Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keterjaminan makanan telah menjadi salah satu kebimbangan yang semakin meningkat di seluruh dunia, dan ini diburukkan lagi dengan pengaruh gabungan faktor-faktor perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global, isu alam sekitar dan geopolitik. Mengakhiri kelaparan, ketakjaminan makanan dan semua bentuk kekurangan zat makanan tetap menjadi cabaran yang sedang dihadapi oleh Malaysia, walaupun negara kita akan segera diklasifikasikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi.

Di satu sisi lain, kita juga terdedah dengan pelbagai perspektif global yang disebut VUCA iaitu kemeruwapan/ ketidakstabilan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), kerumitan (complexity) dan kesamaran (ambiguity). Keadaan ini turut memberi kesan yang signifikan pada sektor pertanian dan seterusnya terhadap kitaran dan keterjaminan makanan.

Menurut pandangan pakar dalam kajian keterjaminan makanan, ciri-ciri VUCA telah menjadi rangka penstrukturan yang membentuk sistem makanan masyarakat masa kini dan kesannya tidak boleh dihapuskan sama sekali. Sebagai contoh, di kawasan yang penduduknya berpendapatan lebih rendah, mereka membelanjakan 50-80 peratus daripada pendapatan untuk makanan dan pemilihan makanan ruji yang mempunyai zat makanan yang baik sangat dipengaruhi turun naik harga makanan. Kesan ketidakstabilan harga makanan boleh membawa kepada ketakjaminan makanan, risiko keselamatan makanan dan ini seterusnya mempengaruhi kesejahteraan masyarakat.

Walau bagaimanapun, usaha Malaysia dalam memerangi kemiskinan dan meningkatkan nilai pemakanan dalam beberapa segmen berfokus adalah terpuji, dan ini boleh menjadi peluang yang baik untuk negara menghadapi perspektif global tersebut. Pada tahun 2022, skor keseluruhan Malaysia dalam indeks keselamatan makanan global (GFSI) ialah 69.9 yang mana domain kemampuan dan kualiti serta keselamatan makanan mempunyai skor yang sangat baik (>70). Manakala domain ketersediaan mencatatkan skor 59.5 dan domain kelestarian dan keupayaan menyesuaikan mencatatkan skor 53.7. Perlu diingatkan, indeks keterjaminan makanan ini mesti diguna pakai bersama dengan petunjuk lain untuk menunjukkan keseluruhan pencapaian tahap keterjaminan makanan di Malaysia.

Idealnya, Sasaran SDG 2.1 mencabar komuniti global untuk melangkaui penghapusan kelaparan dengan memastikan akses sepanjang tahun kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mencukupi untuk semua. Di sisi yang baik, jika sesebuah negara mempunyai kapasiti sumber dari segi sumber semula jadi, modal insan, teknologi dan kepakaran, serta ketahanan dalam menghadapi permintaan dan cabaran tempatan dan global, ia boleh muncul sebagai pengeluar makanan terkemuka di dunia. Ini pasti akan memberi kesan yang baik kepada ekonomi negara. Sebelum menuju ke langkah penyelesaian, kita mesti terlebih dahulu mengenal pasti punca asas. Satu ancaman utama kepada keterjaminan dan keselamatan makanan serta kesejahteraan rakyat Malaysia ialah gangguan kepada kepelbagaian ekosistem, yang merujuk kepada pelbagai habitat (konsep yang melibatkan ekosistem tempat tinggal dalam sesebuah ruangan seperti bandar) dan persekitaran, sumber komuniti biotik, dan proses ekologi di ekosistem daratan, laut dan akuatik lain di sesebuah wilayah, serta interaksi antara sistem-sistem ini. Melihat kepada sisi positif, Malaysia mempunyai potensi sumber yang besar untuk mengubah ancaman ini menjadi peluang ketika kita bergerak ke arah inovasi disruptif (disruptive innovation) dan ekosistem inovasi, dengan menonjolkan aliran evolusi yang menggabungkan dinamik yang rumit ini. Inovasi disruptif merujuk kepada transformasi produk atau perkhidmatan yang mahal atau sangat sofistikated—yang sebelum ini hanya dapat diakses oleh segmen pengguna kelas atasan atau yang lebih mahir—menjadi lebih mampu milik dan boleh diakses oleh populasi yang lebih luas.  Ini dapat dilihat dalam usaha-usaha kerajaan, universiti dan industri melalui penglibatan komuniti dan inovasi sosial yang berkaitan tentang proses pemindahan ilmu. Inovasi sosial adalah pengetahuan yang boleh mengubah pemikiran dan tingkah laku untuk memberi manfaat dan membentuk masyarakat yang lebih berdaya saing. Inovasi sosial dalam konteks pemindahan ilmu boleh menyediakan platform yang sesuai untuk pertukaran idea kreatif dan inovatif, penemuan penyelidikan, pengalaman, pengunaan teknologi dan kemahiran antara universiti, industri, dan masyarakat.

Malaysia dilihat menjalankan usaha yang baik dan ia diselaraskan oleh pihak berkepentingan utama di pelbagai kementerian dan sektor swasta. Namun, usaha kolektif yang sangat berfokus diperlukan di peringkat kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, akademia dan organisasi penyelidikan, badan antarabangsa, dan seluruh lapisan rakyat sivil dan media untuk meningkatkan keterjaminan makanan jangka panjang. Paling penting, pihak berkepentingan ini mesti bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri dan antara satu sama lain untuk menunaikan komitmen bagi mentransformasi, memanfaatkan dan mengaktifkan jaringan sistem makanan, kesihatan dan perlindungan sosial serta memperkukuh sistem data untuk menjejaki kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan dan ketakjaminan makanan. Konsep VUCA Prime iaitu visi (vision), persefahaman (understanding), kejelasan (clarity), dan ketangkasan (agility) mungkin boleh dirangkumkan dalam konteks ini.

Di sudut lain, impak pandemik COVID-19 mungkin dirasai selama bertahun-tahun; pandemik COVID-19 telah menambah kesan ketakjaminan makanan dan keselamatan makanan yang membawa kepada peningkatan malnutrisi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Oleh itu, skim perlindungan sosial yang peka kanak-kanak harus dianggap sebagai instrumen polisi utama untuk membantu keluarga kumpulan marginal. Oleh itu, pembaharuan struktur kepada sistem perlindungan sosial untuk menjadikan pengurangan kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan marginal harus menjadi keutamaan polisi. Walaupun kerajaan telah melancarkan skim perlindungan sosial, sokongan literasi makanan dan pemakanan perlu dipertimbangkan dengan secukupnya. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) 2022, dasar-dasar utama lain dalam sistem agromakanan diperlukan untuk melengkapkan usaha menilai tujuan semula (repurposing) polisi sokongan bagi memastikan perubahan dalam rantaian bekalan makanan, persekitaran makanan dan tingkah laku pengguna ke arah corak pemakanan yang sihat berlaku. Ini termasuk sebagai contoh, dasar mengenai pengubahsuaian dan fortifikasi makanan, peraturan pelabelan dan pemasaran makanan, cukai ke atas makanan berkalori tinggi, serta pemerolehan makanan yang sihat.

Selain itu, dasar perlindungan sosial mungkin diperlukan untuk mengurangkan kemungkinan kesan sampingan daripada repurposing terutamanya kerugian pendapatan jangka pendek atau kesan negatif terhadap mata pencarian dalam kelompok yang paling terdedah dan marginal. Dasar sistem kesihatan menjadi kunci untuk memastikan akses kepada perkhidmatan pemakanan utama bagi melindungi kesihatan kumpulan terdedah dan tenaga kerja dalam sektor makanan dan pertanian, serta untuk memastikan keselamatan makanan.

Kesimpulannya, melihat dari sisi gelas separuh penuh, terdapat banyak usaha yang dijalankan oleh kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan. Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada semua. Namun masih terdapat ruang penambahbaikan dan intervensi yang diperlukan untuk menuju ke arah masyarakat yang lebih berdaya tahan dan mapan. Setiap lapisan masyarakat, khususnya mereka daripada sektor pertanian dan penternakan mesti menjadi sebahagian daripada gerak kerja transformasi tersebut. Selain itu, skim perlindungan sosial yang peka kanak-kanak dan kumpulan marginal adalah penting untuk menutupi jurang dalam sistem semasa dan membantu semua keluarga dalam mengurangkan risiko kesihatan, membina daya ketahanan dan mengurangkan kesan krisis dan perspektif global.

 

 

Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohamad Fuzi

Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)