‘Usaha tangga kejayaan’ pasti bukan lagi asing di pendengaran kita. Setiap insan sudah tentu inginkan kejayaan dalam kehidupannya. Peperiksaan merupakan pengukuran penting dalam sistem pendidikan kerana ia menguji objektif terhadap kefahaman dan kemahiran pelajar. Ia juga sebagai peluang untuk pemantauan dan penilaian terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya peperiksaan membantu menyumbang kepada perkembangan pendidikan dan peningkatan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

Kadang kala sebagai pelajar, kita tidak perasan kehadiran minggu peperiksaan yang bakal menjelang tiba kerana kesibukan diri menuntut ilmu serta membuat persiapan untuk membentang hasil-hasil projek atau tugasan yang telah dijalankan. Bersediakah kita untuk menduduki peperiksaan dan apa persiapan yang perlu kita buat untuk menduduki peperiksaan?

Persediaan awal

Tidak dinafikan mengulang kaji pada saat-saat akhir memang menjadi pilihan. Namun, kebiasaan ini adakalanya memberi tekanan kepada kita. Seeloknya mulakan persediaan seawal mungkin supaya kita dapat membuat perancangan yang cukup untuk semua kursus. Rancang dan susun jadual belajar, seterusnya fokus kepada topik yang paling kita rasakan sukar. Persediaan awal dapat memberi ruang kepada kita untuk mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan diri dalam memahami atau menguasai sesuatu topik pembelajaran. Sudah pasti juga jika persediaan dilakukan awal, kita masih punya masa untuk berjumpa, berbincang dan bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat topik-topik yang memerlukan penerangan dan perbincangan.

Cara mengulang kaji pembelajaran

Membaca nota dan buku teks bukanlah satu-satunya cara untuk kita mengulang kaji bahan pembelajaran. Gunakan kreativiti untuk menggabungkan beberapa kaedah pembelajaran yang berbeza seperti membaca semula, membuat rangkuman, membuat peta minda atau mengajar kembali kepada rakan sekelas. Mengajar di hadapan cermin juga kaedah terbaik untuk membuat rangkuman dan mengingat semula fakta-fakta penting bagi kursus yang banyak perlu mengingati fakta. Pilih kaedah yang sesuai dengan gaya pembelajaran dan pastikan kita menguasai konsep serta fakta-fakta penting. Lakukan latihan soalan untuk mengukur pemahaman dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

Fahami struktur dan format peperiksaan

Setiap peperiksaan pastinya mempunyai struktur dan format yang berlainan dan unik. Pastikan kita memahami jenis soalan yang akan ditanyakan, sama ada dalam bentuk pilihan jawapan atau soalan subjektif. Fahami petunjuk dan markah yang diberikan untuk setiap jenis soalan. Ini akan membantu anda mempersiapkan diri dengan baik dan memberi tumpuan kepada soalan-soalan yang diuji.

Buat jadual belajar yang teratur dan berdisiplin

Membuat jadual belajar yang teratur dan berdisiplin serta mematuhi jadual tersebut adalah penting sebagai salah satu daripada persiapan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapkan waktu khusus untuk setiap subjek dan pastikan anda memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar. Adil dalam menuntut ilmu juga merupakan kunci kejayaan. Ulang kaji dengan bersungguh-sungguh setiap subjek, usah memilih atau memberi fokus terhadap subjek yang digemari sahaja. Jangan lupa untuk menyeimbangkan sesi pembelajaran dan aktiviti harian sebaiknya. Rehat yang cukup untuk mengelakkan keletihan ketika menduduki peperiksaan. Amalkan teknik pengurusan masa dengan efektif adalah kunci untuk menghadapi peperiksaan dengan berkesan. Kenal pasti tugas dan kegiatan yang memerlukan masa yang lebih lama dan seterusnya tetapkan keutamaan untuk memaksimumkan fokus dan produktiviti kita.

Jangan lupakan kesihatan diri

Jangan jadikan minuman berkafein seperti minuman 3 dalam 1 yang banyak di pasaran sekarang atau makanan ringan yang tidak sihat sebagai peneman kita mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam. Jaga kecergasan fizikal dan mental semasa menghadapi peperiksaan. Pastikan kita mendapat tidur yang mencukupi, mengamalkan pemakanan yang sihat dan melakukan senaman ringan. Kecergasan yang baik akan memberi kesan positif kepada keupayaan berfikir dan seterusnya menyalurkan sumber tenaga yang baik kepada kita ketika menduduki peperiksaaan.

Jangan panik semasa peperiksaan

Semasa peperiksaan, penting untuk tetap tenang dan mengawal panik. Jika kita merasakan sesuatu soalan itu sukar atau merasa tertekan, ambil nafas dalam-dalam, fokuskan fikiran kita, dan cuba yakinkan diri yang kita pasti boleh menjawab soalan sebaik mungkin. Berdoa dan bertenang selama dua minit sekurang-kurangnya, dapat membantu sedikit sebanyak kita melawan perasaan gugup. Jangan panik atau melambatkan diri dengan hanya merenung pada soalan yang mungkin dirasakan sukar. Ini hanya akan membuang masa kita seterusnya menyebabkan kekurangan masa untuk menyiapkan soalan-soalan lain. Pastikan anda membaca soalan dengan teliti dan memberikan jawapan yang tepat.

Usaha, doa dan tawakal

Setelah berusaha sehabis baik, berdoa dan bertawakal kepada Tuhan. Walau sesibuk mana pun kita, jangan dilupakan tanggungjawab kita kepadaNya. Semoga usaha kita diberkati olehNya. Ingatkan diri kita bahawa kehidupan ini lebih daripada sekadar peperiksaan semata-mata. Raikan apa jua keputusan peperiksaan yang kita peroleh setelah berusaha sebaiknya kerana keputusan atau hasil daripada peperiksaan yang telah dijalankan adalah sebahagian daripada rancangan Tuhan. Berserah kepada kehendak Yang Maha Esa dan percaya bahawa dalam setiap ujian, terdapat hikmah dan pelajaran yang dapat diperoleh.

Dalam menghadapi peperiksaan, persediaan dan strategi yang tepat adalah kunci kepada kejayaan. Ingatlah bahawa peperiksaan hanya satu aspek dalam perjalanan pendidikan anda dan usaha berterusan dan pengalaman pembelajaran adalah lebih penting daripada keputusan akhir semata-mata. Teruskan langkah dan semoga kalian berjaya dalam setiap peperiksaan yang dihadapi sama ada di dunia atau pun di akhirat kelak.

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)