Oleh Kamarul-Azhar Kamarudin, Zaleha Mohamad
BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan penyertaan 160 murid dari tujuh sekolah rendah sekitar Batu Pahat pada 23 Januari lalu.
Program yang diadakan di sekolah sekitar Batu Pahat dan kampus induk UTHM itu bertujuan memperkenalkan STEM kepada murid sekolah rendah di samping mempromosikan program Mekanikal di bawah FKMP.
Sekolah yang menyertai program itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seri Pelangi, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya, Sekolah Rendah Islam Hidayah Pasirris, SK Pendidikan Khas Batu Pahat, SK Seri Comel, SK Seri Gading dan SK Parit Raja.
Menurut Dekan FKMP, Profesor Madya Ir. Dr. Bukhari Manshoor, program ini berjaya menarik penyertaan pelajar pelbagai kaum sekali gus dapat mengeratkan lagi hubungan baik antara universiti dan komuniti
“Pihak fakulti akan meneruskan usaha menganjurkan program seumpama ini bersama komuniti bagi memperkenal dan meningkatkan minat pelajar sekolah terhadap STEM dan akan sentiasa membuka pintu kepada masyarakat setempat bagi mempromosikan ilmu tersebut,” katanya ketika berucap di majlis penutup bersama kumpulan pelajar SK Pendidikan Khas Batu Pahat.
Sementara itu, Guru Panitia Sains SK Pendidikan Khas, Nurulain Hanis Shahruni pula berkata pihaknya sangat menyokong penganjuran program sebegitu kerana muridnya dapat menimba ilmu baharu berkaitan STEM dan berpeluang bergaul dengan komuniti di luar sekolah.
Program tahunan yang diadakan itu juga menjadi pemangkin murid tahun enam melalui penjanaan idea, reka cipta, demonstrasi dan pertandingan sekali gus memberi inspirasi serta memupuk minat mereka terhadap pembelajaran sains dan teknologi yang menyeronokkan.
“Ia juga dapat menjadi platform kepada murid mengembangkan daya kreativiti masing-masing sebelum bertukar ke sekolah menengah,” katanya.
Selain dapat menterjemahkan ilham murid kepada aplikasi sebenar, program itu juga diadakan bagi meningkatkan lagi pemahaman konsep asas dan kemahiran murid dalam pembuatan roket air.
Melalui aktiviti yang dijalankan, mereka berpeluang mencipta, mereka bentuk serta bertanding dalam pertandingan roket air.
Murid-murid juga turut dibawa melawat ke makmal dron AVITEK yang mana setiap mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman mengendalikan dron.
Selain itu, para peserta juga dibawa melawat ke Makerspace UTHM yang memberi peluang kepada mereka untuk mengendalikan sendiri robot serta demonstrasi peralatan teknologi yang lain seperti pencetak tiga dimensi (3D), coding dan permainan blok.