Oleh Dr. Khadijah Md. Ariffin
MALANG – Dua pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) telah mewakili Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai peserta ke program International Immersion Camp 2023 Politeknik Negeri Malang (POLINEMA) yang diadakan pada 21 hingga 25 Ogos 2023 lalu.
Pelajar tahun tiga, Muhammad Haris Farhan Harizan dan Desyfitri Amalya Ridwan yang diselaras oleh Dr. Khadijah Md. Ariffin telah menyertai kem tersebut selama enam hari bersama para peserta dari enam negara.
Menurut Dr. Khadijah, penganjuran kem dengan kerjasama organisasi tempatan itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada wakil setiap negara mengenai teknologi hijau terkini dan juga budaya masyarakat di Indonesia, khususya di Malang.
“Tujuan utama kem tersebut adalah untuk memberi pendedahan berkaitan kepentingan tenaga hijau yang mana peserta didedahkan dengan teori dan konsep solar, panel solar serta peralatannya,” katanya.
Ketika di sana, para peserta mengadakan lawatan ke bangunan-bangunan untuk melihat sendiri panel-panel solar yang telah dipasang dan disambungkan ke sistem penjanaan elektrik.
Selain itu, mereka juga dibawa melawat ke makmal-makmal penciptaan khas yang mana peserta diberi peluang untuk melihat hasil ciptaan dan inovasi berkonsepkan solar seperti skuter solar dan kereta kawalan solar.
Bagi mempraktikkan pembelajaran konsep dan teori, semua peserta dikehendaki menjalankan projek berkumpulan bagi pemasangan panel solar dan penjanaan elektrik di kampung Wringinsongo, termasuklah peserta UTHM yang diamanahkan untuk membuat pemasangan tiga unit lampu solar di sebuah pondok kampung terbabit.
Selain mempelajari ilmu dan kemahiran, kem itu juga turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan gaya hidup serta adat tradisional di tiga kampung iaitu Tulus Besar, Duwet dan Wringinsongo.
Semasa di kampung Tulus Besar, peserta diberi peluang untuk melakukan aktiviti “mask painting” atau mewarna topeng tradisi kaum Jawa yang menjadi peragaan utama semasa tarian, sambil mempelajari tarian tradisional tempatan.
Manakala ketika di Kampung Wringinsongo, para peserta disambut meriah oleh penduduk kampung dengan pelbagai tarian tradisional.
Mereka berpeluang melihat gerai-gerai tradisional di kampung tersebut yang dibina menggunakan buluh dan jerami di samping melawat Kajoetangan, yang mana terletaknya rumah tradisi Malang yang telah dibina sejak zaman dahulu.
Sebelum pulang ke tanah air masing-masing, para peserta di bawa ke Gunung Bromo iaitu gunung yang menjadi kawasan tarikan utama pelancongan di Malang, Indonesia.
Para peserta diberi peluang menjejakkan kaki ke gunung itu bagi menikmati pemandangan yang sangat indah di sana.
Di sebalik keseronokan sepanjang kem berlangsung, peserta juga diberikan tugasan berteraskan ‘Problem Based Learning” yang dikendalikan oleh pengarah program, Dr. Adrian dari Polinema.
Mereka turut mengikuti slot ‘Literasi Media dan slot Penulisan Jurnal’ yang disampaikan oleh pensyarah dan penulis jurnal dari Kanada.
Selain untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, tiga slot tersebut bertujuan membantu para peserta dalam melengkapkan tugasan wajib yang dilakukan secara berkumpulan.
“Pihak fakulti berharap penyertaan pelajar di peringkat antarabangsa seumpama ini dapat memberi nilai tambah dan pengalaman berharga kepada mereka untuk terus menjadi pelajar yang cemerlang dan kompeten,” kata Dr. Khadijah.