Di Malaysia, pemakaian topi keledar keselamatan adalah wajib disisi undang-undang bermula pada tahun 1973. Banyak kajian yang dilakukan oleh para penyelidik menunjukkan bahawa pemakaian topi keledar keselamatan dapat membantu mengurangkan kadar kecederaan dan kematian akibat kemalangan motosikal. Di Malaysia kompaun sebanyak RM300 (maksimum) boleh dikenakan ke atas kesalahan tidak memakai topi keledar keselamatan semasa menunggang motosikal. Penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan dan kepelbagaian kempen kesederaan untuk menggalakkan penunggang motosikal mematuhi keperluan memakai topi keledar keselamatan dilihat berupaya membuahkan hasil apabila banyak kajian mendapati bahawa penunggang motosikal secara majoritinya mematuhi peraturan tersebut.
Salah satu kajian terkini adalah kajian yang dilakukan oleh penyelidik di bawah program ASEAN NCAP Collaborative Holistic Research (ANCHOR) Malaysia, yang telah menggunakan 335 video rakaman dascam yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan 97% penunggang motosikal yang terlibat dengan kemalangan jalan raya menggunakan topi keledar keselamatan. Sebanyak 40.7% dari video rakaman dashcam yang dianalisa menunjukkan penunggang motosikal mengendalikan motosikal dalam keadaan yang tergesa-gesa sehingga menyebabkan berlakunya perlanggaran dengan kenderaan lain. Persoalan yang timbul ialah, adakah penggunaan topi keledar keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal telah penyumbang kepada isu pembalikan risiko atau lebih dikenali dengan istilah risk compensation di dalam bidang Psikologi Keselamatan. Keadaan pembalikan risiko adalah merujuk kepada situasi bahawa seseorang individu itu mungkin mengubah tingkah laku mereka sebagai tindak balas terhadap peningkatan rasa selamat atau rasa terlindung. Merujuk kepada kes kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal ini, penunggang motosikal mematuhi keperluan pemakaian topi keledar keselamatan dan mereka merasa lebih selamat, oleh itu mereka berani mengambil lebih risiko untuk menunggang motosikal dengan lebih agresif sehingga kurang memberi perhatian kepada tindakan untuk lebih berhati-hati.
Umum mengetahui, topi keledar keselamatan merupakan satu alat perlindungan diri yang penting untuk memelihara keselamatan penunggang motosikal. Topi keledar keselamatan melindungi kepala penunggang dari kecederaan serius semasa kemalangan. Ia direka untuk menyerap impak dan mengurangkan risiko kecederaan otak dan kematian. Akan tetapi ia bukan jaminan keselamatan sepenuhnya di atas jalan raya. Penunggang perlu mengamalkan tingkah laku penunggangan yang selamat, mematuhi undang-undang lalu lintas dan menghindari tindakan berisiko seperti menyelit dalam lalu lintas yang sesak. Menyelit antara deretan kenderaan adalah sangat berbahaya kerana ruang yang sempit dan pergerakan kenderaan yang tidak dapat diramal. Penunggang motosikal akan lebih mudah terhimpit atau bertembung dengan kenderaan lain.
Walaupun topi keledar keselamatan mampu memberi perlindungan kepada kepala, namun bahagian badan lain seperti leher, tulang belakang dan anggota kaki / tangan tetap terdedah kepada kecederaan. Risiko kecederaan, kehilangan upaya kekal malah kematian juga tinggi jika kemalangan yang terjadi mengakibatkan kecederaan di bahagian tubuh yang lain seperti yang dinyatakan. Maka penggunaan topi keledar keselamatan tidak sepatutnya disalah erti oleh penunggang motosikal sehingga menimbulkan rasa selamat palsu dan seolah-olah memberi tiket kepada mereka untuk mengabaikan peraturan-peraturan keselamatan jalan raya yang lain. Antaranya seperti mematuhi had laju kenderaan, memberi amaran untuk menukar laluan dan senantiasa berwaspada atau peka terhadap situasi semasa terutama sekali ketika ingin mengubah corak penunggangan contohnya tahap kelajuan, menukar laluan atau membelok ke arah yang berlainan.
Pemakaian topi keledar keselamatan adalah wajib dan merupakan langkah keselamatan yang kritikal walaupun ada kemungkinan bahawa ia boleh menyebabkan penunggang motosikal mengambil risiko yang lebih besar terbit dari rasa selamat yang berlebihan. Oleh itu, penting untuk menggabungkan pemakaian topi keledar keselamatan dengan pendidikan, latihan dan penguatkuasaan peraturan keselamatan yang menyeluruh untuk memastikan keselamatan penunggang motosikal di jalan raya terperlihara. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Ia memerlukan kesedaran yang tinggi dan konsisten terutama sekali penunggang motosikal kerana mereka tergolong dalam golongan yang lebih mudah terdedah kepada kemalangan maut. Selain topi keledar, penunggang motosikal juga disarankan memakai pakaian keselamatan lain seperti jaket yang mudah dilihat oleh pemandu lain, sarung tangan dan pelindung lutut untuk perlindungan tambahan.
Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Zulhaidi Mohd Jawi
Pengarah Pusat
Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)