TUARAN – Produk inovasi penapis air bawah tanah ‘Containerised Water Filtration System’ yang telah dibangunkan oleh penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mendapat perhatian penduduk Sabah apabila produk itu diyakini mampu menyelesaikan masalah mendapat bekalan air bersih.

Terbaru, produk yang dikomersialkan oleh Ittihad Maju Jaya Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat terbitan universiti (STU) itu berjaya menyelesaikan isu bekalan air bersih terawat di empat kampung yang terletak di Tuaran, Sabah.

Empat kampung terbabit iaitu Kampung Sambah, Kampung Baru-Baru, Kampung Lok Nunuk dan Kampung Panimbawan sebelum ini masih menggunakan air yang tidak terawat sejak 85 tahun dahulu.

Menurut Pengarah Ittihad Maju Jaya, Dr. Mohd Zainizan Sahdan, 45 hasil kerjasama bersama syarikat tempatan iaitu Drilltech Engineering Sdn. Bhd., masalah penduduk kampung tersebut berjaya diselesaikan dalam masa tiga bulan sahaja.

“Majoriti penduduk melahirkan rasa gembira dan amat berterima kasih dengan pelaksanaan projek ini yang dapat membantu mereka menjimatkan kos membeli air mineral untuk tujuan memasak dan minuman,” katanya.

Tambah beliau sistem penapis air itu merupakan sistem yang mudah dipasang dan bersifat tahan lasak untuk dibawa ke kawasan pedalaman dengan pengangkutan berat.

“Hasil ujian makmal turut membuktikan air yang terhasil dari sistem ini adalah mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pihak kami turut mendapat maklumbalas yang baik daripada penduduk kawasan pendalaman di Tawau, Sabah dan Gerik, Perak yang telah menggunakan air terawat hasil pemasangan penapis tersebut.

“Maklumbalas seumpama itu menaikkan lagi semangat kami untuk terus fokus dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi membantu masyarakat luar bandar mendapat bekalan air bersih,” katanya.

Beliau bersama rakan kongsinya Ts. Mohammad Erwan Zaki, 32 iaitu Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tersebut amat berterima kasih kepada UTHM kerana sentiasa memberi sokongan penuh dalam usaha mengetengahkan produk inovasi tersebut kepada masyarakat.

 

Penduduk di Kampung Baru sedang bergilir-gilir mengambil air bersih dari Containerised Water Filtration System©

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 25 Januari 2023: Inovasi Penapis Air Bawah Tanah UTHM Bantu Penduduk Luar Bandar

INOVASI PENAPIS AIR BAWAH TANAH UTHM BANTU PENDUDUK LUAR BANDAR