Seringkali kita mendengar perkataan Internet of Things (IoT) dan Kecergasan Buatan (AI). IoT merujuk kepada rangkaian peranti dan teknologi yang membolehkan perhubungan antara peranti, memungkinkan pengumpulan dan pertukaran data. Manakala AI pula merujuk kepada proses yang mana sistem komputer mensimulasikan kecerdasan manusia untuk menganalisis data dan membuat keputusan. Apabila dua teknologi ini digabungkan, ia dikenali sebagai AIoT. Kedua-dua teknologi ini merupakan peneraju dalam merevolusikan pelbagai bidang. Potensi AIoT mampu mengubah industri melalui pengurusan maklumat yang lebih efisien. Pada masa ini, teknologi AIoT sedang berkembang dan industri pembinaan tidak terkecuali.
Menurut laporan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebanyak 1,359 kompaun dikeluarkan kepada kontraktor sepanjang tahun 2023, termasuk kesalahan penggunaan bahan binaan yang tidak disahkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520). Masalah berkaitan dengan bahan binaan merupakan salah satu cabaran yang sering dihadapi, baik oleh individu seperti pemilik tanah yang ingin membina rumah sendiri mahupun oleh syarikat atau pihak berkuasa seperti Jabatan Kerja Raya (JKR). Konkrit adalah bahan binaan dalam industri pembinaan, dan isu yang kerap berlaku adalah seperti penggunaan bahan berkualiti rendah untuk mengurangkan kos pembinaan atau amalan yang tidak telus dalam pembelian bahan binaan. Cabaran lain termasuklah pengawasan dan pengurusan projek yang tidak berkesan semasa proses bancuhan konkrit, campuran yang tidak betul atau kegagalan dalam mematuhi prosedur yang disyorkan, mengakibatkan amalan pembinaan yang tidak profesional.
Ketidakpatuhan terhadap standard industri yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti CIDB boleh menyebabkan pengurangan ketahanlasakan struktur konkrit seterusnya menurunkan prestasinya untuk jangka masa panjang . Dalam reka bentuk bangunan, kekuatan konkrit yang ditetapkan oleh jurutera adalah penting. Contohnya, Eurocode EN 1992-1-1 menetapkan keperluan minimum kekuatan konkrit bergantung kepada keadaan persekitaran dan perincian struktur. Penggunaan peranti AIoT membolehkan pemantauan secara real-time terhadap proses pengerasan konkrit dan juga membolehkan klien serta pihak berkuasa mengawasi kekuatan konkrit dalam struktur. Pemantauan ini tidak hanya memberi manfaat kepada klien tetapi juga mencegah manipulasi data yang mungkin terjadi dalam kaedah konvensional.
Badan seperti CIDB dan Majlis Bandaraya tempatan bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kualiti pembinaan dipatuhi di Malaysia. Penggunaan teknologi ini dapat membantu mematuhi standard dan amalan pembinaan yang beretika dengan memberi akses kepada klien terhadap data yang terkumpul melalui aplikasi telefon pintar tanpa wayar. Peranti AIoT ini juga dilengkapi dengan aplikasi yang dapat menganggarkan kekuatan dan kematangan konkrit secara automatic yang boleh diakses oleh semua pihak yang terlibat.
Teknologi ini mempunyai potensi untuk mengubah landskap industri yang lebih menyeluruh. Sebagai contoh, peranti yang ada di pasaran menggunakan AIoT untuk mengumpul data dan menganalisis kekuatan konkrit, meningkatkan efisiensi dan ketepatan dalam penilaian kekuatan semasa proses pengerasan. Dalam bidang pembinaan, struktur perlu berfungsi mengikut reka bentuk sepanjang masa, dan AIoT membolehkan ramalan prestasi struktur dan pengawasan yang lebih efektif, memastikan pematuhan kepada standard industri yang ketat dan kesedaran terhadap kualiti konkrit dalam projek pembinaan.
Untuk mengatasi cabaran ini, bidang pembinaan perlu mengintegrasikan kecerdasan buatan, IoT dan manusia. AIoT membolehkan jurutera awam untuk membina infrastruktur yang lebih pintar, selamat dan mampan. Dengan kemajuan ini, generasi muda Malaysia dapat mengambil peluang ini dengan menguasai kemahiran dalam kod untuk memastikan negara tidak terpinggir dalam perkembangan AI.
Profesor Madya Ir. Dr. Norwati Jamaluddin
Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Koh Heng Boon
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)