Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ada mengumumkan bahawa Keretapi Tanah Melayu (KTM)  akan memperluaskan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) hingga ke stesen KTM Segamat, Johor pada awal Oktober tahun ini.  Kenyataan ini dibuat  oleh beliau ketika merasmikan Karnival Keretapi Go Go Go yang diadakan pada 21 Julai 2024 di Stesen Keretapi KTM Segamat. Pelancaran stesen baharu KTM Segamat  dan  juga pelancaran perkhidmatan ETS antara bandar yang akan diadakan tidak lama lagi bakal memberi rahmat bagi penduduk tempatan kerana ia menawarkan perkhidmatan tren yang lebih pantas dan selesa.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar berdekatan  dengan bandar Segamat, mengakses stesen KTMB ini boleh menjadi satu cabaran. Ketiadaan perkhidmatan bas perantara yang efisien antara Stesen KTM Segamat dengan bandar-bandar berdekatan seperti Muar, Tangkak, Pagoh dan Bukit Gambir menjadi penghalang  masyarakat mendapat manfaat sepenuhnya kemudahan ETS ini.

Perkhidmatan ETS ini akan menarik lebih ramai pengguna yang  dahagakan kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan moden. Oleh itu seiring dengan pelancaran perkhidmatan ETS ini, satu perkhidmatan bas perantara yang komprehensif perlu diwujudkan untuk menghubungkan Stesen KTM Segamat  dengan bandar-bandar berdekatan.

 

Menyambungkan titik-titik utama

Bas perantara ini boleh memberi manfaat yang positif kepada masyarakat dan juga kepada KTM sendiri. Pertama, bas perantara akan meningkatkan keterhubungan, yang  akan menghubungkan penduduk di kawasan bandar berdekatan dan juga luar bandar dengan perkhidmatan kereta api yang ditawarkan oleh KTM. Ini akan memudahkan urusan perjalanan  masyarakat untuk tujuan pekerjaan, pendidikan ataupun perniagaan, sekali gus ia akan dapat meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan KTM dengan mendadak.

Selain itu, ia juga dapat mengurangkan  kebergantungan kepada kenderaan persendirian. Dengan adanya pilihan pengangkutan awam yang lebih baik, masyarakat akan lebih cenderung untuk menggunakan bas dan tren, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

Seterusnya bas perantara ini dapat memperkasakan sektor pelancongan tempatan. Kemudahan pengangkutan awam yang efisien akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi destinasi menarik di sekitar Segamat dan juga bandar-bandar yang ada khidmat bas perantara ini. Bandar Segamat, Pagoh, Bukit Gambir dan Muar terkenal dengan produk pertanian, dusun buahan tempatan dan hutan simpanan yang tidak tercemar. Juga terdapat tapak-tapak warisan budaya dan sejarah   yang boleh melonjakkan industri pelancongan negeri Johor.

 

Anjakan paradigma perkhidmatan pengangkutan awam

Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan perkhidmatan bas perantara. Ramai yang tidak gemar menggunakan perkhidmatan bas awam kerana banyak masa dibazirkan untuk menunggu kehadiran bas tersebut. Oleh itu langkah utama yang perlu dilaksanakan adalah meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas perantara ini. Menambah kekerapan akan memberikan lebih banyak pilihan waktu perjalanan kepada pengguna.

Lebih baik lagi jika penyelarasan jadual waktu bas dengan jadual ketibaan dan keberangkatan tren ETS dapat dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan perjalanan  penumpang yang lancar.  Ini akan memudahkan penumpang melakukan pertukaran mod pengangkutan antara bas perantara dan tren.

Selain itu penambahan hentian juga perlu dipertimbangkan.  Menambah hentian bas di kawasan-kawasan yang strategik akan memudahkan akses kepada lebih ramai pengguna.

Seterusnya menyediakan bas yang selesa dan moden boleh menarik lebih ramai pengguna. Bas yang dilengkapi dengan kemudahan seperti penyaman udara, tempat duduk yang selesa dan aksesibiliti untuk pengguna kurang upaya akan meningkatkan keselesaan perjalanan.

Juga perlu dilaksanakan adalah integrasi sistem tiket dan penyepaduan tambang antara bas perantara dan tiket KTM. Menggabungkan sistem tiket bas dan tren akan memudahkan pembelian tiket dan perjalanan bagi pengguna. Ini adalah satu servis nilai tambah yang memberi insentif kepada pengguna untuk melanggan perkhidmatan KTM secara berterusan. 

Kesimpulannya, menyediakan perkhidmatan bas perantara yang efisien yang boleh menghubungkan stesen KTM Segamat dengan badar-bandar berdekatan adalah harapan masyarakat. Dengan adanya perkhidmatan ini, masyarakat akan dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah, selesa lagi berpatutan. Kejayaan perkhidmatan ETS antara bandar di Segamat bergantung kepada kebolehcapaian. Dengan mewujudkan rangkaian bas perantara, KTM dapat memastikan bahawa semua pengguna di bandar-bandar yang tiada perkhidmatan KTMB  berpeluang menikmati kemudahan dan kecekapan sistem pengangkutan awam moden ini. Selain itu, ia juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di bandar-bandar tersebut. KTM juga patut menyediakan perkhidmatan bas perantara ini di semua stesen. Ia adalah strategi  yang mampu memberi impak postif pada masyarakat dan juga meningkatkan jualan tiket perkhidmatan KTM.

 

 

 

 

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat:19), 7 Ogos 2024: Bas perantara bantu perkasa Keretapi Tanah Melayu 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 7 Ogos 2024: Bas perantara bantu perkasa Keretapi Tanah Melayu

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2024/08/bas-perantara-bantu-perkasa-keretapi-tanah-melayu/