Seramai 29,000 atau 9.8 peratus daripada 295,962 graduan pada 2022 di negara ini belum mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian. Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan graduan adalah 3.7 peratus pada tahun 2022. Ramai graduan menghadapi cabaran dalam mencari pekerjaan, yang mana pekerjaan yang ditawarkan sering tidak sepadan dengan kemahiran dan tahap pendidikan mereka. Pekerjaan yang ditawarkan adalah bergaji rendah, terutamanya dalam kategori perkerjaan berkemahiran rendah atau separa mahir, berbanding dengan kelulusan akademik mereka.
Realiti ini menuntut bakal graduan universiti mempersiapkan diri dengan memahami keperluan pasaran pekerjaan dan meningkatkan nilai diri untuk menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin mencabar. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan RM15 juta bagi memperkenal beberapa program sijil profesional seperti kemahiran komputer, teknologi maklumat dan sistem pengurusan data khusus bagi graduan yang masih menganggur di negara ini untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan berkenaan.
Selain itu, graduan perlu lebih proaktif dengan tidak hanya menunggu peluang perkerjaan tetapi juga perlu mencipta pekerjaan dengan membina kemahiran keusahawanan, kepimpinan dan inovasi dengan teknologi terkini. Dengan pemikiran kreatif dan kebolehan berinovasi, graduan mampu mendapat perkerjaan dan mencipta peluang pekerjaan baharu untuk mendorong pertumbuhan ekonomi, dan mencipta impak positif kepada negara. Mereka juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu teknikal dan kemahiran insaniah supaya mampu bersaing dengan lebih kompetitif dalam menghadapi alam pekerjaan yang penuh dengan cabaran.
Cabaran alam pekerjaan
Dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan yang semakin mencabar, graduan perlu memahami bahawa kejayaan mereka tidak hanya bergantung pada pencapaian akademik semata-mata. Semakin berkembangnya dunia perniagaan dan teknologi, industri mengharapkan graduan untuk memiliki kombinasi kemahiran, pengetahuan, dan sikap yang dapat memberi impak yang positif kepada pertumbuhan syarikat. Para majikan boleh memberikan gaji premium jika graduan memenuhi ciri diinginkan seperti mempunyai kemahiran teknikal dan insaniah yang diperlukan oleh syarikat. Oleh itu, penting bagi graduan untuk bersedia untuk memenuhi keperluan industri masa kini. Pekerjaan ditawarkan oleh pelbagai syarikat hari ini semakin kompetitif, disebabkan pemohon yang ramai dalam pasaran kerja. Graduan bukan sekadar berdepan saingan sengit sesama sendiri, malah dengan mereka yang mempunyai pengalaman. Sudah pasti, syarikat akan mengutamakan calon-calon yang mampu menawarkan kemahiran yang diperlukan oleh syarikat untuk berdaya saing.
Pelajar perlu membuat persiapan yang rapi dalam pelbagai aspek dan ia perlu dilakukan seawal mungkin. Jika tidak, mereka akan terus ketinggalan, terutama kepada calon yang lebih berbakat dan meraka yang berpengalaman.
Penguasaan Kemahiran Teknikal dan Teknologi
Pihak industri memerlukan graduan yang memiliki penguasaan kemahiran teknikal yang relevan dengan bidang pekerjaan masing-masing. Graduan perlu berkebolehan menggunakan perisian khusus teknikal, penguasaan teknologi maklumat dan kefahaman mendalam terhadap teknologi baharu yang merupakan aspek-aspek kritikal bagi majikan.
Pelajar seharusnya mengambil peluang di IPT untuk menguasai kurikulum terkini yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa. Pelajar perlu manfaatkan pembelajaran praktikal untuk memastikan mereka menguasai kemahiran yang relevan dan dapat digunakan dengan berkesan dalam dunia pekerjaan. Pelajar juga perlu memperoleh sijil profesional atau kompetensi untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka. Ini memberi nilai tambah kepada kemahiran mereka, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja.
Sikap yang positif
Pelajar perlu membentuk sikap positif dalam diri mereka bagi meningkatkan nilai tambah dalam diri untuk bersaing di pasaran pekerjaan. Sikap yang proaktif, kesungguhan, ketahanan, kerjasama dan keinginan untuk terus belajar mampu membantu mereka berjaya dalam alam pekerjaan. Sikap positif memainkan peranan penting dalam membina hubungan profesional dan memenangi kepercayaan majikan.
Kemahiran Interpersonal dan Komunikasi
Kemahiran interpersonal menjadi semakin penting dalam dunia pekerjaan global. Graduan perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang efektif, bekerja dalam pasukan serta berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Mereka perlu fokus kepada pembangunan kemahiran melalui kursus yang melibatkan kerja berkumpulan, perbincangan dan latihan komunikasi serta penguasaan bahasa Inggeris. Ini membantu mereka mengasah kemahiran interpersonal dan berkomunikasi secara efektif dalam alam pekerjaan yang dinamik.
Kreativiti dan Kemahiran Inovasi
Dalam dunia perniagaan yang berubah dengan pesat, kemahiran kreativiti dan inovasi menjadi penentu kejayaan. Graduan perlu berfikir secara kreatif, mencari penyelesaian yang inovatif dan mempunyai daya adaptasi terhadap perubahan semasa. Pelajar harus memanfaatkan platform yang disediakan oleh IPT untuk mengembangkan kemahiran melalui projek praktikal dan latihan inovasi. Ini membantu graduan bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam pasaran pekerjaan.
Keupayaan Beradaptasi
Graduan perlu menjadi pekerja yang fleksibel dan boleh beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan alam perkerjaan. Perubahan teknologi yang cepat dan keperluan pasaran memerlukan individu yang tidak hanya boleh mengikut trend pasaran tetapi juga mencipta sesuatu yang baharu.
Kepimpinan dan Kemahiran Pengurusan
Graduan perlu memahami konsep kepimpinan dan memiliki kemahiran pengurusan yang baik. Kebolehan memimpin pasukan, menguruskan projek dan membuat keputusan strategik adalah sifat-sifat kepimpinan yang diperlukan oleh industri. Pelajar perlu menyertai program latihan kepimpinan dan kursus pengurusan di IPT untuk meningkatkan kemahiran tersebut. Ini memastikan graduan keluar dengan kebolehan memimpin dan mengurus dengan berkesan dalam persekitaran profesional yang semakin kompleks.
Keusahawanan dan Pemikiran Strategik
Keusahawanan bukan sahaja penting untuk mereka yang ingin menjadi usahawan tetapi juga bagi graduan dalam pasaran pekerjaan. Graduan perlu memahami konsep keusahawanan dan mempunyai pemikiran strategik untuk membantu organisasi mencapai visi dan misi syarikat. Penekanan kepada mata pelajaran keusahawanan dan kewangan dalam kurikulum pendidikan dapat membantu graduan meningkatkan kemahiran mengurus organisasi perniagaan. Graduan yang dilengkapi dengan kemahiran ini dapat membantu menggerakkan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan menjadi pemacu pertumbuhan masyarakat.
Pembelajaran Sepanjang Hayat
Industri terus berubah dan berkembang. Oleh itu, graduan perlu memiliki sikap pembelajaran sepanjang hayat. Kemahiran yang diperoleh semasa pengajian perlu ditingkatkan dan dikembangkan melalui latihan berterusan, kursus-kursus pembelajaran dalam talian dan pembelajaran kendiri.
Sokongan kerajaan
Kerajaan memainkan peranan penting dalam menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan. Kerajaan perlu memastikan pendidikan dan latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan. Peningkatan program pembelajaran TVET serta penyelarasan kurikulum dengan keperluan industri dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada pelabur untuk membuka kilang atau perniagaan baharu bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi. Ini mungkin melibatkan insentif cukai yang rendah atau pelbagai bantuan kewangan.
Sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) juga penting. Ini termasuk memberikan akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan dan menyediakan platform untuk memudahkan perniagaan tempatan berkembang.
Di samping itu, melalui dasar ekonomi yang berkesan, kerajaan dapat mencipta persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pertumbuhan. Pemantauan dan penambahbaikan berterusan ke atas dasar-dasar ini perlu dilakukan.
Kesimpulan
Dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan yang dinamik dan mencabar, graduan perlu memahami bahawa pencapaian akademik hanyalah sebagai suatu permulaan. Kombinasi kemahiran teknikal, kemahiran interpersonal, kreativiti, inovasi, kepimpinan dan keusahawanan adalah kunci untuk menjadi lebih kompetitif di pasaran pekerjaan. Institusi Pendidikan Tinggi dan industri perlu bekerjasama untuk memastikan program pengajian yang ditawarkan akan menghasilkan graduan yang memenuhi kehendak industri. Dengan mempersiapkan diri untuk lebih kompetitif, graduan akan dapat menjadikan diri mereka sebagai aset yang berharga dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Profesor Dr. Abdul Talib Bon
Profesor Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Pengarah Teaching Factory
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)