Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seorang pendaki di Puncak Gunung Liang, Perak Ketika melakukan aktiviti pendakian singkat Trans Slim. Insiden ini masih dalam siasatan pihak berkuasa. Namun, pelbagai spekulasi dan anggapan berlegar-legar di media sosial. Pihak berkuasa digesa untuk menyiasat secara telus dan mengambil tindakan yang sewajarnya, supaya insiden yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

Pendakian singkat atau compress hiking membawa maksud aktiviti pendakian yang disingkatkan tempohnya daripada tempoh biasa. Sebagai contoh, aktiviti yang biasanya memerlukan tempoh pendakian selama empat hari tiga malam disingkatkan kepada tiga hari dua malam sahaja. Namun, pendakian singkat ini muncul sebagai gaya pendakian terkini terutamanya dalam kalangan kumpulan pendaki berpengalaman. Terdapat pelbagai faktor yang menjadikan aktiviti pendakian singkat ini popular dalam kalangan pendaki. Antaranya adalah kepuasan peribadi pendaki untuk mencabar kemampuan diri, kekangan masa, cuti yang pendek serta pendekatan minimalis untuk memikul bebanan yang penting seperti keperluan asas sahaja. Selain itu, aliran media sosial turut menjadi faktor seperti ingin mencapai banyak destinasi puncak gunung dalam masa yang singkat. Berikut adalah persediaan yang wajib bagi aktiviti ekstrim seperti pendakian singkat:

 

Keperluan permit dan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP)

Khidmat MGP di negeri-negeri Semenanjung Malaysia telah diperkenalkan bagi membangunkan Model Pengurusan Kawasan Pendakian di Kawasan Hutan Simpan Kekal sejak tahun 2021. Terdapat kawasan pendakian yang memerlukan permohonan permit dan kewajipan menggunakan khidmat MGP. Usaha ini diadakan bagi proses pemantauan aktiviti pendakian serta mengelakkan berlaku insiden kemalangan. MGP perlu mahir dengan jalur pendakian, peka akan risiko dan mempunyai pelan kontigensi sekiranya berlaku insiden. Mereka adalah orang yang terlatih dan memahami geografi hutan, laluan haiwan liar dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semua pendaki. Namun, kewajipan menggunakan khidmat MGP masih didebatkan dalam komuniti pendaki terutamanya di media-media sosial berikutan kenaikan kos pendakian.

Komunikasi berkesan antara MGP dan pendaki memainkan peranan penting bagi memastikan kelancaran perjalanan pendakian. MGP berperanan dalam penyelarasan pergerakan kumpulan pendaki. Namun, situasi adalah berbeza untuk pendakian secara terbuka (open trip). Kebanyakan pendaki mengenali MGP hanya sewaktu aktiviti pendakian bermula. Bagi mengelakkan risiko tersebut, pendaki digalakkan mendapatkan keserasian bersama MGP sebelum bermulanya ekspedisi pendakian singkat yang berisiko dengan menyertai aktiviti pendakian secara santai terlebih dahulu.

 

Latihan fizikal dan mental yang mencukupi

Aktiviti daya tahan untuk pendakian singkat memerlukan latihan fizikal yang mencukupi bagi membantu tubuh badan pendaki bersedia dengan perubahan altitude, perubahan cuaca, menanggung bebanan yang dipikul serta melalui laluan trek pendakian yang curam. Tanpa persediaan fizikal yang rapi, pendaki boleh terdedah kepada risiko seperti sesak nafas, mudah pitam atau kekejangan otot dan kecederaan sendi. Latihan secara konsisten juga perlu untuk mengekalkan kecergasan, mengatur langkah pendakian dan mengurus tenaga dengan baik.  Pendakian singkat sangat menguji emosi untuk tidak mudah berputus asa. Latihan mental penting untuk membantu pendaki kekal bermotivasi dan positif sepanjang aktiviti pendakian.

 

Sistem Buddy

Sistem ‘buddy’ atau mendaki bersama-sama rakan turut membantu aktiviti pendakian. Semasa menjalani pendakian singkat, para pendaki cenderung bergerak lebih pantas dan berpotensi mengabaikan tanda-tanda keletihan dan dehidrasi. Sistem buddy berperanan saling memantau keadaan fizikal dan kesihatan satu sama lain serta mengambil tindakan segera jika berlaku kecemasan. Sistem buddy juga dapat memberikan sokongan moral, semangat dan motivasi terutamanya ketika melalui laluan mencabar atau semasa keletihan. Di jalur pendakian, pendaki berisiko terpisah dalam kumpulan atas faktor kelajuan yang berbeza, cuaca dan kawasan yang berkabus. Jadi, bergerak bersama buddy untuk tujuan berkumpul semula dengan kumpulan besar ini dapat mengurangkan tekanan.

 

Peralatan yang lengkap dan persediaan cuaca

Aktiviti pendakian semestinya terdedah kepada risiko kecederaan, cuaca buruk atau keletihan ekstrem. Peralatan seperti beg ringan yang ergonomik, botol air dan makanan yang mencukupi amat penting bagi memastikan bekalan tenaga sehingga selesai pendakian. Peralatan lengkap seperti kit pertolongan cemas, ubat-ubatan peribadi, lampu suluh, baju hujan dan kasut yang sesuai dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan atau kemalangan. Bagi mengurangkan risiko sesat, peralatan seperti jam yang mempunyai Global Positioning System (GPS) atau .gpx file, kompas atau peta fizikal sangat penting untuk mengekalkan laluan yang betul. Teknik susunan peralatan-peralatan juga membantu untuk keselesaan ketika memikul bebanan. Pendaki perlu bijak merancang keperluan tanpa membawa beban berlebihan. Perubahan cuaca di gunung boleh berlaku dengan pantas, MGP perlu merancang masa pendakian dan waktu berteduh, serta mengelak risiko seperti ribut petir atau hujan lebat yang boleh melambatkan atau mengancam keselamatan pendakian.

 

Cabaran dan risiko pendakian singkat

Terdapat banyak cabaran dan risiko aktiviti pendakian singkat. Antara risiko utama adalah keletihan melampau. Ini adalah kerana pendaki mengejar masa dan kelajuan untuk melengkapkan pendakian dalam tempoh masa yang lebih singkat. Kemungkinan pendaki berdepan dengan risiko kurang berehat dan kurang tidur yang boleh menyebabkan keletihan melampau dan dehidrasi. Selain itu, risiko kecederaan lebih tinggi terutamanya kekejangan otot yang boleh menganggu aktiviti pendakian. Kekejangan otot mudah berlaku pada waktu hujan dan cuaca sejuk yang memberi tekanan tambahan kepada sistem otot dan saraf. Persediaan fizikal, aktiviti pemanasan badan serta keseimbangan elektrolit perlu dititikberatkan bagi mengurangkan risiko kekejangan otot. Ekspedisi ekstrem seperti ini tidak boleh diadakan secara terburu-buru, memerlukan persediaan keselamatan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Pemilihan aktiviti santai atau ekstrem

Sebaliknya, pemilihan pendakian secara santai adalah lebih selamat berbanding pendakian singkat terutamanya bagi pendaki baharu. Pendakian secara berkumpulan dapat menyemai semangat setiakawan dan berpasukan, mencabar ketahanan diri, menikmati dan menghargai keindahan alam sekitar serta mempelajari pelbagai ilmu di dalam hutan. Apabila berjalan secara perlahan, pendaki lebih fokus terhadap laluan dan potensi bahaya sekali gus dapat meningkatkan aspek keselamatan. Berbalik kepada tujuan utama ekspedisi pendakian adakah pendaki mahu mencari ketenangan? Menikmati keindahan alam? Mendekatkan diri dengan tuhan? Mencabar daya ketahanan tubuh badan? Atau fear of missing out (FOMO) akibat terlalu terikut-ikut trend semasa semata-mata? Tepuk dada tanya selera.

Dewasa ini, terdapat satu sukan ekstrim yang turut menjadi pilihan iaitu trail running atau larian denai. Larian denai ialah aktiviti berlari di denai hutan, laluan gunung, kawasan berbukit atau tanah yang tidak rata. Di Malaysia, penganjuran larian denai kini semakin mendapat sambutan melalui sukan daya tahan yang tinggi serta keperluan latihan yang lebih intensif. Kebanyakan pelari memilih larian denai berbanding pendakian singkat atas faktor ketelusan harga, masa cut-off yang jelas, perlindungan insurans dan kawalan keselamatan yang lebih terjamin. Sebagai kesimpulan, gaya hidup sihat dan aktiviti rekreasi secara santai atau ekstrim tetap mempunya cabaran yang tersendiri. Akhirnya, kesedaran dan kontigensi keselamatan adalah perkara yang paling utama untuk dititikberatkan.

 

 

Dr. Salwa Mahmood

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 28 Oktober 2025: Cabaran dan risiko pendakian singkat 

Cabaran dan risiko pendakian singkat

 

2. Harian Metro (muka surat: 14), 30 Oktober 2025: Pastikan keselamatan terjamin 

 

3. MyMetro (hmetro.com.my), 30 Oktober 2025: Pastikan keselamatan terjamin

https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/10/1281591/pastikan-keselamatan-terjamin

 

4. Bernama (bernama.com), 31 Oktober 2025: Pendakian Singkat, Cabaran Dan Keperluan Pendaki 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2485172