Oleh Suriayati Baharom

PUTRAJAYA, 8 Oktober 2025 — KANZU Research: Resilient Built Environment dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama bagi kategori ‘Akademia’ dalam Anugerah Geospatial Negara 2025 sempena Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kepada Profesor Madya Sr Dr. Noralfishah Sulaiman bersama pasukan penyelidiknya dari UTHM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan teknologi geospatial RS & GIS Consultancy.

Projek penyelidikan bertajuk ‘A Collaborative Multi Agencies Platform for Building Resilient Communities’ yang mendapat tajaan Global Challenge Research Fund (GCRF) dan Engineering Physical Science Research Council (EPSRC), United Kingdom itu telah membangunkan platform digital bersepadu untuk koordinasi agensi pengurusan bencana, ketua komuniti dan golongan rentan.

Menurut Dr. Noralfishah, sistem itu mengintegrasikan data geospatial risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh, serta teknologi IoT, sistem amaran awal, satelit dan dron.

“Kajian kes projek ini dilaksanakan bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan diuji oleh Bahagian Geo-Spatial Pertahanan JUPEM melalui Program Eksesais & Simulasi DGIM-MOBILISE di UTHM.

“Sistem MOBILISE kini berpotensi digunakan sebagai platform kolaboratif pelbagai agensi dalam pengurusan Risiko Pengurangan Bencana (DRR) dan Adaptasi Perubahan Iklim (CCA),” katanya.

Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan UTHM sebagai peneraju teknologi IR4.0 dan penyelidikan daya tahan alam sekitar, serta menyumbang kepada penyelesaian cabaran pengurusan bencana di peringkat nasional dan global.