Impak penyelidikan di institusi pendidikan tinggi negara menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini terutama di media cetak. Hasil penyelidikan dikatakan hanya menjadi bahan penulisan penerbitan artikel jurnal dan bilangan yang berjaya menjalani pemindahan teknologi amat terhad. Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini pernah berucap di sidang Parlimen mengatakan bahawa kecemerlangan universiti diukur dari indikator penerbitan dan penarafan yang mampu memberi impak kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan pendekatan kerangka Quadra Helix iaitu gabungan kerjasama empat penjuru, akademik, kerajaan, masyarakat dan industri. Melalui kerangka Quadra Helix, KPT menyarankan kepada institut pendidikan tinggi untuk memberi penekanan kepada penyelidikan yang memberi solusi kepada negara. Artikel ini menggariskan komponen penting dalam penyelidikan translasional sehingga mampu melahirkan teknousahawan peringkat global.
Ilmuan seluruh dunia telah bersependapat bahawa penyelidikan mampu meningkatkan taraf kecemerlangan sesebuah universiti. Namun agak terhad jika penyelidikan hanya menghasilkan ilmu baharu dan ukurannya hanya kepada penarafan artikel jurnal berimpak kepada kesejahteraan ekonomi dan negara. Bagi sesetengah negara seperti Itali, Jepun dan Jerman penyelidikan di universiti harus menghasilkan solusi kepada masalah setempat dan mampu tingkatkan ekonomi. Universiti Bologna di Itali membantu dalam penghasilan solusi bagi produk berasaskan keju. Negara China juga menjadikan universiti sebagai ruang berinovasi untuk menghasilkan teknologi baharu dalam menyelesaikan masalah industri.
Pemindahan teknologi daripada gedung ilmu seperti universiti mampu menghasilkan solusi kepada industri dan masyarakat. Walau bagaimanapun penghasilan teknologi ini perlu bermula daripada inovasi pelajar dan pensyarah serta kerjasama terpandu bersama industri. Ringkasnya, proses kerja ini adalah sebahagian daripada model Quadra Helix. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ada menyediakan ekosistem penyelidikan terbaik melalui pendekatan Model Quadra Helix. UTHM komited dan fokus dalam melaksanakan penyelidikan berorientasikan aplikasi dipacu dengan teknologi masa hadapan untuk menghasilkan solusi kepada industri, masyarakat dan dunia. Pada tahun 2023, UTHM melaksanakan transformasi dalam penyelidikan dengan beriltizam melaksanakan penyelidikan transilasi dengan aplikasai teknologi futuristik menerokai peluang peringkat global.
Ekosistem
UTHM merupakan sebuah universiti teknikal beriltizam menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai medan penghasilan solusi kepada permasalahan masyarakat, industri serta negara. UTHM telah menyasarkan menjadi Universiti Teknousahawan Peringkat Global pada tahun 2030. Dalam menuju ke arah Global Technopreneaur University 2030 (GTU 2030), UTHM menjadikan ‘Teknousahawan’ sebagai satu teras penting dan ianya diukur melalui kecemerlangan penyelidikan dan inovasi. Apa yang menarik di bawah teras ini adalah, hubungan dan jaringan industri serta masyarakat bersama universiti menjadi agenda utama bagi memastikan hasil penyelidikan memberi impak kepada industri dan masyarakat.
Ekosistem yang ada di UTHM adalah seperti paparan gambarajah 1.0
Ekosistem Penyelidikan Transilasi UTHM
Paparan Gambar 1.0. menunjukan ekosistem penyeldikan translisasi perlu mempunyai unit-unit yang terdiri daripada penyelidik, pusat industri, pusat pengurusan penyelidikan, pusat penerbitan dan pusat pengkomersilan. Setiap entiti mempunyai peranan masing masing yang diringkaskan dalam Jadual 1.0.
Entiti | Peranan | Sumber |
Penyelidik | Menjuarai Kepakaran dan Melaksanakan Penyelidikan untuk menghasilkan solusi masalah negara dan dunia | Fakulti
Pusat KEcemerlangan Institut
Industri, Agensi dan Masyarakat |
Pusat Pengurusan Penyelidikan | Pusat di bawah Universiti bertanggungjawab mengawal, menyelaras, memantantau dana dan projek penyelidikan | Staf Akademik
Dan Pentadbiran |
Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat | Menjadi penghubung universiti kepada masyarakat dan industri | Staf Akademik
,Pentadbiran Felo Industri dan Masyarakat |
Pusat Penerbitan | Mengurus hasil penyelidikan yang ingin diterbitkan | Staf Akademik
,Pentadbiran Profesor Ajung |
Pusat Pengkomersilan Harta Intelek | Mengurus produk berpotensi untuk komersil dan pemindahan teknologi | Staf Akademik
,Pentadbiran Industri dan Agensi |
Pusat Teknousahawan | Menyedia dan memantau inisiatif tekno-usahawan dikalangan pelajar | Pelajar
Staf akademik Industri |
Jadual 1.0 Ekosistem Penyelidikan Transilasi UTHM; Model Quadra Helix
Hasil dan impak
Melalui GTU 2030 serta ekosistem penyelidikan transilasi UTHM telah berjaya mempunyai jaringan kerjasama bersama lebih 100 industri dan agensi kerajaan. Jaringan kerjasama ini bertujuan meningkatkan penghasilan solusi kepada masalah di industri. Menjadikan hubungan industri dan masyarakat sebagai entiti penting bagi perlaksanaan Penyelidikan Transilasi, UTHM memberi galakan kepada staf akademik menerusi dana padanan industri dan aktiviti komuniti. Selain itu, universiti menyediakan dasar dan garis panduan berkaitan penyelidikan transilasi, hubungan industri dan masyarakat, penerbitan serta penguatkuasaan akta berkaitan kakitangan awam bagi memastikan penyelidik menjalankan penyelidikan dengan integriti dan hasilnya bernilai tinggi.
Contoh terdekat, penyelidikan melalui dana padanan industri telah menghasilkan solusi kepada masalah lebuhraya hasil dari kerjasama PLUS Malaysia, perisian komputer membantu kawalan kelapa sawit di sabah hasil kerjasama salah sebuah syarikat mengusahakan hasil sawit di negeri tersebut dan penghasilan produk pengurusan sisa pepejal bersama industri bahan daerah Tangkak Johor. Melalui kolaborasi model Quadra Helix, UTHM berjaya menghasilkan dron yang mampu membawa muatan tinggi dikenali sebagai “cargo drone.”
Bagi produk mempunyai nilai komersil, kaedah pemasaran berbentuk syarikat terbitan dan outright sale telah dilaksanakan. UTHM telah mempunyai 16 syarikat terbitan untuk membantu universiti memasarkan produk penyelidikan. Usaha ini diperhebatkan dengan pelbagai insentif diperkenalkan bagi menyokong ekosistem penyelidikan transilasi ke arah GTU 2030.
UTHM juga mendekati masyarakat dengan program pemindahan teknologi dan ilmu kepada masyarakat Parit Sulong Muar, Kota Tinggi Johor dan beberapa daerah wilayah selatan. Penyelidikan berskala kecil yang dilaksanakan melalui projek tahun akhir pelajar sarjana muda berjaya membantu masryarakat orang asli sekitar Muar dalam mendapat bekalan air bersih. Terdapat juga penyelidikan melalui projek tahun akhir membantu menyelesaikan masalah universiti contohnya seperti penghasilan sistem rekod peralatan sukan. Produk hasil dari penyelidikan di UTHM sentiasa mendapat perhatian industri sekitar negeri johor dan Malaysia melalui program RISE. Program yang diadakan setiap tahun itu sebagai usaha memperkenalkan inovasi penyelidik universiti kepada masyarakat dan industri setempat.
Model Teknousahawan Global
Melahirkan teknousahawan dalam kalangan pelajar dan pensyarah universiti merupakan agenda utama UTHM. Untuk itu peruntukan besar telah disalurkan ke bahagian Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) untuk menggerakkan usaha pengkomersilan produk. Melalui Pusat Teknousahawan, Universiti melatih pelajar dan pensyarah untuk pemasaran inovasi masing masing dengan insentif tertentu seperti pinjaman pengkomersilan. Komitmen dari kumpulan ahli Lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi telah berjaya menerbitkan 16 syarikat untuk memasarkan produk universiti. Walaupun meletakkan teknousahawan sebagai sasaran utama, UTHM sentiasa menegaskan kepada staf akademik mereka bahawa integriti, profesional dan tumpuan kepada tugasan hakiki perlu menjadi keutamaan.
Dengan Hikmah Kita Meneroka
Dengan Hikmah kita meneroka merupakan azimat yang dipegang oleh seluruh warga universiti. Penerokaan bersama, nilai integriti, profesional, menghormati serta menghargai alam sekitar antara nasihat keramat pengurusan kepada seluruh keluarga UTHM. Kejayaan universiti bergantung penuh kepada usaha bersama dan seluruh penyelidik pegang azimat ini “dimana bumi dipijak disitu langit kita junjung” GTU 2030 Milik kita tepat pada masa!
Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim
Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)