Oleh Nazwa Hidayah Mohamad
KUCHING – Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan kerjasama dengan University of Engineering & Technology (UET) menganjurkan program latihan ‘Reliability, Availability, Maintainability & Safety (RAMS)’ pada 13 hingga 15 Mac 2023 lalu bertempat di Kuching, Sarawak.
Program latihan tersebut dilaksanakan dari semasa ke semasa hampir setiap tahun berikutan permintaan yang meluas oleh pihak industri khususnya industri rel.
Bagi penganjuran kali ini, pakar penyelidik dan perunding bidang RAMS melebarkan sayap dan berkongsi ilmu dengan Sarawak Metro Sdn. Bhd. (SMSB) pula.
Program tersebut dilatih oleh Ketua ICOE-Rel Ts. Dr. Hairulazwan bersama dengan pengajar, Prof. Madya Nor Aziati Abdul Hamid serta pelajar Doktor Falsafah Rel, Nazwa Hidayah Mohamad sebagai pegawai penyelidik.
Melalui program latihan itu, para pengajar menyediakan lima modul latihan merangkumi topik ‘Basic Level in RAMS’ untuk 25 peserta dari pihak SMSB.
Mereka yang terdiri daripada eksekutif, jurutera, pengurus dan ketua jabatan diberi pendedahan tentang ‘Basic RAMS in Railway Industry’ bagi membuka minda dan melengkapkan pengetahuan mereka tentang kepentingan ‘RAMS Life Cycle’ terutamanya dalam sistem ‘Railway Safety.’
Turut diadakan, perbincangan antara Ketua ICoE-Rel dan penyelidik dengan Pengurus Kanan System Assurance & Requirement SMSB, Ts. Khairul Shahrir mengenai peluang kerjasama akan datang antara UTHM dan SMSB.
Menurut Dr. Hairulazwan, pihak ICoE-Rel berminat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan, sangkutan industri untuk staf dan pelajar, program latihan dan seumpamanya bagi membuka peluang pencarian ‘local talent’ yang mana ia selari dengan objektif Kementerian Pengankutan Malaysia (MOT) untuk menjana lebih banyak ‘localisation experts’ memandangkan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) bertenaga Hidrogen itu adalah yang pertama di Malaysia.
“Justeru itu pihak kami amat berbesar hati dan bersetuju untuk menandatangani perjanjian dan menjalankan segala bentuk kerjasama yang akan diperincikan dalam perjanjian tersebut jika diberi peluang oleh pihak SMSB,” katanya.
Pelaksanaan program-program seumpama itu dapat membuka peluang kepada penyelidik universiti tempatan berkongsi kepakaran, fasiliti serta jaringan kerjasama dengan pihak industri rel, selain membantu meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga pakar dan merancakkan aktiviti perundingan,penyelidikan dan latihan mengikut keperluan Industri.
“Kerjasama tersebut tidak terhenti di sini kerana terdapat beberapa rancangan kerjasama yang masih dalam peringkat awal perbincangan pada masa akan datang antaranya pelaksanaan Series of RAMS Training, MyRivet and Socio-Economic Enhancement Development (SEED) Programme of SMSB, dan IRSE Malaysia Conference 2023,” tambah beliau.