BATU PAHAT – Keprihatinan mahasiswa program Matematik Teknologi, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dizahirkan melalui satu sesi perkongsian ilmu yang dinamakan ‘Tutor Matematik Tingkatan 5.’

Sesi perkongsian di bawah program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang berfokuskan kepada topik baharu dalam kurikulum Matematik Tingkatan Lima itu melibatkan penyertaan 60 pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penghulu Saat, Batu Pahat.

Program kendalian pelajar FAST dan dibantu oleh beberapa pensyarah itu dilaksanakan sebanyak tiga siri iaitu pada 4, 11 dan 18 Januari 2023 lalu.

Menurut Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, penyelaras kursus Topik Khas dalam Matematik Teknologi (BWA30202), pelaksanaan program itu bertujuan untuk meningkatkan prestasi keputusan Matematik pelajar sekolah berkenaan.

Tambah beliau program Tutor Matematik itu merupakan satu inisiatif proaktif sebagai persediaan kepada murid Tingkatan Empat sebelum melangkah masuk ke Tingkatan Lima.

“Selain sebagai usaha meningkatkan pencapaian Matematik pelajar sekolah, pelaksanaan sesi perkongsian ilmu sebegini juga untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah pelajar FAST terutamanya dalam komunikasi dan pengurusan program.

Sementara itu, Guru Kanan Matapelajaran Sains dan Matematik, Zaimah Sahar berkata perkongsian berkesan daripada pelajar FAST sangat memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah untuk lebih berusaha selepas ini.

“Pihak sekolah merancang untuk jadikan para peserta hari ini sebagai guru muda yang akan bertindak sebagai penyampai ilmu kepada rakan-rakan lain yang tidak berpeluang mengikuti program ini secara terus dan mereka yang sering gagal dalam matapelajaran Matematik,” katanya.

Untuk rekod, program Tutor Matematik Tingkatan Lima ini adalah kesinambungan daripada program STEMathics yang telah dijalankan pada 30 Mei 2022 lalu di sekolah sama. Berita program lalu boleh dilayari di pautan https://news.uthm.edu.my/ms/2022/06/fast-bantu-pelajar-sekolah-luar-bandar-kuasai-matematik/