RPPS berjaya kumpul 5,363.6kg bahan kitar semula tahun 2022

Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali

Rumah Pembelajaran Pemulihan Sumber (RPPS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengumpul sebanyak 5,363.6 kilogram (kg) barangan kitar semula pada tahun 2022 hasil komitmen berterusan yang diberikan oleh ahli-ahlinya.

Menurut Ketua SIO Sisa dan Kitar Semula, Ts. Dr. Roslinda Ali jumlah kutipan bagi tahun 2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini menunjukkan warga kampus telah mula mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Pihak kami amat berpuas hati dengan peningkatan jumlah kutipan dan berharap sikap positif ini dapat diteruskan lagi pada tahun 2023 dan seterusnya, sekali gus menjadi budaya dan amalan warga kampus,” katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kertas campur merupakan jumlah terbesar yang dikutip oleh RPPS iaitu sebanyak 4,242.6 kilogram bersamaan 79.1 peratus.

Antara bahan kitar semula lain yang dikutip merangkumi kertas kotak sebanyak 11 peratus, plastik 7.7 peratus, kertas putih 1.3 peratus dan tin logam 0.9 peratus.

Untuk rekod, RPPS telah memulakan operasinya sejak tahun 2018 sebagai pusat pengumpulan barangan kitar semula.

Pusat yang diselenggarakan oleh Pejabat Kampus Lestari UTHM itu merupakan usaha bersama pihak UTHM dan SWM Enviroment Sdn. Bhd. bagi memberi kesedaran dan menggalakkan warga kampus serta penduduk sekitar untuk melakukan pengasingan sisa di punca.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat