Setiap tahun, bulan Ogos di Malaysia disambut dengan semangat patriotik yang membara, yang mana setiap rakyat berpeluang memperingati kemerdekaan negara yang tercinta. Dalam konteks ini, warga universiti tidak terkecuali dalam menghayati semangat kemerdekaan. Pelbagai usaha dan aktiviti dijalankan oleh komuniti kampus untuk menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan negara dan kecemerlangan akademik. Hari yang dimaksudkan adalah Hari Merdeka yang disambut bagi memperingati tarikh sebuah negara memperoleh kemerdekaan dari penjajah atau pemerintahan asing. Ia melibatkan pelbagai sambutan, termasuk perarakan, ucapan rasmi, pengibaran bendera dan acara kebudayaan. Hari tersebut sering menjadi simbol kebanggaan nasional dan perpaduan rakyat, serta peluang untuk merenung kembali perjuangan dan pengorbanan yang membawa kepada kemerdekaan.

Dalam konteks menyambut hari kemerdekaan, setiap individu yang merupakan warganegara Malaysia mestilah mempunyai semangat dan sifat pengorbanan. Ia merupakan salah satu elemen penting dalam semangat kemerdekaan, hal ini jelas terpancar melalui komitmen warga universiti yang menjalankan tanggungjawab mereka tanpa mengira masa dan tenaga, menyemarakkan semangat kemerdekaan bukan hanya melalui upacara formal seperti perbarisan atau ceramah patriotik, tetapi juga melalui penglibatan aktif dalam pembangunan aspek penting negara seperti pendidikan, penyelidikan dan inovasi, yang mana ahli akademik, pelajar dan kakitangan universiti berperanan sebagai ejen perubahan yang memacu kemajuan negara.

Selain itu, masa juga adalah elemen penting yang sering kali diabaikan dalam menghargai sumbangan warga universiti, yang mana setiap pelajar perlu mengurus masa mereka dengan bijak untuk memastikan mereka dapat menyumbang secara efektif kepada universiti dan negara. Sama ada pensyarah yang perlu membahagikan masa antara mengajar, melakukan penyelidikan dan menjalankan tugas pentadbiran atau  pelajar yang perlu mengimbangi masa antara akademik dan kokurikulum sambil memanfaatkan peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Ataupun kakitangan sokongan yang perlu memastikan setiap tugas yang diberikan diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan dan kelancaran operasi harian universiti terjaga, yang secara langsung menyumbang kepada keberkesanan keseluruhan universiti.

Sebagai contoh, ahli akademik sering terlibat dalam penyelidikan yang bertujuan menyelesaikan masalah kritikal di peringkat nasional, seperti dalam bidang teknologi hijau, kejuruteraan dan pendidikan vokasional, yang berkait secara langsung dengan keperluan negara. Di samping itu, para pensyarah juga mengorbankan masa peribadi mereka untuk memastikan pelajar memperoleh ilmu terbaik dengan meluangkan masa untuk bimbingan, penyeliaan dan penyediaan bahan pembelajaran berkualiti walaupun di luar waktu kerja rasmi, yang menunjukkan bahawa pengorbanan mereka bukan sahaja bertujuan untuk kemajuan akademik pelajar tetapi juga untuk pembangunan negara secara keseluruhan.

Bagi para pelajar yang merupakan pemimpin masa depan, mereka perlu dipupuk dengan semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab kepada negara melalui pelbagai program kemahiran insaniah dan mereka diajar untuk menjadi individu yang berdisiplin, berdedikasi dan berwawasan. Kemahiran ini penting untuk memastikan mereka mampu mengharungi cabaran masa depan sambil menyumbang kepada kemajuan negara, begitu juga dengan pengorbanan masa dan tenaga mereka dalam menimba ilmu dan pengalaman melalui pelbagai aktiviti kokurikulum, projek penyelidikan dan latihan industri yang memerlukan komitmen tinggi. Pengorbanan seumpama ini penting dalam membentuk mereka menjadi graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berkemahiran dan berdaya saing di peringkat global.

Di samping itu, kakitangan sokongan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi universiti, berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan setiap aspek pentadbiran dan pengurusan berjalan lancar, yang seterusnya menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan. Dedikasi mereka akan mencerminkan semangat kemerdekaan dengan meletakkan kepentingan negara dan komuniti universiti di atas kepentingan peribadi. Walaupun pengorbanan kakitangan sokongan sering kali tidak diiktiraf secara umum, peranan mereka adalah kritikal dalam memastikan segala keperluan logistik dan pentadbiran dipenuhi, walaupun kadangkala memerlukan pengorbanan dari segi masa dan keselesaan, termasuk memastikan kemudahan kampus sentiasa dalam keadaan baik dan perkhidmatan kepada pelajar serta pensyarah disampaikan dengan cekap.

Oleh yang demikian, ada tujuh elemen penting yang mesti diberikan perhatian dalam membentuk asas sesebuah negara merdeka yang menunjukkan kedaulatan dan identiti sesebuah negara.

  1. Kedaulatan sesebuah negara

Kedaulatan adalah hak mutlak sebuah negara untuk menguruskan hal ehwal dalamannya tanpa campur tangan pihak luar. Ia melibatkan kuasa penuh dalam membuat undang-undang, polisi dan keputusan penting berkaitan dengan keselamatan, ekonomi dan politik negara.

  1. Pengiktirafan antarabangsa

Pengiktirafan oleh negara-negara lain adalah penting untuk sesebuah negara dianggap merdeka. Ini termasuk menjadi anggota badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

  1. Kedudukan sempadan wilayah

Negara merdeka mestilah mempunyai sempadan yang jelas dan wilayah geografi yang diiktiraf. Wilayah ini termasuk tanah, laut dan udara yang berada di bawah kawalan penuh negara tersebut.

  1. Rakyat yang berwarganegara

Sesebuah negara mesti mempunyai rakyat yang menjadi warganegara dan diiktiraf di bawah undang-undang negara tersebut. Rakyat adalah aset utama yang memberikan legitimasi kepada kewujudan sesebuah negara.

  1. Pentadbiran sesebuah kerajaan

Negara merdeka mesti mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran negara, membuat undang-undang dan menjaga kesejahteraan rakyat. Kerajaan ini boleh berbentuk monarki, republik, atau sistem lain yang diiktiraf oleh rakyat.

  1. Pelaksanaan undang-undang

Negara merdeka mempunyai sistem undang-undang sendiri yang mengatur kehidupan rakyat dan memastikan keadilan dilaksanakan. Ini termasuk perlembagaan, undang-undang sivil, jenayah dan hak asasi manusia.

  1. Ekonomi yang stabil

Sebuah negara merdeka mempunyai ekonomi yang dikawal sepenuhnya oleh negara tersebut. Ini termasuk sistem kewangan, dasar fiskal, perdagangan antarabangsa dan sumber daya negara.

Secara kesimpulannya, semangat kemerdekaan yang ditonjolkan oleh warga universiti adalah bukti komitmen mereka terhadap pembangunan negara. Melalui peranan dan tanggungjawab yang dipegang, pengorbanan yang dilakukan dan pengurusan masa yang bijak, mereka bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan universiti tetapi juga kepada pembangunan negara secara keseluruhan. Semangat inilah yang akan terus membakar jiwa setiap warga universiti dalam usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan, selari dengan aspirasi negara menuju masa depan yang lebih gemilang.

 

 

 

 

Ts. Inv. Mahmod Abd Hakim bin Mohamad

Pensyarah Kanan

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Pengajian Diploma

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)