Oleh Nurul Izzah Abdullah, Fadillah Ismail, Hanafi Omar
PAGOH – Bagi menyemai sikap sayangi alam sekitar, Pengakap Kelanasiswa yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Sustainable Engagement Project (SEP) yang bertajuk ‘Sayangi Bumi Kita’ pada 7 Januari 2023.
Program berteraskan kesukarelawanan yang melibatkan 35 pelajar Pengakap Kelanasiswa I, Seksyen 2 sebagai fasilitator bersama seorang pengajar itu dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam Batu 18, Muar, Johor.
Program ‘Sayangi Bumi Kita’ itu diadakan bertujuan memperkasakan lagi sikap sayangkan alam sekitar dalam diri pelajar sekolah agar mereka lebih menghargai alam dan hidupannya.
Program itu juga diadakan bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 13: Climate Action yang mahukan alam sekitar dipelihara dengan baik demi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup manusia.
Ini kerana pemeliharaan alam sekitar dapat menstabilkan ekosistem negara dan mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia.
Seramai 154 pelajar sekolah berkenaan didedahkan dengan informasi berkaitan faktor yang memberi kesan kepada alam sekitar secara global.
Mereka juga berpeluang memperoleh pengetahuan berkaitan kaedah merancang dan melaksanakan pelan tindakan bagi mengurangkan pencemaran udara dan alam sekitar.
Program tersebut diisi dengan beberapa aktiviti seperti Better Water Living, Build Scarecrow, Scout Stemboree dan Boom Boom Volcano.
Pelaksanaan semua aktiviti tersebut bertujuan memupuk kemahiran komunikasi berkesan serta kreativiti dan inovasi peserta dalam mengaplikasikan pengetahuan berkaitan alam sekitar yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
Selain itu, program itu juga bertujuan menyediakan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan motivasi untuk memahami dan menangani cabaran SDG.
Turut diadakan majlis perasmian penutup program yang melibatkan kehadiran Guru Besar sekolah, Nasrudin Isnin; Yang Dipertua persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), Muhammad Hakim Misdan dan guru merangkap Setiausaha SDG, Hazlina Sulong.
Cikgu Nasrudin mewakili pihak sekolah berterima kasih kepada Pengakap Kelanasiswa I kerana telah memilih sekolah tersebut untuk melaksanakan program khidmat komuniti seperti itu.
Beliau berharap program yang bermanfaat seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat melahirkan individu yang mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan pentingnya menjaga alam sekitar.