Kesihatan bukan hanya meliputi kesihatan fizikal tetapi juga merangkumi aspek kesihatan mental. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental merujuk kepada keadaan kesejahteraan yang mana seseorang individu menyedari kebolehan dirinya, mampu mengurus tekanan harian dengan baik, dapat bekerja dengan produktif serta memberikan sumbangan positif kepada komuniti. Kesihatan mental adalah penting untuk semua lapisan umur kerana ia boleh mempengaruhi cara berfikir dan bertindak seseorang. Tanpa kesihatan mental yang baik, ia akan menjejaskan aktiviti harian seseorang individu termasuk penjagaan diri, pendidikan, pekerjaan serta penyertaan dalam kehidupan sosial.
Tempat kerja memainkan peranan penting dalam kesejahteraan mental dan kesihatan, termasuk bagi warga pendidik. Setiap tugas yang dilakukan oleh pendidik mempunyai skop tertentu yang perlu dicapai, dan jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, terutamanya bagi pendidik yang lebih muda. Menurut kajian WHO, 1 daripada 10 pekerja mengalami masalah kesihatan mental seperti tekanan kronik, kebimbangan atau kemurungan. Tambahan lagi, satu kajian di Malaysia menunjukkan bahawa dua pertiga pendidik di Malaysia di bawah usia 45 tahun mengalami masalah kesihatan mental yang signifikan.
Warga pendidik adalah sumber penting dalam sistem pengajaran dan pembelajaran. Mereka memegang tanggungjawab besar untuk memastikan pelajar memiliki kemahiran yang sesuai dengan keperluan pasaran kerja, serta perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap aspek tugasan mereka, termasuk pengurusan masa dan kualiti hasil kerja. Pendidik muda berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan mental kerana kurang pengalaman dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Keadaan ini mengakibatkan mereka sering berasa bimbang dengan hasil kerja sehingga mencetuskan perasaan murung. Masalah ini boleh menjadi serius sekiranya pendidik muda mempunyai strategi daya tindak yang lemah dalam menghadapi tekanan psikologikal.
Masalah kesihatan mental berlaku apabila seseorang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan yang dialaminya dengan baik. Tingkah laku individu yang mengalami masalah kesihatan mental boleh mengganggu prestasi kerja kerana cenderung untuk bertindak agresif dan mudah marah. Akibatnya, ia memberi kesan kepada kesukaran dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Kesihatan mental juga memberi kesan kepada kehilangan motivasi dan minat terhadap tugas harian atau pekerjaan.
Masalah kesihatan mental bukan hanya menyebabkan perubahan dalam tingkah laku dan emosi, tetapi juga dapat menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik lain seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser. Menjelang tahun 2030, isu kesihatan mental berisiko menjadi penyakit kedua terbesar selepas penyakit jantung jika tiada program pencegahan yang efektif dilaksanakan. Oleh itu, rawatan dan pencegahan kesihatan mental perlu diberi perhatian serius, tidak hanya melalui inisiatif kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti, tetapi juga di peringkat individu. Dalam hal ini, setiap pendidik perlu memainkan peranan penting.
Setiap individu perlu menghargai dan menyayangi diri sendiri. Beberapa langkah yang boleh diambil untuk menjaga kesihatan mental di peringkat individu termasuk mengamalkan pemakanan seimbang yang kaya dengan nutrien seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Pengurusan masa yang baik dapat membantu mengurangkan tekanan dan memberi ruang untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan. Hormon kebahagiaan yang dihasilkan melalui senaman, tertawa dan mendengar muzik, bermanfaat dalam meningkatkan perasaan gembira dan mengurangkan kadar stres dalam tubuh. Selain itu, bercakap dengan sahabat atau ahli keluarga yang dipercayai boleh membantu melegakan tekanan dan memberi sokongan emosi. Interaksi sosial juga membantu mengurangkan perasaan kesepian dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
Kesihatan mental yang baik membantu pendidik bekerja dengan lebih fokus dan efisien, yang akhirnya dapat memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti. Ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals). Matlamat ini menekankan kepentingan kesihatan mental dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat dan produktif. Kesihatan mental yang optimum sangat penting untuk membantu pendidik, terutama golongan muda untuk menonjolkan potensi diri yang akhirnya dapat memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Dr. Nurrul Hafeezah Sahak
Pensyarah Kanan
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Zuritah A.Kadir
Pensyarah Kanan
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 10 Jun 2024: Pendidik perlu ambil inisiatif tangani cabaran kesihatan mental
2. Harian Metro (muka surat: 14), 18 Jun 2024: Kalau cikgu muda murung
3. MyMetro (hmetro.com.my), 18 Jun 2024: Kalau cikgu muda murung
https://www.hmetro.com.my/rencana/2024/06/1101659/kalau-cikgu-muda-murung
4. Bernama (bernama.com), 19 Jun 2024: PENDIDIK PERLU AMBIL INISIATIF TANGANI CABARAN KESIHATAN MENTAL
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2307559
5. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 12 September 2024 Inisiatif tangani cabaran kesihatan mental