Ekosistem persekitaran penting dalam memastikan kesejahteraan kehidupan manusia. Elemen kesejahteraan akan melengkapkan kehidupan manusia. Setiap individu berhak untuk menjalani kehidupan yang  sempurna, sama ada kanak-kanak, belia, warga emas mahupun orang kurang upaya. Malaysia tidak terkecuali dalam memastikan setiap warganya hidup dalam keadaan aman damai, sejahtera dan harmoni. Laporan terkini di media massa melaporkan, Malaysia dijangka akan menjadi negara tua menjelang tahun 2043 dengan 14 peratus populasi penduduk terdiri daripada golongan berumur 65 tahun  dan ke atas.

Berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2011),  sesebuah negara dikategorikan sebagai negara tua sekiranya bilangan penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara. Dasar Warga Emas Negara (DWEN) menyatakan individu berumur 60 tahun dan ke atas dikategorikan sebagai warga emas. Ia merujuk kepada United Nations World Assembly on Ageing di Vienna (PBB, 1982). Data unjuran oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2009), menjangkakan Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030 dengan berpandukan indikasi 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah berumur 60 tahun ke atas.

Melihat kepada senario ini, pertimbangan dan persediaan dalam menghadapi cabaran negara kian menua perlu diteliti. Pelbagai faktor berkaitan perlu dikaji dan ditambah baik. Ia bagi memastikan kesejahteraan warga emas dipenuhi dan terjamin.  Dasar Warga Emas Negara menggariskan beberapa aspek kesejahteraan yang merangkumi lima dimensi utama iaitu, dimensi kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong). Hal ini menunjukkan kesejahteraan persekitaran adalah elemen penting dalam menyokong dimensi penuaan. Elemen kesejahteraan persekitaran merujuk kepada Dasar Warga Emas Negara menyatakan, elemen persekitaran dalaman dan luaran yang membolehkan warga emas berfungsi dengan baik. Ia merujuk kepada elemen sokongan dalam mengurangkan ketidakupayaan yang dialami, juga mengambil kira penggunaan teknologi bagi kegunaan warga emas menjalani kehidupan secara berdikari.

Meneropong teknologi kini dan masa depan, potensi dalam membangunkan produk mesra ekosistem warga emas adalah bertepatan. Penilaian kriteria yang penting dalam membangunkan produk mesra warga emas perlu diberi perhatian. Kesesuaian ini merangkumi, produk fizikal atau perkhidmatan. Produk fizikal adalah produk yang mempunyai ciri-ciri fizikal dan ia dapat disentuh. Sebaliknya, produk perkhidmatan adalah produk yang berbentuk ‘intangible.’ Reka cipta produk mesra warga emas perlu memenuhi fungsi yang bersesuaian. Ciri-ciri lebih selamat adalah kriteria penting dalam mereka cipta produk mesra warga emas. Ciri-ciri lain adalah seperti mekanisme ringkas (mudah digunakan), kualiti (ringan, lasak) dan kebolehpercayaan (penyelenggaraan rendah, tahan).

Secara umumnya, elemen-elemen ergonomik pada produk perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya. Kriteria dalam pembangunan produk mesra warga emas perlu mengambil kira perubahan pada fizikal dan kemampuan individu, yang mana ia adalah seiring dengan peningkatan usia. Golongan warga emas memerlukan sokongan persekitaran yang holistik, sama ada melibatkan produk atau prasarana yang dapat membantu warga emas untuk mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat.

Menambah baik dan menaik taraf prasarana persekitaran antara inisiatif pelaksanaan yang baik bagi menyahut keperluan golongan warga emas. Prasarana yang disediakan untuk kemudahan awam perlu mempertimbangkan segmen warga emas. Kemudahan awam seperti pusat riadah dan rekreasi, pusat beli-belah, pengangkutan awam, pejabat perkhidmatan dan pusat kesihatan. Elemen kesesuaian, keperluan, tempat dan proses penggunaan prasarana termasuk penggunaan sistem perlu mengambil kira kemudahan warga emas. Ia sekali gus dapat menggalakkan warga emas untuk bersama-sama komuniti dalam menjalankan aktiviti tertentu secara bersama. Dewasa ini, dapatan yang diperoleh menunjukkan trend terdapatnya keperluan memastikan tempat-tempat berikut, seperti; pusat membeli-belah, tempat pelancongan, restoran dan lain-lain memperluaskan skop dan segmen pelanggan, sekali gus dapat menyediakan prasarana yang mampu untuk meningkatkan keselesaan warga emas.

Mengaplikasikan teknologi dan sistem pada produk adalah bertepatan. Mengintegrasikan sistem pada produk dapat membantu memudahkan kawalan dan pemantauan, sebagai contoh pengintegrasian sistem peralatan elektrik di rumah. Ciri-ciri ini dapat membantu warga emas dalam pergerakan seharian, di samping dapat memastikan keselamatan terjamin. Penggunaan sistem juga dapat membantu capaian secara terus pihak-pihak yang berkaitan, sekiranya sesuatu kecemasan berlaku. Pendek kata, penggunaan teknologi masa kini adalah bersesuaian dan dapat memberikan impak secara langsung kepada ekosistem persekitaran warga emas.

Namun begitu, kekangan dalam penggunaan teknologi dalam kalangan warga emas perlu diperhalusi. Peranan dalam memberikan galakan dan penerangan tentang teknologi kepada warga emas perlu diraikan oleh semua pihak. Ia dapat membantu warga emas untuk sedikit sebanyak memahami, celik IT dan mesra teknologi.

Umumnya, kualiti kehidupan dan kesejahteraan warga emas perlu diperkukuh dan diseimbangkan. Peranan ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak dalam memastikan golongan warga emas sentiasa merasai dirinya didampingi, disayangi dan dihargai. Tambahan itu juga, ia dapat mendidik masyarakat untuk membantu dan memahami keperluan golongan warga emas dalam aspek-aspek yang tertentu. Penilaian dan penambahbaikan produk dan prasarana sedia ada perlu disegerakan dalam menjamin aspek kesejahteraan persekitaran warga emas berada pada tahap terbaik dan kondusif. Ia sekali gus mampu memberikan keselesaan dan kesenangan kepada golongan warga emas dalam mengharungi kehidupan seharian bersama-sama.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak bin Tajul Arifin

Penyelidik Utama

Pusat Penyelidikan Pencegahan dan Kebolehpercayaan Kegagalan Mekanikal (MPROVE)

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

***

Ketua Jabatan,

Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 30 Ogos 2024: Kemudahan mesra warga emas persediaan hadapi negara tua