Malaysia menghadapi cabaran daya saing berdasarkan Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023. Meskipun rangking negara naik ke-27 daripada ke-32 tahun lalu, penambahbaikan yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur negara. Cabaran utama yang telah dikenal pasti termasuklah memperkasakan pembangunan sumber manusia, meningkatkan produktiviti dan menyokong kelestarian alam sekitar.

 

Dasar-dasar progresif

Pelaksanaan dasar-dasar progresif oleh kerajaan, seperti Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) telah menyediakan landasan yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Gagasan Ekonomi MADANI telah diperkenalkan sebagai kerangka ekonomi baharu berperanan menstruktur semula ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan memberi manfaat kepada rakyat dengan meningkatkan kualiti hidup.

Sejajar dengan pelancaran Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) juga telah diperkenalkan. NETR membawa 10 inisiatif pemangkin yang dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang tahun 2050.

Selain itu, NIMP 2030 menumpukan usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan sasaran hasil ekonomi yang lebih tinggi. Melalui NIMP, dijangka gaji median sektor pembuatan meningkat 9.6 peratus, mencapai RM4,510 daripada RM1,976, membantu meningkatkan tahap upah dalam sektor tersebut. NIMP 2030 akan meningkatkan gaji dan ekonomi negara untuk membina masyarakat yang lebih makmur dan sejahtera.

 

Pendekatan holistik

Pendekatan holistik untuk meningkatkan daya saing negara memerlukan kesepaduan dan sinergi semua pihak. Kejayaan suatu negara tidak boleh dicapai jika tiada penglibatan semua pihak. Kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pekerja, dan masyarakat awam perlu berganding bahu untuk membentuk sistem yang padu dan berkesan. Kolaborasi yang berterusan, komunikasi yang efektif dan pelaksanaan dasar-dasar yang baik akan membawa kepada peningkatan daya saing negara yang signifikan.

Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks pada tahun 2024, pendekatan holistik ini sangat diperlukan untuk meningkatkan daya saing negara. Kerjasama yang semua pihak adalah kunci kejayaan dalam menangani cabaran global.

 

Peranan kerajaan

Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam menentukan landskap ekonomi dan sosial negara. Pentadbiran yang berkesan, dasar-dasar yang progresif dan pengurusan kewangan yang baik adalah faktor-faktor kritikal yang membentuk asas untuk pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Dalam menangani cabaran global, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur yang efektif, menyokong inovasi dan penyelidikan, serta mencipta persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan. Kerajaan perlu menyesuaikan dasar negara dengan keadaan ekonomi semasa dan mempelajari dari negara lain seperti UAE, Qatar dan Singapura dalam meningkatkan daya saing dalam mencapai kemakmuran rakyat.

Sebagai contoh, NIMP 2030 mampu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan globalisasi rantaian nilai yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

 

Peranan Sektor Swasta

Sektor swasta sebagai pemain utama ekonomi negara, perlu memainkan peranan yang lebih proaktif. Syarikat-syarikat ini perlu melakukan inovasi, mencipta produk dan perkhidmatan yang berkualiti, serta memberi komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat.

Inovasi dalam pengurusan perniagaan dan penerapan teknologi digital adalah langkah strategik yang perlu diterapkan oleh sektor swasta. Pemerkasaan usahawan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diberi perhatian untuk memastikan kepelbagaian ekonomi negara.

Kolaborasi antara syarikat-syarikat tempatan dan luar negara perlu diperkasakan untuk membentuk rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampu bersaing di peringkat global. Selain itu, sektor swasta perlu mengintegrasikan kelestarian dalam model perniagaan mereka, menjadikan usaha ini sebagai satu elemen daya saing yang signifikan.

Tumpuan perlu diberikan kepada industri berasaskan teknologi tinggi seperti aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV) dan bidang kritikal yang lain. Pertumbuhan sektor ini mampu membawa kepada inovasi dan pembangunan industri yang lebih berimpak tinggi.

 

Peranan Institusi pendidikan

NIMP 2030 fokus kepada industri teknologi berimpak tinggi, namun ketersediaan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi dalam negara perlu ditingkatkan. Institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkualiti. Pembaharuan sistem pendidikan perlu dilakukan untuk menyesuaikan kurikulum dengan keperluan industri semasa dan teknologi terkini.

Pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) perlu dipertingkatkan untuk memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan. Kerjasama antara institusi pendidikan dan industri adalah kunci untuk menghasilkan graduan yang tidak hanya berpengetahuan, tetapi juga memiliki kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri.

 

Peranan pekerja

Pekerja juga memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh daya saing negara. Program pembangunan kemahiran dan peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat perlu disediakan untuk membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan kemahiran dalam pasaran buruh global.

Penglibatan pekerja dalam proses membuat keputusan dan dialog antara majikan dan pekerja akan membentuk hubungan yang erat serta persefahaman yang baik di antara majikan dan perkerja. Pendekatan proaktif terhadap perubahan teknologi dan keperluan pasaran kerja global perlu diintegrasikan dalam pengurusan sumber manusia semasa.

Sistem gaji progresif yang akan diperkenalkan juga dapat memberi manfaat kepada pekerja untuk meningkatkan daya saing industri. Produktiviti akan meningkat dengan pendekatan gaji progresif ini kerana pekerja akan lebih komited dan bermotivasi dalam memajukan industri mereka.

 

Peranan masyarakat awam

Masyarakat awam perlu turut serta dalam usaha meningkatkan daya saing negara. Kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kelestarian, budaya dan kemasyarakatan adalah sangat kritikal. Program-program pembangunan komuniti perlu digalakkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dan memastikan kesan ekonomi dapat dirasai oleh semua golongan masyarakat. Penglibatan masyarakat dalam projek-projek pembangunan tempatan dan maklum balas mereka akan membantu meningkatkan keberkesanan perlaksanaan projek rakyat yang menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

Dalam meningkatkan kompetitif global, kerajaan perlu memahami dan melihat kepelbagaian dalam semua aspek pembangunan secara menyeluruh. Ini termasuklah penglibatan rakyat dalam proses pembuatan keputusan, menyediakan peluang, dan memastikan pembangunan ekonomi diimbangi dengan kelestarian alam sekitar.

Keseluruhan, pendekatan holistik ini bukan sahaja tentang mencapai keunggulan ekonomi semata-mata, tetapi juga mencerminkan satu visi negara yang mampan dan seimbang untuk generasi masa depan.

 

Kesimpulannya, pendekatan holistik antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pekerja dan masyarakat awam adalah suatu keperluan untuk meningkatkan daya saing negara menghadapi cabaran global pada tahun 2024. Hanya melalui kerjasama yang kukuh dan usaha bersama, negara akan dapat melangkah ke hadapan dengan berkeyakinan dan memainkan peranan yang signifikan dalam arena antarabangsa. Kejayaan sesebuah negara bergantung kepada keupayaan negara mencapai kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 11), 4 Januari 2024: Peranan swasta, masyarakat kukuh daya saing negara