Menurut data dari Kementerian Sumber Manusia, pekerja berusia 50 tahun ke atas menyumbang 16.6 peratus daripada tenaga kerja Malaysia. Isu prestasi dalam kalangan pekerja berusia dalam sektor pekerjaan semakin menjadi perhatian yang serius.

Pekerja berusia dianggap kurang produktif dan sukar untuk beradaptasi dengan teknologi dan pekerjaan semasa. Ini menyebabkan masalah di tempat kerja termasuk ketinggalan dalam penggunaan teknologi dan penurunan produktiviti.

Menurut kajian, prestasi pekerja berusia 45 tahun ke atas di Malaysia menunjukkan penurunan disebabkan usia, keletihan, dan masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan pekerjaan yang memerlukan fizikal yang tinggi.

Menurut data, hanya 35 peratus pekerja berusia 55 tahun ke atas yang masih bekerja, manakala 22 peratus lagi berada dalam proses mencari pekerjaan. Ini menunjukkan bahawa pekerja berusia ini berisiko kehilangan pekerjaan dan memerlukan bantuan dalam meningkatkan nilai diri mereka agar terus relevan dalam sektor pekerjaan.

Meremajakan pekerja berusia adalah perlu untuk meningkatkan kebolehpasaran, kesihatan dan kesejahteraan pekerja berusia agar mereka dapat terus menjadi pekerja yang produktif dan terus menyumbang kepada organisasi.

Selain itu, mereka berada dalam situasi yang memerlukan banyak perubahan kemahiran dan pengetahuan dalam pekerjaan semasa yang kompetitif, terutama dalam perubahan teknologi yang begitu cepat. Ini menyebabkan kurangnya motivasi dan keinginan untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan perkembangan baharu dalam sektor pekerjaan.

Walau bagaimanapun, meremajakan pekerja berusia dalam sektor pekerjaan bukanlah satu tugasan yang mudah dan memerlukan usaha dan strategi yang tepat.

Untuk memulakan usaha ini, majikan dan organisasi perlu bertangungjawab, mempunyai sikap yang positif dan terbuka terhadap keperluan pekerja berusia.

Pekerja berusia perlu diberi peluang untuk memberi sumbangan dalam organisasi dan dipandang sebagai aset berharga, bukannya sebagai beban kepada organisasi. Oleh itu, organisasi perlu meremajakan pekerja berusia agar mereka kekal relevan dan bersemangat untuk terus berkerja.

Program Latihan

Pertama, majikan perlu mengambil langkah untuk membangunkan kemahiran dan pengetahuan pekerja berusia agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan teknologi dan tugas yang semakin kompleks. Pekerja yang berusia mungkin tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan teknologi terkini atau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang baharu yang semakin berkembang pesat.

Program latihan dan pembangunan perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan kepimpinan, menjadikan mereka lebih relevan dan kompetitif dalam pasaran pekerjaan. Ini juga membantu mengurangkan jurang kemahiran antara pekerja berusia dan generasi baharu, yang boleh mempengaruhi kesinambungan organisasi.

Oleh itu, perlu adanya peningkatan dan penyediaan latihan yang sesuai untuk membolehkan pekerja berusia memahami dan menggunakan teknologi yang semakin berkembang dalam sektor pekerjaan.

Persekitaran kerja yang kondusif

Kedua, kepentingan keperluan pekerja berusia dalam aspek ergonomik di tempat kerja dan kesihatan tidak boleh dipandang ringan. Organisasi dan majikan perlu memastikan persekitaran kerja yang ergonomik dan selamat dan menyediakan peralatan dan teknologi yang sesuai untuk mengurangkan risiko kecederaan.

Ini termasuk menyesuaikan persekitaran kerja dengan keperluan fizikal pekerja seperti pengurangan penggunaan tangga dan penggunaan peralatan yang ergonomik untuk mengurangkan tekanan pada sendi dan otot.

Majikan perlu memastikan kesihatan pekerja berusia dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan berkala untuk mengesan penyakit yang mungkin dialami lebih awal. Majikan juga perlu menyediakan kemudahan kesihatan seperti perkhidmatan rawatan kesihatan dan program pemulihan fizikal untuk membantu pekerja berusia mengatasi kecederaan dan kesakitan yang dialami.

Dengan memberi perhatian kepada keperluan kesihatan pekerja berusia, majikan dapat meningkatkan dan memperbaiki produktiviti mereka di tempat kerja.

Kebajikan pekerja

Bagi pekerja berusia yang mengalami masalah kesihatan atau keupayaan fizikal yang terhad, penyesuaian tempat kerja dan tugas boleh membantu mereka terus kekal dalam pekerjaan. Ini termasuk bantuan peralatan dan teknologi, pengurangan masa kerja, penugasan tugas yang lebih ringan atau lebih sesuai dengan keupayaan mereka.

Selain itu, program kebajikan pekerja yang mengambil kira keperluan pekerja berusia lanjut juga perlu diberikan oleh organisasi dan majikan. Ini termasuk insentif bantuan kesihatan, pencen atau persaraan yang lebih awal.

Majikan juga perlu memberi perhatian kepada aspek kesihatan fizikal dan mental pekerja berusia. Pekerja berusia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan seperti keletihan kronik, penyakit kardiovaskular dan kecederaan fizikal.

Oleh itu, majikan perlu mengambil langkah-langkah untuk memastikan persekitaran kerja selamat dan memenuhi keperluan ergonomik untuk pekerja berusia. Selain itu, majikan juga perlu mengambil langkah-langkah untuk memberi sokongan kepada pekerja berusia dalam aspek kesihatan mental mereka.

Penjagaan kesihatan dan kecergasan

Meningkatkan keberkesanan kesihatan pekerja berusia adalah penting dalam memastikan mereka kekal produktif dalam sektor pekerjaan. Majikan perlu menyediakan kemudahan kesihatan dan kecergasan yang mudah diakses dan memastikan keselamatan di tempat kerja sebagai keutamaan.

Mempromosikan kesedaran kesihatan dan kecergasan dalam budaya organisasi juga membantu memotivasi pekerja untuk menjaga kesihatan mereka. Kajian juga menunjukkan bahawa pekerja yang mengambil bahagian dalam program kesihatan dan kecergasan memerlukan kos rawatan kesihatan yang lebih rendah dan cuti sakit yang lebih sedikit.

Dengan mengambil langkah-langkah ini, organisasi dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan pekerja berusia, yang dapat mengekalkan produktiviti mereka.

Mentorship dan coaching

Bagi memastikan kejayaan program peremajaan pekerja berusia, penting untuk melibatkan pekerja berusia itu sendiri dalam program pembangunan pekerja. Pendekatan seperti mentorship dan coaching juga boleh membantu mempercepatkan pembelajaran dan memberikan motivasi kepada pekerja berusia dalam sektor pekerjaan.

Pekerja berusia yang berpengalaman juga boleh memberikan sumbangan kepada organisasi dengan memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan generasi yang lebih muda. Mereka dapat membantu dalam memimpin dan melatih pekerja muda untuk menjadi lebih produktif dan profesional.

Masa kerja yang fleksibel

Selain itu, meremajakan pekerja berusia juga boleh dilakukan melalui peluang pekerjaan yang lebih fleksibel. Pekerja yang berusia mungkin mempunyai keperluan yang berbeza daripada pekerja yang lebih muda, seperti keperluan rawatan kesihatan yang lebih tinggi. Dengan masa yang lebih fleksibel, pekerja berusia dapat menyesuaikan masa kerja mereka dengan keperluan peribadi dan kesihatan mereka.

Waktu fleksibel juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan stres yang berlebihan dalam kehidupan mereka, yang dapat meningkatkan kepuasan kerja. Menawarkan peluang pekerjaan yang lebih fleksibel seperti pekerjaan separuh masa, pekerjaan jarak jauh atau jadual kerja yang fleksibel, dapat membantu pekerja berusia kekal dalam pasaran kerja.

Penghargaan

Syarikat perlu menghargai dan memberi pengiktirafan kepada pekerja berusia. Pengiktirafan dan penghargaan boleh diberikan dalam pelbagai cara, seperti melalui sijil penghargaan, hadiah tunai, kenaikan pangkat atau gaji, dan percutian.

Majlis penghargaan dan pengiktirafan juga boleh diadakan dalam pertemuan syarikat atau majlis khas untuk memberikan pengiktirafan kepada pekerja berusia yang telah mencapai sasaran kerja atau mempunyai sumbangan yang luar biasa kepada syarikat.

Dengan cara ini, pekerja berusia akan merasa dihargai dan berasa bertanggungjawab terhadap syarikat mereka, yang akan meningkatkan motivasi dan produktiviti mereka.

Kesimpulannya, meremajakan pekerja berusia dalam sektor pekerjaan adalah penting untuk memastikan kecekapan dan produktiviti organisasi. Dengan memberi perhatian kepada latihan, kesihatan dan kesejahteraan, serta melibatkan mereka dalam proses pembangunan, organisasi dapat memperoleh manfaat daripada pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh pekerja berusia mereka. Ini boleh membantu organisasi berfungsi secara lebih berkesan dalam persekitaran yang semakin berkembang dan berubah.

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah Kanan dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 28 April 2024: Program `meremajakan’ pekerja berusia tingkat produktiviti organisasi 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 28 April 2024: Program `meremajakan’ pekerja berusia tingkat produktiviti organisasi 

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2024/04/1240070/program-meremajakan-pekerja-berusia-tingkat-produktiviti-organisasi