapai potensi penuhnya. Antara isu yang dikenal pasti adalah penurunan perbelanjaan di dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). Selain itu, kelemahan dalam pengkomersialan teknologi tempatan turut menambah tekanan kepada ekosistem RDICE. Teknologi yang dibangunkan di dalam negara sering kali gagal dipasarkan secara berkesan kerana sistem paten dan pelesenan yang kurang cekap, serta kekurangan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dari makmal ke pasaran.
Di samping itu, penglibatan sektor swasta dalam R&D juga masih berada pada tahap yang kurang memberangsangkan. Banyak syarikat lebih cenderung untuk bergantung kepada teknologi sedia ada berbanding melabur dalam R&D baharu. Keadaan ini memburukkan lagi masalah ketidakcukupan inovasi dan memperlahankan kadar pertumbuhan teknologi negara. Seterusnya, Malaysia juga masih bergantung kepada teknologi luar, yang mengehadkan pembangunan teknologi tempatan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan konteks pasaran tempatan. Ketiadaan sokongan yang berkesan untuk menggalakkan penggunaan teknologi tempatan menghalang negara daripada membina keupayaan teknologi yang lebih kukuh dan berdikari.
Cadangan penyelesaian untuk meningkatkan daya saing
Untuk mengatasi cabaran ini dan meningkatkan daya saing negara, Malaysia perlu melaksanakan beberapa langkah strategik yang komprehensif. Pertama, meningkatkan perbelanjaan di dalam aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan adalah kritikal. Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk menyediakan lebih banyak dana dan insentif terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta syarikat teknologi tinggi. Ini boleh merangkumi pendanaan geran penyelidikan alternatif seperti endowmen, konsortium penyelidikan industri, insentif cukai dan pembiayaan bersama untuk projek-projek berimpak tinggi yang berpotensi mengubah landskap teknologi negara. Kerjasama sektor awam-swasta dalam projek R&D perlu diperkukuhkan untuk memaksimumkan penggunaan sumber dan kepakaran yang ada.
Selain itu, menambah baik sistem paten dan pelesenan juga adalah langkah penting untuk memastikan teknologi tempatan dapat dikomersialkan dengan lebih cekap. Kerajaan perlu memperkenalkan reformasi dalam sistem ini bagi memudahkan proses pemindahan teknologi dari makmal kepada pasaran. Ini termasuk mempercepatkan proses paten dan memberikan sokongan kepada syarikat-syarikat yang ingin mengkomersialkan teknologi baharu mereka.
Mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing dengan menggalakkan pembangunan dan penggunaan teknologi tempatan juga penting. Kerajaan boleh memperkenalkan dasar-dasar yang lebih agresif dan mengurangkan proses birokrasi untuk menyokong inovasi tempatan, termasuk insentif untuk syarikat yang mengadaptasi atau membangunkan teknologi buatan Malaysia. Meningkatkan kesedaran tentang kelebihan menggunakan teknologi tempatan juga boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
Kepentingan teknologi tempatan dalam kedaulatan negara
Teknologi tempatan memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkukuhkan kedaulatan negara, terutamanya dalam beberapa aspek kritikal. Dalam bidang ekonomi, saintis dan teknologis tempatan dapat membangunkan teknologi yang relevan dengan keperluan tempatan, yang membantu mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan kecekapan operasi. Ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan tetapi juga mengurangkan kebergantungan kepada teknologi asing, sekali gus memperkukuhkan kedaulatan ekonomi negara.
Dalam aspek pertahanan, teknologi pertahanan tempatan adalah kunci untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara. Dengan membangunkan teknologi pertahanan yang canggih, Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan kepada peralatan import dan meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan. Ini penting untuk memastikan negara mampu menghadapi sebarang ancaman keselamatan dengan lebih berkesan.
Keterjaminan makanan juga merupakan aspek penting yang mana saintis dan teknologis tempatan dalam bidang pertanian dan bioteknologi boleh memainkan peranan besar. Mereka dapat membangunkan teknik pertanian yang inovatif, tanaman tahan lasak dan kaedah pembiakan haiwan ternakan yang efisien. Ini membantu memastikan keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan pada import makanan, yang penting untuk kedaulatan negara.
Dalam bidang keselamatan siber, pakar teknologi tempatan diperlukan untuk membangunkan sistem keselamatan siber yang kuat dan berkesan. Ini adalah kritikal untuk melindungi infrastruktur kritikal negara daripada ancaman siber yang semakin meningkat, terutama pada era digital ini. Perlindungan data dan maklumat sensitif adalah penting untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Pembinaan infrastruktur strategik negara seperti pelabuhan, lapangan terbang dan jaringan pengangkutan juga memerlukan kepakaran tempatan. Jurutera dan pakar teknologi tempatan memainkan peranan penting dalam merancang dan membina infrastruktur yang mantap, yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan kedaulatan negara. Infrastruktur yang baik memastikan kelancaran operasi logistik dan perdagangan, yang seterusnya meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Dalam sektor kesihatan, saintis dan teknologis tempatan boleh membantu dalam pembangunan teknologi perubatan dan kesihatan. Inovasi seperti telemedicine dan alat perubatan pintar dapat meningkatkan akses kepada rawatan perubatan berkualiti tinggi, yang penting untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi. Pakar teknologi tempatan boleh membantu membangunkan kurikulum yang relevan dan memberikan latihan yang berkualiti tinggi untuk menyokong industri tempatan berteknologi tinggi. Tenaga kerja yang berkemahiran tinggi adalah aset penting untuk pembangunan negara dan kedaulatan ekonomi yang mampan. Sebagai contoh, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merupakan salah satu institusi di Malaysia yang menawarkan program akademik dan latihan teknikal dan vokasional.
Kesimpulannya, Malaysia perlu segera menangani isu dan jurang dalam ekosistem RDICE untuk meningkatkan daya saing globalnya. Dengan strategi yang betul, termasuk meningkatkan perbelanjaan di dalam aktiviti-aktiviti R&D, memperkukuh sistem paten dan menggalakkan penggunaan teknologi tempatan, negara ini boleh memperbaiki kedudukannya dalam ranking daya saing dunia. Teknologi tempatan adalah pemangkin utama untuk kemajuan ini, memastikan Malaysia terus berdaulat, berinovasi, dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks. Dengan komitmen yang berterusan dan sokongan dasar yang mantap, Malaysia boleh bergerak ke arah masa depan yang lebih cerah dan mapan.
Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad
Jabatan Kejuruteraan Pembuatan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 12 September 2024: Malaysia masih kalah dari segi teknologi tempatan?
2. Utusan (utusan.com.my), 12 September 2024: Malaysia masih kalah dari segi teknologi tempatan?
https://www.utusan.com.my/rencana/2024/09/malaysia-masih-kalah-dari-segi-teknologi-tempatan/
3. Bernama (bernama.com), 8 November 2024: KEPENTINGAN TEKNOLOGI TEMPATAN DALAM MENGUKUHKAN DAYA SAING MALAYSIA PASCA-MERDEKA