Malaysia sememangnya tidak lekang dari kejadian bencana alam yang menimpa saban tahun. Baru sahaja tenang selepas menghadapi ujian banjir besar pada Mac 2023 yang lalu, isu kejadian tanah jerlus pula melanda ibu negara kebanggaan kita yang menempatkan bangunan pencakar langit dan menjadi ikon serta mercu tanda Malaysia. Seharusnya sebagai rakyat yang prihatin dan cakna dengan perubahan iklim dan tragedi yang datang tanpa disangka, kita seharusnya mengambil langkah bersiap sedia dan mengambil satu langkah ke hadapan dalam pengurusan bencana yang lebih sistematik.

Jika sebelum ini kita bersiap siaga dan bersedia menghadapi musim monsun timur laut sekitar Oktober hingga Febuari dan juga monsun barat daya sekitar Mei hingga Ogos setiap tahun yang kebiasaannya dituruti dengan hujan lebat dan cuaca buruk, namun kejadian banjir baru-baru ini berlaku diluar waktu yang dijangka. Sebagai contoh, kejadian banjir buruk yang melanda Johor sekitar Mac 2023 yang lalu, memberi petanda bahawa Malaysia seharusnya sentiasa bersedia dalam menghadapi bencana yang tidak terduga ini.

Rentetan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberi tanggungjawab untuk menyediakan sembilan projek rintis bagi Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PKPB). Projek rintis pembinaan PPKB ini akan dibina di kawasan yang terjejas dan berisiko tinggi berdasarkan kejadian banjir terdahulu seperti di Mukim Sri Medan, Johor.

Menurut Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, terdapat seramai 50,596 mangsa dari 14,515 keluarga yang terjejas dan ditempatkan di 268 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri Johor pada kejadian banjir besar sekitar Mac 2023 yang lalu. Daripada jumlah itu, Sri Medan merupakan kawasan yang terjejas paling teruk melibatkan 19,883 mangsa terdiri daripada 5,619 keluarga. Kedudukan geografi Sri medan yang agak rendah menjadikan kawasan itu sebagai kawasan takungan air yang menyebabkan Sri medan hampir tenggelam dan diklasifikasikan sebagai banjir yang paling buruk dalam tempoh 10 tahun.

Projek PPKB Sri Medan itu akan dibina bersebelahan padang Sekolah Kebangsaan Sri Medan yang dilengkapi dengan blok dewan terbuka dan ruang penginapan, blok dewan makan dan pejabat pentadbiran, blok penginapan warga emas dan bilik rawatan, surau, serta tandas dan bilik ampaian. PPKB Sri Medan ini berupaya untuk menampung kapasiti seramai 500 orang pada satu masa dan boleh diguna pakai sebagai pusat sukan yang memuatkan dua gelanggang futsal pada hari biasa.

Bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan dengan jayanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat telah dilantik selaku agensi pelaksana yang diketuai oleh Jurutera Daerah Batu Pahat sebagai pegawai penguasa dan dibantu oleh Jurutera Bangunan selaku wakil pegawai penguasa yang bertanggungjawab dalam memastikan projek ini dijalankan mengikut masa, tempoh dan kualiti yang telah ditetapkan. Projek itu telah bermula pada Ogos 2024 yang lalu dan dijangka siap pada November 2025.

Inisiatif pembinaan PPKB ini merupakan satu langkah kerajaan yang harus dipuji dalam kesiapsiagaan pengurusan bencana yang lebih sistematik dan membina daya tahan terhadap perubahan iklim. Usaha murni ini juga seiring dengan matlamat ke arah Kerajaan Madani yang lebih holistic. Semoga dengan pembinaan PKPB ini, kebajikan mangsa bencana terus terjaga dan kelestarian sejagat terus diberi perhatian._Foto:Fail Bernama

 

 

 

Dr. Hamidun Mohd Noh

Penyelidik Kanan

Pusat Perkhidmatan Projek, Harta Tanah dan Pengurusan Fasiliti (ProFMs)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Dr. Nur’ain Idris,

Penyelidik,

Pusat Perkhidmatan Projek, Harta Tanah dan Pengurusan Fasiliti (ProFMs)

Pusat Pengajian Diploma,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)