Oleh Rohaida Mat Akir

BATU PAHAT – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program LEPAK SANTAI FKEE 2022 pada 28 Oktober 2022 lalu bagi mengeratkan hubungan dengan warga fakulti di samping memberi nilai tambah kepada para pelajarnya.

Program dengan kerjasama dari Kelab Kejuruteraan Elektrik itu juga diadakan bertujuan mencetuskan semangat kebersamaan menghadapi alam kampus dalam diri pelajar setelah dua tahun tidak bertemu secara fizikal akibat pandemik Covid-19.

Penggunaan terma LEPAK pada tajuk program tersebut membawa maksud L – luangkan masa, E – eratkan silaturahim bersama Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK) yang menjadi tujuan utama program.

Program yang diadakan di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk itu dihadiri oleh PAK dalam kalangan staf akademik bersama 1450 pelajar FKEE.

Turut hadir, Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Rosli Omar yang turut memberi amanat kepada semua pelajar sekali gus merasmikan program tersebut.

Program diisi dengan beberapa slot iaitu taklimat daripada Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Herdawatie Abdul Kadir yang memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan kehidupan di kampus  dan peluang  menyertai aktiviti di universiti.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Institution of Engineering and Technologies (IET) bagi membolehkan pelajar diberi pendedahan secara global khususnya tentang kelebihan untuk terlibat dengan organisasi profesional bertaraf dunia yang disertai oleh 150 negara.  

Taklimat ini disampaikan oleh wakil IET Young Professionals Malaysia, Ts. Dr. Ivan Ling Ting Yang. 

Beliau yang berkongsi pengalamannya ketika melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti di seluruh dunia secara tidak langsung memberi motivasi dan inspirasi kepada para pelajar FKEE untuk turut terlibat sama sekali gus melebarkan jaringan kenalan.

Turut diadakan, slot senamrobik, penyampaian anugerah PAK Meletop, pop kuiz, persembahan pelajar, cabutan bertuah,  aktiviti borak santai antara PAK dan pelajar serta sesi ramah mesra pelajar bersama wakil IET.

FKEE berharap penganjuran program kolaborasi seperti ini dapat membuka minda pelajar untuk menceburi aktiviti yang bermanfaat hingga ke peringkat antarabangsa sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan.

 

Aktiviti kumpulan PAK dan pelajar.