BATU PAHAT – Pejabat Kampus Lestari (SCO) dengan tajaan Yayasan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membangunkan empat set tanaman hidroponik menerusi pelaksanaan Projek Pertanian Lestari.

Set hidroponik tersebut menggunakan teknologi tanaman tanpa tanah dan digantikan dengan air dan larutan baja melalui kaedah Sistem Pengaliran Nutrien (NFT) yang mana pam air akan mengalirkan larutan baja daripada tangki ke palung-palung tanaman secara bertingkat.

Projek ini turut memberi peluang dan pengalaman kepada empat pelajar UTHM daripada golongan B40 terlibat serta dalam proses penyediaan tapak, pemasangan set hidroponik, pendawaian elektrik, semaian biji benih dan penyeliaan secara berkala.

Projek tanaman itu mengambil masa kira-kira empat minggu dari proses semaian biji benih sehinggalah ke proses penuaian hasil.

Sebagai fasa permulaan, tuaian pertama sayur sawi telah dilakukan pada 2 Januari 2023 lalu dengan hasil seberat enam kilogram.

Proses tuaian pertama itu turut disertai oleh Ketua Pustakawan, Zaharah Abd. Samad merangkap Ketua Fungsi UTHM Prihatin, Pengurus Yayasan UTHM, Mohd Razif M. Ismail dan Pengarah SCO, Prof. Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir.

Menurut Ketua Projek Pertanian Lestari, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Fairouz Mohd Yousof projek itu berupaya menjadi sumber pendapatan sampingan kepada para pelajar di samping dapat menggalakkan mereka untuk jadikan sektor pertanian moden sebagai permulaan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Tambah beliau, SCO akan bekerjasama dengan Pusat Islam pada fasa akan datang dengan melibatkan penyertaan pelajar tahfiz Al-Wasit bagi tujuan pendedahan dan pembelajaran berkaitan konsep pertanian moden.

Sementara itu, Pengurus Yayasan UTHM, Mohd Razif pula berkata pihak mereka amat teruja dengan hasil tuaian fasa pertama itu dan bersedia untuk menambah bilangan set hidroponik pada masa akan datang.

“Kita akan mempelbagaikan jenis tanaman sayuran pada masa akan datang dan hasilnya akan dijual kepada staf dan orang awam dengan kadar harga yang berpatutan.

“Saya percaya ia akan mendapat sambutan yang hangat memandangkan penanaman sayuran ini menggunakan kaedah NFT yang dapat menghasilkan sayuran yang segar,” katanya.